Don't Judge the blog by it's followers

Friday 23 May 2014

Watak dan Kisah

Earphone disumbat ke telinga. Muzik dimainkan penuh syahdu. Demi menyelongkar kenangan lama, saya cuba mencari mood melalui lagu. Milo panas yang dibancuh tadi belum diminum. Hanya berada di sebelah kanan. Buku catatan, diari berkalendar di hujung meja tulis. Saya masih mencari jalan untuk memulakan topik pada entry kali ini.

Baiklah. Idea belum datang. Tunggu sekejap. Saya masih berfikir.
…………………………………………

Jika ditanya pada anda, apakah perkara yang anda mahu ubah pada masa lalu?

Mesti ada bukan? Atau tidak perlu?

Sebenarnya, masa lalu itu selalu saja datang menjelma di hadapan kita saat hati kita benar-benar rindu untuk dikembalikan seperti dahulu.  Jika ditanya pada saya, saya rindukan zaman waktu di kampus dahulu. Lepak di pangkin bawah pokok sambil menghirup kopi panas. Ya, mungkin agak keterlaluan pada masa itu, di waktu bintang berkelip dan langit hanya nampak warna bulan, kami masih bercengkerama di bawah pokok seperti di warung kedai kopi. Itulah aktiviti yang paling santai saya kira. Waktu-waktu yang menuntut keseronakan, namun masih menjaga batas-batasnya.

Kata saya pada seorang sahabat, “Nanti kalau kau buat buku, watak kami ada di dalam buku itu?”

Entah mengapa soalan itu diajukan tanpa diduga sedikitpun oleh dia. Berkerut-kerut dahi sahabat saya itu. Lantas dia menjawab penuh selamba.
“Mmmm tak kot, kenapa?”

“Tiada apa.” Wajah saya kembali kendur. Senyum yang lebar tadi mengecut seperti mulut itik. Saya tahu dia hanya bergurau. Dan saya tetap yakin dia adalah penulis yang baik. Semoga dia menulis kisah-kisah kami penuh makna.

Sebenarnya, saya mahu kata kepadanya. Jika suatu hari nanti saya menulis buku, watak dia akan menghidupkan kisah di dalam buku itu. Watak utama dan bukannya semut hitam.

Mereka yang hadir dalam hidup saya adalah watak yang sentiasa saya hargai dan bukannya watak yang hanya membayangi diri orang lain. Jadi, kepada sahabat-sahabat kedai kopi saya, anda semua harus tahu bahawa kalianlah yang mewarnai hidup Anis sakinah di zaman kampus dahulu.

Kita memang telah tutup buku lama. Cerita dahulu cukup setakat itu. Namun di sini, saya ingin tegaskan bahawa ukhwah itu tidak akan pernah tamat seperti mana tamatnya episod di drama TV atau berakhirnya pembacaan sebuah buku. Jika kita terpaksa mengalah pada masa dan menuntut untuk tutup buku lama, itu bermakna buku lama itu sudah siap untuk diterbitkan. Mari kita mulakan buku kedua dan kisahnya tentang kedewasaan kita sekarang. Mari menjadi watak untuk siri ke-2.

Petang tadi saya senyum-senyum selepas berbual di telefon dengan seorang sahabat.

“Dia kata kita akan jadi watak dalam kisahnya nanti” kata sahabat saya itu.

Rupanya jawapan yang sepatutnya saya terima di pangkin setahun yang lalu dijawab pada hari ini.





1 comment: