Don't Judge the blog by it's followers

Monday, 24 February 2014

Penulisan Patuh Syariah

Sebenarnya setiap orang pandai menulis cuma kurang pandai mengarang dan mengolah ayat. Itulah kata-kata pembuka semasa saya menghadiri Bengkel Penulisan Novel Islami yang diadakan pada 22 Febuari 2013 bertempat di Akademi Must Read, Wangsa Maju Kuala Lumpur. Dengan niat yang telah lama tertanam dalam diri untuk menimba ilmu penulisan, kaki ini gagah melangkah ke sana. Kata pepatah mengingatkan saya, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jadi, begitulah permulaannya bagaimana diri ini tekad ingin pergi ke bengkel penulisan.

Mengikuti perkembangan penulis-penulis Malaysia di media sosial adalah satu salah aktiviti saya semasa bersosial di Facebook, daripada situ saya mendapat maklumat tentang bengkel ini yang dikongsi dan disebar secara tidak langsung oleh seorang penulis.


Sebelum lanjut bercerita, biarlah saya memberi sedikit info berkaitan bengkel ini. Seramai 17 orang peserta telah menghadiri bengkel ini. Peserta wanita kelihatan lebih ramai berbanding peserta lelaki. Menurut Tuan Khairy Tajudin, ini adalah bengkel yang ke-4 anjuran Khairy Tajudin Resources dengan kerjasama Galeri Ilmu Sdn Bhd dan Penerbitan Citra Fansuri. Turut hadir bersama adalah penulis-penulis dari Galeri Ilmu seperti Khairy Tajudin, Hizamnuddin Awang (Web Sutera) dan Resha Hamzah. Mereka berkongsi teknik-teknik penulisan dan pengalaman. Manakala Cik Nor Liyana Omar (Leanne Adam) berkongsi tentang pengalamannya sebagai seorang editor.

Berpeluang bertemu muka dengan penulis dan editor yang telah lama mencipta nama di dalam industri penulisan seakan satu pengalaman yang menarik buat saya. Manakan tidak, ini adalah bengkel penulisan yang pertama saya hadiri selain sewaktu di universiti dahulu.

Kenapa ingin menjadi seorang penulis? Itu soalan yang dilemparkan kepada saya. Menulis itu adalah satu amanah. Bukan menulis secara suka-suka tetapi mesti dengan tujuan untuk menyampaikan ilmu. Dan, tentu sekali bagi seorang penulis muslim itu perlulah membetulkan niat mereka, inilah nasihat yang diberikan kepada bakal-bakal penulis semasa mendengar ucapan dari Tuan Khairy Tajudin.

Di Malaysia, kira-kira terdapat sebanyak 300 lebih syarikat penerbitan. Jadi, anda bebas berkarya dan menghantar manukrip kepada mana-mana syarikat penerbitan. Namun, haruslah diambil peduli terlebih dahulu berkaitan garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarikat tersebut. Bagi Galeri Ilmu, antara kriteria yang digariskan untuk anda menghasilkan karya mestilah menggunakan Bahasa Melayu tinggi (BMT), patuh syariah, dan mengandungi unsur tarbiah. Inilah yang dijelaskan oleh Tuan Amir Abd Hamid (Resha Hamzah) semasa slot ‘Karya yang diterima oleh editor’.

Menulis dengan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi bukanlah bermaksud tulisan itu perlu ada bahasa sastera yang tinggi dan bahasa yang berbunga-bunga sehingga orang tidak faham. Tetapi menggunakan bahasa standard. Contohnya bahasa yang digunakan di dalam buku teks sekolah. Bahasa yang sesuai dengan gayanya dan mengikut hukum tatabahasa yang betul. 

Perbezaan penulisan lelaki dan wanita itu dilihat dari segi mereka mengolah ayat. Jika penulis lelaki mereka lebih cenderung menulis berkaitan isi, manakala penulis wanita lebih berintikan bahasa yang membuai hati.

Untuk menghasilkan novel perlu tahu berapa peratus untuk mengolah naratif dan diolag. Naratif yang panjang berjela akan membosankan pembaca sedangkan penceritaan novel itu hidup dan bergerak dengan diolag. Di dalam al-Quran ada menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf a.s. yang boleh kita jadikan panduan menulis novel.

Melihat kepada kurangnya novel-novel tarbiah di pasaran membuatkan tim penulisan ini bekerjasama menyampaikan ilmu kepada bakal penulis untuk menyambung legasi mereka. Di mana kita perlu setanding novel-novel cinta yang kurang patuh syariah.

Ini adalah satu hakikat yang perlu kita akui terutama bagi penulis novel. Menulis itu adalah amanah dan menciptakan saham di akhirat kelak. Jadi, perlu tahu penulisan yang bagaimana perlu diterapkan dalam minda masyarakat.

Penulisan patuh syariah?

Terma ‘patuh syariah’ adalah perkataan yang dominan selalu saya dengar ketika belajar dahulu. Memang tidak akan dapat lari dari mengetahui apa itu patuh syariah bilamana mempelajari bidang muamalat. Patuh syariah bukan hanya menjadi bualan manusia kini yang mengambarkan produk-produk kewangan Islam bahkan di dalam penulisan juga perlu menepati syariah.



Penulisan yang patuh syariah bukanlah bermaksud perlu menulis setanding al-Quran dan perlu dihias dengan hadis yang terlalu padat. Sedangkan kita sendiri juga sedia maklum bahawa al-Quran itu tidak dapat ditiru dan tidak mampu kita lakukan. Cukup sekadar ayat biasa yang mengajak manusia ke arah kebaikan dan menolak kemungkaran serta meninggalkan pembaca dengan pengajaran dan teladan yang baik tanpa ada unsur negatif.

Tidak perlu mengambarkan adegan-adegan di ranjang yang membawa pembaca berimaginasi negatif, aksi negatif tidak ditulis secara terperinci dan jangan menggunakan kata-kata kesat dan lucah. Bagi penulis yang bujang (tidak berkahwin lagi) tidak digalakkan dan tidak boleh menulis tentang hubungan suami isteri yang agak keterlaluan untuk digambarkan di dalam novel sehingga menaikkan nafsu ghairah. Sebenarnya banyak novel yang membuai perasaan laku keras di pasaran berbanding novel tarbiah.

Kita ada al-Quran untuk dijadikan panduan. Gunalah teknik surah Yusuf sebagai penyuluh jalan. Teknik yang diperkenalkan oleh Puan Ainon Mohd (Presiden Universiti Terbuka PTS). Bagaimana Allah menceritakan adegan Siti Zulaikha dengan Nabi Yusuf? Adakah ianya diceritakan dengan begitu terperinci sekali?

Jika ada watak wanita tidak menutup aurat juga, tidaklah perlu digambarkan dengan lembut dan panjangnya rambut tersebut, cantik atau menawan. Cukup sekadar mengatakan tidak menutup aurat. Selain itu juga, usah menulis tentang perlakuan maksiat, negatif, dan jenayah dengan mendalam di dalam novel. Hal ini adalah kerana kita akan mencetuskan kelakuan dosa kepada pembaca.

Dalam al-Quran juga ada mengisahkan tentang kisah cinta lelaki dan perempuan seperti Adam dan Hawa, Habil –Qabil -Iqlima, Sulaiman dan Balqis dan lain-lain lagi. Ini menunjukkan bahawa kisah cinta itu bukanlah sesuatu yang haram ditulis. Asalkan patuh syariah, menerapkan pendidikan yang baik dan tidak membangkitkan rasa ingin membuat kejahatan.

Kesimpulannya, bagi seorang penulis novel Islami, amat penting bagi mereka mengetahui garis panduan ini. Ini adalah sebahagian catatan minda saya. Untuk lebih mendalam, bolehlah mencari lebih banyak maklumat berkaitan penulisan patuh syariah.


Sekadar perkongsian.

Gambar kenangan bersama penulis, editor dan peserta bengkel

Tuesday, 18 February 2014

Memori Tercipta

Benarlah kekadang kenangan itu mengusik jiwa. Ia datang membawa keindahan dalam kerinduan. Memori tercipta bak tajuk lagu yang dinyanyikan oleh Shila Amzah. Ya, lagu itu antara lagu yang memberi makna padaku.

Semasa bercuti di Pulau Langkawi bersama sahabat tahun lepas, aku menulis sesuatu perkataan yang terus menjelma dalam ingatan di atas butir pasir Pantai Cenang. Apa lagi yang boleh dibuat di sana, jika tidak berenang di tepian pantai dan membina istana pasir? aku memilih untuk merenung ciptaan Allah yang maha Agung ini.

“Memori tercipta”.

Ranting kayu yang sudah tidak lagi bertahan di dahan pokok aku kutip dan jadikan pena di tangan. Kertasnya pula adalah hamparan pepasir yang tidak terkena air. Sambil menulis, aku menyanyi dengan suara yang agak perlahan. Itulah hobiku. Selain menulis, aku suka menyanyi. Sedap atau tidak usahlah ditanya. Janji hatiku sudah bermelodi.


Kata Cik Puan Azzah Abdul Rahman seorang novelis terkenal; “Orang yang suka menulis itu adalah orang yang pada masa yang sama adalah mereka yang suka menyanyi dan pandai menyanyi. Ehem…iyakah? Itulah kata-katanya yang aku sempat ingat semasa mengunjungi facebooknya. Mungkin itu adalah andaian secara rawak.

Aku meminati seni kerana ianya halus dalam jiwa. Kata orang, jiwa seni ini adalah jiwa yang sangat sensitive. Seni itu tiada sempadan, skema dan garisan. Itu juga bukanlah bermakna apa yang berkaitan seni aku dapat dalami.
Dan menulis juga adalah sebuah penghayatan dalam kejujuran. Bila menulis kita akan berfikir. Otak yang sentiasa berfikir adalah otak yang hidup dengan buah pemikiran.

Berkisar tentang kenangan lalu, aku masih segar merasai bayu pantai ketika itu. Selepas mencoretkan sesuatu di pasir. Aku leka mengulangi bait lirik lagu itu. Entahlah kenapa dalam banyak-banyak lagu, itu yang terkeluar dari mulutku.

Di sini jua memori tercipta
Walau seketika terjalin kasih kita
Mungkin di sini kita kan terpisah
Kenangan bersama tiada kulupa

Yang terpahit juga termanis
Semuanya bagiku terindah
Kuingati buat selama-lamanya


Aku lihat pantai bergelora kecil. Sama seperti hatiku kala itu, geloranya yang entah sampai bila.

Sunday, 9 February 2014

Terus Mendayung

Pendayung itu tidak patah. Jadi, apakah yang engkau fikirkan lagi?

Kau ada sampan, pendayung sudah di tangan. Teruslah mendayung untuk ke sana.

Ingat! Jika malas berusaha, kau akan tenggelam. Tenggelam dalam sungai penulisan apatah lagi dalam lautan penulisan.

Engkau yang masih menunggu di tepian pantai dan di tepian kali sungai tidak akan ke sana jika masih melihat dan menunggu.


Mendayunglah dengan kesungguhan di atas sampan yang kukuh. Beranilah untuk melayari arus. Usah berpatah asa. Terus mendayung. Jangan berfikir lagi jika itu yang engkau inginkan.


Tuesday, 4 February 2014

Putus asa atau Berusaha

Buku nota kecil yang mengandungi ayat-ayat contengan, kata-kata hikmah dan nasihat itu saya selak helaiannya. Rupanya, buku kecil tanpa urus itu diconteng sesuka hati dengan penuh nombor-nombor dan angka. Di situ jugalah tempat membuat kiraan saat mencari kertas lain tidak ditemui.

            Kurangnya usaha dan tiada idea membantutkan kerja penulisan saya. Kadang-kadang ada rasa yang terputus. Putus asa.

            Petang semalam, saya duduk menghadap pintu melihat hijauan pohon untuk menghasilkan idea baru, namun sepertinya kurang menjadi. Idea selalu hadir saat saya di bilik mandi. Itu yang saya tahu. Benda yang tidak pernah terfikir lalu melintas dan menuruni bersama air di bilik mandi. Setiap orang itu berbeza cara untuknya mendapatkan sesuatu idea.

            Dan hari ini, saya buka buku nota kecil ini. Lihat pada nasihat yang pernah saya contengkan. Saat ini saya sangat memerlukan motivasi. Saya seperti orang yang hendak terjun dari bangunan yang tinggi dan pada masa yang sama ingin seseorang datang dan mentarbiahkan jiwa ini. Untuk tingkatkan motivasi, saya perlu kata-kata yang bersahaja namun penuh hikmah. Dengan membaca tulisan yang penuh motivasi pun belum tentu jiwa ini tercucuk.

Dia.

Pernah lontarkan pendapat bersahaja yang saya anggapnya sebagai motivasi secara tidak langsung. Tapi, agak lama kami tidak berhubung.
Helaian diselak-selak.

Mencari bait ayat yang pernah Ustaz AB Hamed tulis di ruang chatting:

“Buat sementara, ustaz cadangkan Anis terus menulis, mana tahu satu hari nanti akan berjaya dalam bidang penulisan…”

Saya tenung dalam-dalam. Minda ligat memikirkan sesuatu. Ya, sudah lama tidak bertanya khabar dengan ustaz. Mahu saja beliau belanja saya makan jika melawatnya di universiti. Tapi apakan daya, langkah ini belum pasti bila akan ke sana.


Nampaknya, saya tidak boleh berputus asa. Jadi teruslah berusaha wahai diri!


Tuesday, 14 January 2014

Pesan Tuan Zamri Mohamad

Menjadi novelis pada tahun ini?
Informasi KursusPenulisan.com
Bengkel Penulisan Novel Cinta
8-9 Febuari 2014
Auditorium Karangkraf, Shah Alam
9.00  pagi-4.00 petang
Selama 12 jam, 720 minit, 2 hari kerjasama Ilham KarangKraf
Semak emel hari ini.

Mesej masuk di telefon.

Sekali lagi peluang terpaksa dilepaskan walaupun azam tahun ini untuk mengikuti Bengkel Penulisan yang dianjurkan oleh team kursuspenulisan.com pernah membara dalam diri. Mungkin belum ada rezeki. Selain mesej yang diterima di telefon bimbit, team ini menghantar emel membuat pemberitahuan mengenai kursus  yang diadakan pada febuari ini.

Dengan bersahaja, jari-jemari pantas membalas emel dari Tuan Zamri Mohamad. Saya melahirkan rasa kecewa kepada Tuan Zamri kerana tidak dapat mengikuti bengkel tersebut atas faktor kewangan.

Pesan Tuan Zamri kepada saya agar sentiasa membaca dan menulis, mohon doa keberkatan dari ibu dan solat dhuha. Bengkel adalah faktor ketiga sahaja.
Segala pesanan itu menjadi semangat buat saya.



Kemudian, saya bertemu pula dengan Puan Mazlia Murat seorang editor di PTS yang merintis penggunaan E-Book untuk dunia blog dan penulisan. Beliau mempromosikan E-Book penulisan dan blog. Saya yeng selalu mengikuti penulis Bahruddin Bekri di facebook secara tak langsung mendapat maklumat dari beliau yang share maklumat tentang E-book tersebut.

Pada mulanya, tujuan hanya ingin membeli E-Book tersebut di facebook Puan Mazlia Murat, tapi disebabkan saya ternampak post beliau mengenai Kelas Online Penulisan Kreatif, terus saya mendaftar. Alhamdulillah, kini saya sedang mengikuti kelas penulisan kreatif dengan bimbingan beliau secara fleksibel. Tugasan demi tugasan direncanakan oleh beliau.

Alhamdulillah, walaupun impian untuk mengikuti bengkel penulisan tidak kesampaian, saya kini lebih selesa mengikuti kelas secara online dengan guru penulisan. Yuran yang dikenakan ketika itu adalah harga yang mampu saya bayar.

Moga, usaha ini bermanfaat kepada saya.



Wednesday, 1 January 2014

Mengadu pada kertas

“Mengadu pada kertas”.

Saya tak pasti perkara ini turut berlaku pada orang lain atau tidak. Tapi itulah kerja saya apabila terasa hati dengan kawan-kawan terutamanya semasa zaman hingusan.

Menulis di helaian kertas atau di mana-mana tempat di dalam buku tulis dengan harapan segala yang terbuku di hati dapat dilepaskan dan pada masa yang sama cuba tunjukkan tingkahlaku merajuk.



Lucu bila dikenangkan semula. Zaman pendeknya akal ketika itu. Bila dah semakin dewasa, jika ada masalah hanya satu tempat pengaduan kita. Mengadulah pada Allah dengan lisan. Iaitu dengan berdoa. Bukan kerana Allah tidak melihat apa yang kita tulis, tapi bukankah mengadu pada Allah dengan berdoa itu sangat digalakkan. Diri kita adalah hamba. Memang selayaknya kita meminta dan mengadu pada Allah.

Bila marah, sedih dan ingin menangis..

Saya tulis di buku apa yang ingin diluah. Panjang berjela seperti ingin buat karangan. Dengan harapan orang faham isi hati kita. Mungkin itulah fungsi surat, untuk menyatakan rasa hati atau tujuan. Maka tidak hairanlah jika surat cinta tidak memberi apa-apa makna kepada si tukang tulis. Maksud yang sama, iaitu untuk menyatakan hasrat hati dan apa-apa saja yang berkaitan dengan monolog dalaman. Inilah hasilnya apabila diolag tidak digunakan.

Namun, saya merasakan…

Tulis di atas kertas juga tiada kesudahnya. Kenapa?
Hari ini saya selesaikan satu kes tidak puas hati antara dua pihak. Mereka adalah adik-adik Maahad Tahfiz yang sedang saya bekerja sekarang. Ceritanya bermula apabila saya terlihat salah seorang dari mereka sedang memegang surat. Pinta saya ketika itu untuk melihat. Bagi saya, sebagai warden di situ, saya perlu tahu tiap masalah di kalangan mereka.

Isi surat dibaca dengan perasaan yang lucu ketika itu, mulalah kenangkan kembali detik hingusan saya. Akhirnya saya berjumpa kedua belah pihak yang bersengketa dalam diam untuk diselesaikan dengan berhadapan antara satu sama lain.

Kata saya kepada mereka: Jika ada masalah bawalah berbincang, face to face dan cari orang tengah untuk mendengar. Bukannya saling berutus surat tanpa bercakap. Orang tengah ketika itu adalah saya. Seperti Jaksa Pendamai pulak ketika itu. Akhirnya perkara yang menjadi duri antara mereka diselesaikan.
Itulah maksud saya, mengadu di dalam kertas atau meluahkan rasa hati di dalam kertas juga tiada kesudahannya.

Tapi tak mengapa…

Tiga hari yang lepas saya melawat bilik adik-adik tahfiz, bimbang kalau-kalau mereka masih bermain atau belum tidur. Ternyata salah seorang dari mereka sedang menangis sambil diari dan pen di tangannya. Puas saya bertanya, namun rasa dihatinya masih belum kuat untuk ceritakan masalahnya. Saya biarkan dulu perkara itu berlalu.

Kata saya: tak mengapalah…sekurang-kurangnya dia berlatih menulis dengan baik. Sebab saya dulu pun punya diari sendiri. Segala rasa hati dicatat di situ.


Sebenarnya, apa yang mereka alami telah saya lalui. Zaman kebudak-budakkan kami hampir sama.

Monday, 30 December 2013

Salam Takziah: Shaharil Salman

Tiada kata lagi selepas ini yang boleh dibicarakan dengannya mengenai dunia blog, buku-buku mahupun bidang penulisan. Sungguh Al- Marhum menjadi rujukan saya dalam bidang berkaitan IT dan blog. Orangnya aktif berblog, dan kini http://www.shaharil.com/ akan menjadi tatapan kenangan para pengunjung blognya.


Ajal maut di tangan Allah, Benar, umur, jodoh, ajal dan rezeki itu rahsia Allah. Al Marhum Shaharil Salman  berlibat dalam kemalangan jalan raya petang kelmarin (30/12/2013).

Kali terakhir melihatnya semasa Hari Konvokesyen baru-baru ini, saya amat kesal dengan diri kerana tidak bertegur sapa dengannya. Dan kali terakhir bersembang dengannya di alam maya, kami berbual mengenal kerjaya. Kami pernah memegang amanah dalam satu exco. Al Marhum ditaklif sebagai Timbalan Pengerusi Exco Keusahawanan Kelab PERKIM UUM sesi 2009/2010. Dan ketika itu saya merupakan setiausaha exco keusahawan. Kami satu team bersama Zakwan Abu Hussin, kenangan menjual buku-buku di Foyer FE, UUM adalah detik kami mula mengenali secara rapat.



Orangnya tidak pernah lokek dengan senyuman apatah lagi tidak pernah menyakiti hati sesiapa, itu yang saya kenal. Sentiasa senyum. Kehilangannya buat saya terkejut, terkelu dan tidak percaya. Walaupun jarang melakukan aktiviti bersama semasa di Universiti, al marhum selalu turun padang jika kami mengajaknya untuk ikut serta dalam aktiviti santai.

Doa dari rakan-rakan blogger yang mengenalinya tidak putus-putus diutuskan di dinding Facebooknya. Semoga al marhum tenang di sana. Dan ditempatkan di kalangan para solehin, kami bakal menyusul ke alam sana. Mahu atau tidak, mati itu pasti dan semua orang akan merasainya. Bersediakah kita?

Ayuh semua, saya mengajak diri saya sendiri dan kita semua untuk sama-sama perbaiki diri dan sentiasa bermuhasabah. Hidup itu terlalu singkat. Sama-sama kita beringat.

Al-Fatihah

Shaharil Salman (1989-2013)