Don't Judge the blog by it's followers

Monday, 24 February 2014

Penulisan Patuh Syariah

Sebenarnya setiap orang pandai menulis cuma kurang pandai mengarang dan mengolah ayat. Itulah kata-kata pembuka semasa saya menghadiri Bengkel Penulisan Novel Islami yang diadakan pada 22 Febuari 2013 bertempat di Akademi Must Read, Wangsa Maju Kuala Lumpur. Dengan niat yang telah lama tertanam dalam diri untuk menimba ilmu penulisan, kaki ini gagah melangkah ke sana. Kata pepatah mengingatkan saya, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jadi, begitulah permulaannya bagaimana diri ini tekad ingin pergi ke bengkel penulisan.

Mengikuti perkembangan penulis-penulis Malaysia di media sosial adalah satu salah aktiviti saya semasa bersosial di Facebook, daripada situ saya mendapat maklumat tentang bengkel ini yang dikongsi dan disebar secara tidak langsung oleh seorang penulis.


Sebelum lanjut bercerita, biarlah saya memberi sedikit info berkaitan bengkel ini. Seramai 17 orang peserta telah menghadiri bengkel ini. Peserta wanita kelihatan lebih ramai berbanding peserta lelaki. Menurut Tuan Khairy Tajudin, ini adalah bengkel yang ke-4 anjuran Khairy Tajudin Resources dengan kerjasama Galeri Ilmu Sdn Bhd dan Penerbitan Citra Fansuri. Turut hadir bersama adalah penulis-penulis dari Galeri Ilmu seperti Khairy Tajudin, Hizamnuddin Awang (Web Sutera) dan Resha Hamzah. Mereka berkongsi teknik-teknik penulisan dan pengalaman. Manakala Cik Nor Liyana Omar (Leanne Adam) berkongsi tentang pengalamannya sebagai seorang editor.

Berpeluang bertemu muka dengan penulis dan editor yang telah lama mencipta nama di dalam industri penulisan seakan satu pengalaman yang menarik buat saya. Manakan tidak, ini adalah bengkel penulisan yang pertama saya hadiri selain sewaktu di universiti dahulu.

Kenapa ingin menjadi seorang penulis? Itu soalan yang dilemparkan kepada saya. Menulis itu adalah satu amanah. Bukan menulis secara suka-suka tetapi mesti dengan tujuan untuk menyampaikan ilmu. Dan, tentu sekali bagi seorang penulis muslim itu perlulah membetulkan niat mereka, inilah nasihat yang diberikan kepada bakal-bakal penulis semasa mendengar ucapan dari Tuan Khairy Tajudin.

Di Malaysia, kira-kira terdapat sebanyak 300 lebih syarikat penerbitan. Jadi, anda bebas berkarya dan menghantar manukrip kepada mana-mana syarikat penerbitan. Namun, haruslah diambil peduli terlebih dahulu berkaitan garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarikat tersebut. Bagi Galeri Ilmu, antara kriteria yang digariskan untuk anda menghasilkan karya mestilah menggunakan Bahasa Melayu tinggi (BMT), patuh syariah, dan mengandungi unsur tarbiah. Inilah yang dijelaskan oleh Tuan Amir Abd Hamid (Resha Hamzah) semasa slot ‘Karya yang diterima oleh editor’.

Menulis dengan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi bukanlah bermaksud tulisan itu perlu ada bahasa sastera yang tinggi dan bahasa yang berbunga-bunga sehingga orang tidak faham. Tetapi menggunakan bahasa standard. Contohnya bahasa yang digunakan di dalam buku teks sekolah. Bahasa yang sesuai dengan gayanya dan mengikut hukum tatabahasa yang betul. 

Perbezaan penulisan lelaki dan wanita itu dilihat dari segi mereka mengolah ayat. Jika penulis lelaki mereka lebih cenderung menulis berkaitan isi, manakala penulis wanita lebih berintikan bahasa yang membuai hati.

Untuk menghasilkan novel perlu tahu berapa peratus untuk mengolah naratif dan diolag. Naratif yang panjang berjela akan membosankan pembaca sedangkan penceritaan novel itu hidup dan bergerak dengan diolag. Di dalam al-Quran ada menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf a.s. yang boleh kita jadikan panduan menulis novel.

Melihat kepada kurangnya novel-novel tarbiah di pasaran membuatkan tim penulisan ini bekerjasama menyampaikan ilmu kepada bakal penulis untuk menyambung legasi mereka. Di mana kita perlu setanding novel-novel cinta yang kurang patuh syariah.

Ini adalah satu hakikat yang perlu kita akui terutama bagi penulis novel. Menulis itu adalah amanah dan menciptakan saham di akhirat kelak. Jadi, perlu tahu penulisan yang bagaimana perlu diterapkan dalam minda masyarakat.

Penulisan patuh syariah?

Terma ‘patuh syariah’ adalah perkataan yang dominan selalu saya dengar ketika belajar dahulu. Memang tidak akan dapat lari dari mengetahui apa itu patuh syariah bilamana mempelajari bidang muamalat. Patuh syariah bukan hanya menjadi bualan manusia kini yang mengambarkan produk-produk kewangan Islam bahkan di dalam penulisan juga perlu menepati syariah.



Penulisan yang patuh syariah bukanlah bermaksud perlu menulis setanding al-Quran dan perlu dihias dengan hadis yang terlalu padat. Sedangkan kita sendiri juga sedia maklum bahawa al-Quran itu tidak dapat ditiru dan tidak mampu kita lakukan. Cukup sekadar ayat biasa yang mengajak manusia ke arah kebaikan dan menolak kemungkaran serta meninggalkan pembaca dengan pengajaran dan teladan yang baik tanpa ada unsur negatif.

Tidak perlu mengambarkan adegan-adegan di ranjang yang membawa pembaca berimaginasi negatif, aksi negatif tidak ditulis secara terperinci dan jangan menggunakan kata-kata kesat dan lucah. Bagi penulis yang bujang (tidak berkahwin lagi) tidak digalakkan dan tidak boleh menulis tentang hubungan suami isteri yang agak keterlaluan untuk digambarkan di dalam novel sehingga menaikkan nafsu ghairah. Sebenarnya banyak novel yang membuai perasaan laku keras di pasaran berbanding novel tarbiah.

Kita ada al-Quran untuk dijadikan panduan. Gunalah teknik surah Yusuf sebagai penyuluh jalan. Teknik yang diperkenalkan oleh Puan Ainon Mohd (Presiden Universiti Terbuka PTS). Bagaimana Allah menceritakan adegan Siti Zulaikha dengan Nabi Yusuf? Adakah ianya diceritakan dengan begitu terperinci sekali?

Jika ada watak wanita tidak menutup aurat juga, tidaklah perlu digambarkan dengan lembut dan panjangnya rambut tersebut, cantik atau menawan. Cukup sekadar mengatakan tidak menutup aurat. Selain itu juga, usah menulis tentang perlakuan maksiat, negatif, dan jenayah dengan mendalam di dalam novel. Hal ini adalah kerana kita akan mencetuskan kelakuan dosa kepada pembaca.

Dalam al-Quran juga ada mengisahkan tentang kisah cinta lelaki dan perempuan seperti Adam dan Hawa, Habil –Qabil -Iqlima, Sulaiman dan Balqis dan lain-lain lagi. Ini menunjukkan bahawa kisah cinta itu bukanlah sesuatu yang haram ditulis. Asalkan patuh syariah, menerapkan pendidikan yang baik dan tidak membangkitkan rasa ingin membuat kejahatan.

Kesimpulannya, bagi seorang penulis novel Islami, amat penting bagi mereka mengetahui garis panduan ini. Ini adalah sebahagian catatan minda saya. Untuk lebih mendalam, bolehlah mencari lebih banyak maklumat berkaitan penulisan patuh syariah.


Sekadar perkongsian.

Gambar kenangan bersama penulis, editor dan peserta bengkel

No comments:

Post a Comment