Don't Judge the blog by it's followers

Saturday 9 August 2014

Welcome Back, Anis!

Sudah lama saya tidak menulis di sini. Rasa seperti dah lama tinggalkan dunia ‘blogging’. Adakah kerana kekangan masa? Tiada idea? Malas?. Ya. Semua itu adalah perkataan yang saya ciptakan untuk beralasan.

Jika laman blog ini seperti rumah, pasti labah-labah sudah membuat sarang. Anai-anai berkeliaran dan habuk menebal di setiap ruang akibat lama ditinggalkan. Begitulah analoginya.

Sebenarnya banyak sangat perkara yang saya mahu ceritakan, cuma tidak tersusun ayat-ayatnya. Zaman telefon pintar di tangan buat saya malas membuka komputer riba. Itupun salah satu puncanya.

Sayalah orang yang tidak pandai menguruskan masa.
Saya juga tidak telus mengemaskini dunia penulisan saya. Akibatnya, blog yang kedua itu makin dipinggirkan. Saya memang bukan penulis sejati.

Dan sebenarnya juga, hari ini adalah hari yang menggantikan hari-hari yang tertinggal sebelum ini untuk berkarya. Saya perlu mengedit cerpen dan menyemak pruf yang telah diemelkan semula oleh editor.

Sahabat-sahabat sekalian,

Andai anda membaca tulisan ini, tolong doakan saya agar menjadi muslim yang baik. Yang bijak mengatur masa dan tidak mensia-siakan peluang bernafas ini dengan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat.

welcome back.
Mohon berusaha keras.


Sunday 8 June 2014

Sama atau Beza

Hidup ini kadang kala membuatkan kita keliru dan runsing untuk memilih dan menentukan jodoh yang paling tepat mengikut gerak hati kita.

Pada masa kita dicintai oleh seseorang, kita juga terkadang punya rasa mencintai yang lain. Mengapa begitu?

Kata orang, jodoh kita itu adalah di antara yang hadir dalam hidup kita. Mungkin pernah berselisih, terserempak atau sudah lama berjumpa.

Sering kali bertanya pada hati,  di saat kita ditemukan dengan seseorang yang hampir sama perwatakkannya dengan diri kita. Maksudnya, yang berlawanan jantina tetapi watak dan sikapnya persis menyerupai kita.  Boleh jadi sama dari segi sikap, minat dan kecintaan. Dengan tiba-tiba hati mula terpikat dan terpesona. Itulah masalahnya walaupun perkara itu didiam-diamkan.

Adakah persamaan seseorang itu penentu jodoh kita?

Bagaimana pula dengan perbezaan?

Yang berbeza dengan diri kita itu akan membuatkan kita saling melengkapi. Ada yang dihadirkan Tuhan itu berbeza dan unik di mata kita namun tetap membuatkan kita terusik hati dengannya. Tuhan menguji hati-hati kita, dan kerana itu jugalah kita perlu bina kekuatan hati dengan Allah agar masalah-masalah hati dapat ditepis.

Istikharahlah jalan yang mudah untuk kita keluar dari kekusutan untuk memilih.

Jadi, jodoh itu yang serasi, berbeza atau yang punya persamaan?




Terpulang pada jawapan hati masing-masing. 

Tuesday 27 May 2014

Silih berganti

Lembaran demi lembaran kita cipta. Masa datang dan pergi. Silih berganti seperti orang yang muncul dalam hidup kita. Bagi saya, setiap yang hadir di dalam hidup kita suatu hari nanti pasti dia akan meninggalkan kita.

Walaupun kehadiran dan kemunculannya buat kita payah untuk melupakan dan menyemat rindu yang tak sudah, yakinlah bahawa manusia itu adalah milik Allah. Bukannya manusia itu dimiliki oleh manusia pada hakikatnya.

Pernah suatu ketika dahulu, saya sering menyalahkan keadaan dan masa. Mungkin menyalahkan juga pada orang yang muncul dalam hidup saya itu. Buat apa muncul jika suatu hari kesudahannya tidak seperti yang kita impi? Buat apa bermimpi anda terjaga hilang segalanya.

Lama saya memujuk hati. Nasihat yang berterusan buat hati saya semakin kuat. Terjumpa ayat ini di dinding facebook seseorang:

Orang yang hadir dalam hidup kita adalah anugerah Allah kepada kita, sama ada dia mengubah kita atau kita mengubahnya.”

Itulah kuasa tulisan. Dengan menulis kita dapat membaca. Ayat-ayat penyedap rasa mampu menyembuh kedukaan.

Dan menulis juga….

Dapat melegakan hati kala ini.


Monday 26 May 2014

Hatiku MilikMu

Kepada diari hati yang menyimpan pelbagai rasa.

Segumpal darah yang perit menyimpan segala rasa adalah hati. Rasa untuk disukai, dicintai dan disayangi. Engkau rasa marah saat darah itu naik lalu tidak turun-turun lagi. Namun engkau segera tenang apabila otak membantu untuk berfikir selepas dua kali.

Engkau rasa bahagia saat darah berkocak dan sesekali senak bilamana wajah tersipu malu. Mulut terus menguntum senyum. Lalu pipi pun bertukar warna.
Engkau sakit bila darah itu seperti mencucuk-cucuk isi kulitmu. Rasa yang membuat engkau bermuram durja. Umpama ditikam tanpa bilah pisau.
Hati.

Aku ingin tanyakan sesuatu padamu.
Bolehkah engkau tetap teguh berpendirian?
Bolehkah engkau tabah walau sekejap?

Hati, kerana engkau ramai manusia yang tidak dapat mengawal emosi. Ada yang memendam rasa, resah gelisah, ganas mengamuk, berhasad dengki dan mengikut perasaan.

Hati, dampingilah manusia dengan sebaiknya. Temani manusia hingga ke syurga. Jangan biarkan mereka kotor keranamu.

Hati, maafkan aku dan kami. Kami juga anggota dan organ yang mendiami tubuh badan manusia. Ayuh kita berpesan-pesan pada kebenaran.
kita hanya mampu begini. Kalaulah kita mampu bersuara.


Ya, tunggu sajalah nanti. Di saat kita semua dapat bersorak sakan, menghakimi dan mengadili si pemilik tubuh badan.

_Hatiku milikMu_



Friday 23 May 2014

Watak dan Kisah

Earphone disumbat ke telinga. Muzik dimainkan penuh syahdu. Demi menyelongkar kenangan lama, saya cuba mencari mood melalui lagu. Milo panas yang dibancuh tadi belum diminum. Hanya berada di sebelah kanan. Buku catatan, diari berkalendar di hujung meja tulis. Saya masih mencari jalan untuk memulakan topik pada entry kali ini.

Baiklah. Idea belum datang. Tunggu sekejap. Saya masih berfikir.
…………………………………………

Jika ditanya pada anda, apakah perkara yang anda mahu ubah pada masa lalu?

Mesti ada bukan? Atau tidak perlu?

Sebenarnya, masa lalu itu selalu saja datang menjelma di hadapan kita saat hati kita benar-benar rindu untuk dikembalikan seperti dahulu.  Jika ditanya pada saya, saya rindukan zaman waktu di kampus dahulu. Lepak di pangkin bawah pokok sambil menghirup kopi panas. Ya, mungkin agak keterlaluan pada masa itu, di waktu bintang berkelip dan langit hanya nampak warna bulan, kami masih bercengkerama di bawah pokok seperti di warung kedai kopi. Itulah aktiviti yang paling santai saya kira. Waktu-waktu yang menuntut keseronakan, namun masih menjaga batas-batasnya.

Kata saya pada seorang sahabat, “Nanti kalau kau buat buku, watak kami ada di dalam buku itu?”

Entah mengapa soalan itu diajukan tanpa diduga sedikitpun oleh dia. Berkerut-kerut dahi sahabat saya itu. Lantas dia menjawab penuh selamba.
“Mmmm tak kot, kenapa?”

“Tiada apa.” Wajah saya kembali kendur. Senyum yang lebar tadi mengecut seperti mulut itik. Saya tahu dia hanya bergurau. Dan saya tetap yakin dia adalah penulis yang baik. Semoga dia menulis kisah-kisah kami penuh makna.

Sebenarnya, saya mahu kata kepadanya. Jika suatu hari nanti saya menulis buku, watak dia akan menghidupkan kisah di dalam buku itu. Watak utama dan bukannya semut hitam.

Mereka yang hadir dalam hidup saya adalah watak yang sentiasa saya hargai dan bukannya watak yang hanya membayangi diri orang lain. Jadi, kepada sahabat-sahabat kedai kopi saya, anda semua harus tahu bahawa kalianlah yang mewarnai hidup Anis sakinah di zaman kampus dahulu.

Kita memang telah tutup buku lama. Cerita dahulu cukup setakat itu. Namun di sini, saya ingin tegaskan bahawa ukhwah itu tidak akan pernah tamat seperti mana tamatnya episod di drama TV atau berakhirnya pembacaan sebuah buku. Jika kita terpaksa mengalah pada masa dan menuntut untuk tutup buku lama, itu bermakna buku lama itu sudah siap untuk diterbitkan. Mari kita mulakan buku kedua dan kisahnya tentang kedewasaan kita sekarang. Mari menjadi watak untuk siri ke-2.

Petang tadi saya senyum-senyum selepas berbual di telefon dengan seorang sahabat.

“Dia kata kita akan jadi watak dalam kisahnya nanti” kata sahabat saya itu.

Rupanya jawapan yang sepatutnya saya terima di pangkin setahun yang lalu dijawab pada hari ini.





Thursday 1 May 2014

Ujian Kecil

Agak lama saya menyepi dari terus mengupdate sesuatu di blog TSK ini. Ini bukanlah kerana saya tidak lagi berminat untuk menconteng di sini, cuma keadaan tidak mengizinkan serta tahap kemalasan yang melampau. Hehe. Di blog (anissakinahazizan.blogspot) juga saya begitu. Langsung tidak jenguk. Sedangkan di blog itu punya matlamat dan impian yang saya kejar selama ini.

Dalam sebulan ini, hati saya betul-betul diuji. Terima kasih ya Allah, Engkau menguji lagi hati ini agar lebih tabah dan kuat. Menjadi seorang guru itu akan diuji dengan pelajarnya. Begitulah apa yang terjadi pada diri ini. Maka kisah air mata menyambung episodnya. Emosi pun terganggu, namun saya sedaya-upaya menggagahkan diri untuk menganggap perkara itu hanya sebesar kuman atau hanya secebis cili merah yang terlekat di celahan gigi.

Allah beri pengalaman kecil ini untuk saya hadapi sesuatu yang lebih besar selepas ini. Itu yang menjadi keyakinan saya! Syukur dengan apa yang saya sedang lakukan saat ini. Di sini, saya belajar untuk menjadi seorang  yang ikhlas. Pesan mudir, bekerjalah dengan ikhlas tanpa tekanan. Itu yang beliau harapkan dari saya. Baiklah!

Mengimbau pengalaman lalu, ya… saya selalu saja diuji dengan hati. Air mata dan kesedihan itu sudah menjadi makanan ringan dalam juadah kehidupan saya. Saya pasti, itu hanyalah ujian kecil berbanding pengalaman orang lain yang lebih besar ujian yang menimpa mereka.

Jadi, kesat air mata! Jadi orang yang matang dan cerdik. Jangan terlalu mengikut hati dan emosi. Boleh makan diri. Pesan pada diri.


Wednesday 2 April 2014

Kembara Ilmu: Bengkel Penulisan Cerpen

Bengkel kali ini dianjurkan oleh tim Kursuspenulisan.com di bawah naungan Tuan Zamri Mohamad, seorang penulis dan trainer penulisan. Jika dulu keinginan saya untuk mengikuti Bengkel penulisan Novel di bawah program tim ini tidak kesampaian, namun ia tetap tidak mematahkan semangat saya untuk mencuba lagi di lain kali. Alhamdulillah, trainer jemputan pula adalah penulis kesayangan saya iaitu Tuan Baharuddin Bekri. Saya antara ribuan peminat tegarnya.



Sekali lagi kaki ini menapak ke Wangsa Melawati, jika dulu di Jalan Wangsa Setia 1 untuk ke Akademi MUSTREAD, kali ini saya ke Jalan Wangsa Setia 3 untuk ke Akademi FINE. Inilah jejak-jejak ilmu yang tidak akan berakhir selagi hayat dikandung badan. Tujuannya hanya satu, menimba ilmu dan mengumpul pengalaman.


Sudah lama mengenali penulis Bahruddin Bekri dengan mengikuti perkembangan karyanya dan alhamdulillah baru kini dapat bertemu secara dekat dengan beliau. Orangnya nampak tenang dan lucu saya kira. Manakan tidak, semua peserta bengkel tidak kering gusi mendengar kata-kata yang berbaur jenaka selambanya. Sebelum ini, saya hanya tersengih dan ketawa seorang diri membaca buku-bukunya yang diselitkan dengan unsur komedi malah semasa bengkel saya juga turut pecah ketawa mendengar ucapannya yang beraksi di hadapan para peserta.

Adab menimba ilmu itu adalah dengan berguru. Cari ilmu dengan guru atau yang pakar ke atas ilmu yang ingin kita pelajari sebelum kita bisa menguasainya. Ya sebilangan orang mengatakan; buat apalah pergi ke bengkel jika ingin menulis, orang yang pandai menulis pun tidak pergi ke bengkel penulisan. Setelah saya berbengkel, saya sudah bertemu jawapan untuk soalan itu jika ia diajukan lagi. Begini jawapannya, yang 70 peratus itu datangnya dari dalam diri kita sendiri iaitu  usaha dengan rajin dalam bidang penulisan dan 30 peratus lagi itulah datangnya dengan kita mengikuti bengkel seperti ini.

Apa itu CERPEN?

Istilahnya pasti semua orang tahu bukan? CERITA + PENDEK= CERPEN

Cerpen itu bagaimana?

Kata Tuan Bahruddin Bekri, cerpen itu adalah suatu konflik yang indah. Cerpen itu hanya mempunyai:

      1)      Satu plot sahaja
2)      Satu jalan cerita
3)      Watak terhad
4)      Latar masa terhad
5)      Latar tempat terhad
6)      Konflik yang padat lagi indah.

Cerpen bergerak melalui watak dan situasi. Selain itu juga, kandungan di dalam cerpen perlulah mengandungi matlamat yang ingin disampaikan di dalam cerpen, konflik yang ingin di ketengahkan dan perlu mempunyai twist di akhir penyelesaiannya, barulah cerpen itu tampak menarik di mata para pembaca.



Tujuan kita menulis sebenarnya bukanlah kerana ingin menjadi popular. Tetapi meletakkan tujuan utama sebagai mengubat hati dan melegakannya di mana beroleh pengajaran dari apa yang kita tulis. Seterusnya ke peringkat yang lebih mulia iaitu dengan niat ingin berdakwah. Wang, anugerah dan popular itu hanya nilai tambah dalam hidup seorang penulis.

Selain dibekalkan dengan nota-nota penulisan cerpen, bengkel yang dikendalikan ini juga turut membawa para pesertanya mempraktik apa yang telah diajar secara teori. Itulah antara momen indah yang saya dapat. 



Pertamanya, dapat mempraktik secara langsung apa yang telah diberi dan keduanya menghubungkan silatulrahim di antara peserta. Di situlah bermulanya titik-titik perkenalan antara peserta untuk sama-sama berkongsi idea, pengalaman dan maklumat diri.



Bengkel yang bermula pada tepat pukul 9.00 pagi melabuhkan tirainya pada pukul 5.30 petang. Sebelum bergerak pulang, peserta bengkel mencuri peluang untuk bergambar kenangan bersama Tuan Baha. Kata Tuan Baha yang sentiasa diulang-ulangnya adalah TULIS SAMPAI SIAP! Jadi, marilah berusaha!



30 Mac 2014
Bengkel Penulisan Cerpen