Don't Judge the blog by it's followers

Showing posts with label kisah tinta pena ku. Show all posts
Showing posts with label kisah tinta pena ku. Show all posts

Saturday, 9 August 2014

Welcome Back, Anis!

Sudah lama saya tidak menulis di sini. Rasa seperti dah lama tinggalkan dunia ‘blogging’. Adakah kerana kekangan masa? Tiada idea? Malas?. Ya. Semua itu adalah perkataan yang saya ciptakan untuk beralasan.

Jika laman blog ini seperti rumah, pasti labah-labah sudah membuat sarang. Anai-anai berkeliaran dan habuk menebal di setiap ruang akibat lama ditinggalkan. Begitulah analoginya.

Sebenarnya banyak sangat perkara yang saya mahu ceritakan, cuma tidak tersusun ayat-ayatnya. Zaman telefon pintar di tangan buat saya malas membuka komputer riba. Itupun salah satu puncanya.

Sayalah orang yang tidak pandai menguruskan masa.
Saya juga tidak telus mengemaskini dunia penulisan saya. Akibatnya, blog yang kedua itu makin dipinggirkan. Saya memang bukan penulis sejati.

Dan sebenarnya juga, hari ini adalah hari yang menggantikan hari-hari yang tertinggal sebelum ini untuk berkarya. Saya perlu mengedit cerpen dan menyemak pruf yang telah diemelkan semula oleh editor.

Sahabat-sahabat sekalian,

Andai anda membaca tulisan ini, tolong doakan saya agar menjadi muslim yang baik. Yang bijak mengatur masa dan tidak mensia-siakan peluang bernafas ini dengan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat.

welcome back.
Mohon berusaha keras.


Friday, 23 May 2014

Watak dan Kisah

Earphone disumbat ke telinga. Muzik dimainkan penuh syahdu. Demi menyelongkar kenangan lama, saya cuba mencari mood melalui lagu. Milo panas yang dibancuh tadi belum diminum. Hanya berada di sebelah kanan. Buku catatan, diari berkalendar di hujung meja tulis. Saya masih mencari jalan untuk memulakan topik pada entry kali ini.

Baiklah. Idea belum datang. Tunggu sekejap. Saya masih berfikir.
…………………………………………

Jika ditanya pada anda, apakah perkara yang anda mahu ubah pada masa lalu?

Mesti ada bukan? Atau tidak perlu?

Sebenarnya, masa lalu itu selalu saja datang menjelma di hadapan kita saat hati kita benar-benar rindu untuk dikembalikan seperti dahulu.  Jika ditanya pada saya, saya rindukan zaman waktu di kampus dahulu. Lepak di pangkin bawah pokok sambil menghirup kopi panas. Ya, mungkin agak keterlaluan pada masa itu, di waktu bintang berkelip dan langit hanya nampak warna bulan, kami masih bercengkerama di bawah pokok seperti di warung kedai kopi. Itulah aktiviti yang paling santai saya kira. Waktu-waktu yang menuntut keseronakan, namun masih menjaga batas-batasnya.

Kata saya pada seorang sahabat, “Nanti kalau kau buat buku, watak kami ada di dalam buku itu?”

Entah mengapa soalan itu diajukan tanpa diduga sedikitpun oleh dia. Berkerut-kerut dahi sahabat saya itu. Lantas dia menjawab penuh selamba.
“Mmmm tak kot, kenapa?”

“Tiada apa.” Wajah saya kembali kendur. Senyum yang lebar tadi mengecut seperti mulut itik. Saya tahu dia hanya bergurau. Dan saya tetap yakin dia adalah penulis yang baik. Semoga dia menulis kisah-kisah kami penuh makna.

Sebenarnya, saya mahu kata kepadanya. Jika suatu hari nanti saya menulis buku, watak dia akan menghidupkan kisah di dalam buku itu. Watak utama dan bukannya semut hitam.

Mereka yang hadir dalam hidup saya adalah watak yang sentiasa saya hargai dan bukannya watak yang hanya membayangi diri orang lain. Jadi, kepada sahabat-sahabat kedai kopi saya, anda semua harus tahu bahawa kalianlah yang mewarnai hidup Anis sakinah di zaman kampus dahulu.

Kita memang telah tutup buku lama. Cerita dahulu cukup setakat itu. Namun di sini, saya ingin tegaskan bahawa ukhwah itu tidak akan pernah tamat seperti mana tamatnya episod di drama TV atau berakhirnya pembacaan sebuah buku. Jika kita terpaksa mengalah pada masa dan menuntut untuk tutup buku lama, itu bermakna buku lama itu sudah siap untuk diterbitkan. Mari kita mulakan buku kedua dan kisahnya tentang kedewasaan kita sekarang. Mari menjadi watak untuk siri ke-2.

Petang tadi saya senyum-senyum selepas berbual di telefon dengan seorang sahabat.

“Dia kata kita akan jadi watak dalam kisahnya nanti” kata sahabat saya itu.

Rupanya jawapan yang sepatutnya saya terima di pangkin setahun yang lalu dijawab pada hari ini.





Saturday, 1 March 2014

Tulisan Macam Kanak-kanak

Tulisan Anis dah semakin matang, tahniah!” ucap sahabat satu kampus.

 Dia adalah orang yang terlibat secara langsung penubuhan blog ini. Sahabat yang banyak membantu saat saya sulit dalam selok-belok dunia blog. Orangnya kuat membaca, tidak seperti saya. Gelaran Miss Librarian sangat sesuai untuk saya gambarkan dia.

Bila digali semula post-post yang lama, saya senyum dan ketawa sendiri. Tulisan macam kanak-kanak yang bercerita tentang sesuatu perkara. Niat saya Cuma satu, iaitu ingin berlatih menulis.

Walaubagaimanapun, saya masih dalam proses belajar. Belajar menulis dengan baik. Kata guru penulisan saya, gaya bahasa saya perlu dikemaskan lagi. InsyaAllah, mana yang kurang, saya akan baiki.

Saya duduk di atas kerusi sambil menunggu pak cik yang menjual tiket bas di Puduraya. Kaunternya kosong, tiada orang. Mungkin dia sedang rehat. Saya duduk di sebelah dia. Seorang warga Bangladesh yang sedang menekan keypad handphonenya.

“Adik, ada pen?” dia menegur saya.
“Ada, sekejap.”

Dia pandang saya lagi sambil segan-segan ingin bertanya lagi.

“Adik, boleh minta tolong, tolong tuliskan nombor ini?”
“Boleh.”

Dia hulurkan sekeping kertas dan pen tadi.

Usai membantunya. Saya berfikir.

Pen, kertas dan tulis.

Ya Allah, jika ini tandanya. Saya perlu lebih bersemangat. Entah mengapa, minda asyik berfikir sahaja adegan tadi.

Saya tekad memilih jalan ini. Moga hati saya kian teguh merealisasikannya.

Belajar dan terus belajar.


Tuesday, 18 February 2014

Memori Tercipta

Benarlah kekadang kenangan itu mengusik jiwa. Ia datang membawa keindahan dalam kerinduan. Memori tercipta bak tajuk lagu yang dinyanyikan oleh Shila Amzah. Ya, lagu itu antara lagu yang memberi makna padaku.

Semasa bercuti di Pulau Langkawi bersama sahabat tahun lepas, aku menulis sesuatu perkataan yang terus menjelma dalam ingatan di atas butir pasir Pantai Cenang. Apa lagi yang boleh dibuat di sana, jika tidak berenang di tepian pantai dan membina istana pasir? aku memilih untuk merenung ciptaan Allah yang maha Agung ini.

“Memori tercipta”.

Ranting kayu yang sudah tidak lagi bertahan di dahan pokok aku kutip dan jadikan pena di tangan. Kertasnya pula adalah hamparan pepasir yang tidak terkena air. Sambil menulis, aku menyanyi dengan suara yang agak perlahan. Itulah hobiku. Selain menulis, aku suka menyanyi. Sedap atau tidak usahlah ditanya. Janji hatiku sudah bermelodi.


Kata Cik Puan Azzah Abdul Rahman seorang novelis terkenal; “Orang yang suka menulis itu adalah orang yang pada masa yang sama adalah mereka yang suka menyanyi dan pandai menyanyi. Ehem…iyakah? Itulah kata-katanya yang aku sempat ingat semasa mengunjungi facebooknya. Mungkin itu adalah andaian secara rawak.

Aku meminati seni kerana ianya halus dalam jiwa. Kata orang, jiwa seni ini adalah jiwa yang sangat sensitive. Seni itu tiada sempadan, skema dan garisan. Itu juga bukanlah bermakna apa yang berkaitan seni aku dapat dalami.
Dan menulis juga adalah sebuah penghayatan dalam kejujuran. Bila menulis kita akan berfikir. Otak yang sentiasa berfikir adalah otak yang hidup dengan buah pemikiran.

Berkisar tentang kenangan lalu, aku masih segar merasai bayu pantai ketika itu. Selepas mencoretkan sesuatu di pasir. Aku leka mengulangi bait lirik lagu itu. Entahlah kenapa dalam banyak-banyak lagu, itu yang terkeluar dari mulutku.

Di sini jua memori tercipta
Walau seketika terjalin kasih kita
Mungkin di sini kita kan terpisah
Kenangan bersama tiada kulupa

Yang terpahit juga termanis
Semuanya bagiku terindah
Kuingati buat selama-lamanya


Aku lihat pantai bergelora kecil. Sama seperti hatiku kala itu, geloranya yang entah sampai bila.

Tuesday, 4 February 2014

Putus asa atau Berusaha

Buku nota kecil yang mengandungi ayat-ayat contengan, kata-kata hikmah dan nasihat itu saya selak helaiannya. Rupanya, buku kecil tanpa urus itu diconteng sesuka hati dengan penuh nombor-nombor dan angka. Di situ jugalah tempat membuat kiraan saat mencari kertas lain tidak ditemui.

            Kurangnya usaha dan tiada idea membantutkan kerja penulisan saya. Kadang-kadang ada rasa yang terputus. Putus asa.

            Petang semalam, saya duduk menghadap pintu melihat hijauan pohon untuk menghasilkan idea baru, namun sepertinya kurang menjadi. Idea selalu hadir saat saya di bilik mandi. Itu yang saya tahu. Benda yang tidak pernah terfikir lalu melintas dan menuruni bersama air di bilik mandi. Setiap orang itu berbeza cara untuknya mendapatkan sesuatu idea.

            Dan hari ini, saya buka buku nota kecil ini. Lihat pada nasihat yang pernah saya contengkan. Saat ini saya sangat memerlukan motivasi. Saya seperti orang yang hendak terjun dari bangunan yang tinggi dan pada masa yang sama ingin seseorang datang dan mentarbiahkan jiwa ini. Untuk tingkatkan motivasi, saya perlu kata-kata yang bersahaja namun penuh hikmah. Dengan membaca tulisan yang penuh motivasi pun belum tentu jiwa ini tercucuk.

Dia.

Pernah lontarkan pendapat bersahaja yang saya anggapnya sebagai motivasi secara tidak langsung. Tapi, agak lama kami tidak berhubung.
Helaian diselak-selak.

Mencari bait ayat yang pernah Ustaz AB Hamed tulis di ruang chatting:

“Buat sementara, ustaz cadangkan Anis terus menulis, mana tahu satu hari nanti akan berjaya dalam bidang penulisan…”

Saya tenung dalam-dalam. Minda ligat memikirkan sesuatu. Ya, sudah lama tidak bertanya khabar dengan ustaz. Mahu saja beliau belanja saya makan jika melawatnya di universiti. Tapi apakan daya, langkah ini belum pasti bila akan ke sana.


Nampaknya, saya tidak boleh berputus asa. Jadi teruslah berusaha wahai diri!


Wednesday, 1 January 2014

Mengadu pada kertas

“Mengadu pada kertas”.

Saya tak pasti perkara ini turut berlaku pada orang lain atau tidak. Tapi itulah kerja saya apabila terasa hati dengan kawan-kawan terutamanya semasa zaman hingusan.

Menulis di helaian kertas atau di mana-mana tempat di dalam buku tulis dengan harapan segala yang terbuku di hati dapat dilepaskan dan pada masa yang sama cuba tunjukkan tingkahlaku merajuk.



Lucu bila dikenangkan semula. Zaman pendeknya akal ketika itu. Bila dah semakin dewasa, jika ada masalah hanya satu tempat pengaduan kita. Mengadulah pada Allah dengan lisan. Iaitu dengan berdoa. Bukan kerana Allah tidak melihat apa yang kita tulis, tapi bukankah mengadu pada Allah dengan berdoa itu sangat digalakkan. Diri kita adalah hamba. Memang selayaknya kita meminta dan mengadu pada Allah.

Bila marah, sedih dan ingin menangis..

Saya tulis di buku apa yang ingin diluah. Panjang berjela seperti ingin buat karangan. Dengan harapan orang faham isi hati kita. Mungkin itulah fungsi surat, untuk menyatakan rasa hati atau tujuan. Maka tidak hairanlah jika surat cinta tidak memberi apa-apa makna kepada si tukang tulis. Maksud yang sama, iaitu untuk menyatakan hasrat hati dan apa-apa saja yang berkaitan dengan monolog dalaman. Inilah hasilnya apabila diolag tidak digunakan.

Namun, saya merasakan…

Tulis di atas kertas juga tiada kesudahnya. Kenapa?
Hari ini saya selesaikan satu kes tidak puas hati antara dua pihak. Mereka adalah adik-adik Maahad Tahfiz yang sedang saya bekerja sekarang. Ceritanya bermula apabila saya terlihat salah seorang dari mereka sedang memegang surat. Pinta saya ketika itu untuk melihat. Bagi saya, sebagai warden di situ, saya perlu tahu tiap masalah di kalangan mereka.

Isi surat dibaca dengan perasaan yang lucu ketika itu, mulalah kenangkan kembali detik hingusan saya. Akhirnya saya berjumpa kedua belah pihak yang bersengketa dalam diam untuk diselesaikan dengan berhadapan antara satu sama lain.

Kata saya kepada mereka: Jika ada masalah bawalah berbincang, face to face dan cari orang tengah untuk mendengar. Bukannya saling berutus surat tanpa bercakap. Orang tengah ketika itu adalah saya. Seperti Jaksa Pendamai pulak ketika itu. Akhirnya perkara yang menjadi duri antara mereka diselesaikan.
Itulah maksud saya, mengadu di dalam kertas atau meluahkan rasa hati di dalam kertas juga tiada kesudahannya.

Tapi tak mengapa…

Tiga hari yang lepas saya melawat bilik adik-adik tahfiz, bimbang kalau-kalau mereka masih bermain atau belum tidur. Ternyata salah seorang dari mereka sedang menangis sambil diari dan pen di tangannya. Puas saya bertanya, namun rasa dihatinya masih belum kuat untuk ceritakan masalahnya. Saya biarkan dulu perkara itu berlalu.

Kata saya: tak mengapalah…sekurang-kurangnya dia berlatih menulis dengan baik. Sebab saya dulu pun punya diari sendiri. Segala rasa hati dicatat di situ.


Sebenarnya, apa yang mereka alami telah saya lalui. Zaman kebudak-budakkan kami hampir sama.

Monday, 9 December 2013

Hari Bahagia (Konvokesyen)

Jatuh dan bangun dalam dunia mencari ilmu bukan suatu perkara yang luar biasa, ianya perkara biasa yang dialami setiap orang. Nasib dan rezeki setiap orang masing-masing berbeza.

 3 Disember 2013 akhirnya telah berlalu, detik yang ditunggu lama sebenarnya pantas sahaja berlalu. The “jubah” day bak kata Mat Lutfi dalam Vlognya. Apa lagi yang boleh dikatakan tentang hari itu. Acara penyampaian sekeping sijil menandakan telah tamat pengajian selama 3 atau 4 tahun, atau aktiviti lompat dan baling topi secara berjemaah. Tak salah jika kita hendak buat apa  sahaja ketika itu. Bagi saya itu adalah hari bahagia.

“Hari bahagia” yang disambut bersama insan-insan yang disayang dan terdekat dengan diri kita. Mereka datang dan meraikan hari kita. Terima kasih semua yang meraikan diriku ini. Memang tidak dapat saya balas sampai bila-bila.

Pengalaman 4 tahun di UUM mengajar erti kecekalan, usaha, sabar dan redha. Niat di hati tak nak “extend” walau macam mana sekalipun. Orang lain bergembira dengan 3 atau 4 subjek sahaja di hujung semester akhir, tetapi tidak pada saya. Honestly, saya mengambil 8 subjek semasa dua semester terakhir disebabkan ada subjek yang perlu diulang. Dan semasa menjalani praktikal, Allah menguji lagi diri ini. Seminggu mata sebelah kiri berkelip-kelip sebelum saya tengok result final exam semester terakhir. Kaku. Mata terpanah pada skrin computer tempat praktikal. Oh inilah tanda kenapa mata saya sebelah kiri asyik berkelip-kelip rupanya ada satu subjek lagi yang tidak lepas.

Alhamdulillah, saya pulang ke UUM dari KL untuk mengambil exam khas dan syukur saya pass. Saya cuma perlu bersangka baik pada Allah kerana sering menguji hati saya supaya lebih kuat. Di sebalik ujian itu, saya singkap pelbagai hikmah.Thanks  ya Allah. Engkau beri hambaMu ini sesuatu yang orang lain tak merasanya. Itulah jatuh bangun saya dalam dunia pembelajaran. Ingat! Allah uji itu mungkin disebabkan dosa-dosa kita yang lalu. Muhasabah.

Saya tidak malu untuk menceritakan semuanya agar menjadi motivasi pada yang lain. Jangan berputus-asa, teruskan melangkah dan cekalkan hati. walaupun tidak beroleh first class, cukup dengan second class upper saya tetap bersyukur.

Saat melangkah ke Dewan MAS,kami diiringi dengan muzik sentimental. Selesai berjalan ke tempat duduk. Kami diminta berdiri dahulu sebelum duduk. Dan ketika itu, air mata mula berjurai. Entah, atas sebab apa saya mengalirkan air mata. Dalam hati:
“kalaulah arwah ayah ada…”

Basah saja mata ketika itu. Sensitif betul hati.

Ayah…inah hadiahkan kejayaan hari ini untuk ayah. Biar ayah tidak nampak tapi inah yakin ayah ada bersama kami =)

Tak banyak perkara yang saya dapat coretkan semasa hari kejadian. Kisah saya biasa sahaja jika nak dibandingkan dengan orang lain yang lebih istimewa kisahnya.


Saya tinggalkan beberapa potret kenangan di sini. 

Thanks a lot kepada keluarga tercinta dan sahabat handai yang meraikan hari bahagiaku..








Keluarga tercinta









Saturday, 10 August 2013

Pena baru

Di laman facebook ramai yang meneropong kita baik keluarga terdekat, sanak saudara, sahabat handai, guru dan pensyarah serta orang-orang luar yang tidak dikenali. Semua golongan ini bercampur dalam alam maya yang mana dapat melihat tiap tulisan kita setiap kali mengupdate status.

Demi menjaga hati atau mengelak dari sebarang ketidakfahaman, tidak sependapat, andaian-andaian, segala macam perspektif dari golongan sanak-saudara, saya mengambil pendekatan untuk mewujudkan satu lagi account fb yang baru untuk saya menulis tanpa sempadan hati.

Ada desas-desus yang timbul apabila tiada teguran sapa di antara anak saudara kepada ibu saudara apabila mereka aktif online. Hal ini lama-kelamaan akan menyebabkan salah faham akibat tidak dapat memuaskan hati pelbagai pihak. Facebook saya yang sekarang ini digunakan secara peribadi dan ada kalanya menjadi ruang untuk saya berpuisi serta menukilkan sesuatu. Akhirnya, saya ingin pisahkan dua dimensi ini lalu mewujudkan 1 facebook yang lain untuk saya berkarya.

Facebook baru saya itu diberi nama Venusia Light. Hanya kenalan rapat dan orang-orang yang tertentu saya add as friend. Tiada sedara-mara yang dekat dan jauh di situ. Saya letih jika ada sedara-mara yang menyalahfaham maksud puisi yang saya sampaikan. Pelbagai tohmahan yang diandai-andaikan. Demi mengelak dari fitnah, saya perlu ada ruang yang baru.


Jika seorang penulis dikritik serta dikutuk hasil karyanya, why not kita yang menulis secara peribadi di laman facebook menerima akibat yang sama.
Saya menulis sesuatu yang menjadi kepekaan saya apabila saya melihat, mendengar, merasa dan memahami. Jika benda itu perlu dikongsi, saya akan pamer di laman facebook.

Wallahualam.


-Teman Setia Ketenangan

Thursday, 25 July 2013

Cari Kerja

Selepas tamat belajar,perkara yang berada dalam fikiran saya sekarang ini adalah mencari pekerjaan yang sesuai. Zaman sekarang agak susah mencari peluang pekerjaan melainkan rezeki masing-masing. Sementara menanti “Hari jubah biru” oktober ini, saya agak runsing mencari kerja.
 

Seperti biasa, langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mencari kerja adalah seperti:

Kadang terpengaruh dengan cakap-cakap orang.
“Kerja apa dah sekarang? “
“Oh, belum kerja, Cuma bantu mak berniaga “
Sahabat saya pernah tanya: kau buat apa sekarang?
Balas saya: oh tolong mak sambil tunggu peluang kerja.
Balasnya: peluang kerja??? Hahah dengan nada ketawa
Saya hanya mengiyakannya.
Kata dia: habis kau tolong mak kau tu, bukan peluang kerja ke? Tu pun kalau kau nak anggap tu peluang lah.
Saya agak tersentak dengan msg yang dibalasnya. Kata-katanya sangat membuka mata.
“aku ada ramai kawan yang parent mereka ada company sendiri, tapi mereka nak cari kerja luar berbanding kerja dengan parent” katanya lagi.
Walaupun kata-katanya berbaur gurauan, dia banyak meransang minda saya.
Itulah kata-kata orang, fikir secara negative ataupun positive!
Niaga dengan mak
Paling senang nak dapat duit adalah dengan berniaga benda yang mampu orang beli, ya..walaupun dengan secucuk cucuq codok (jemput-jemput pisang). Sehari RM 20 dalam tangan.
Bisnes online?
Ada jugak hari tu, saya menjual bedak arab di laman FB, Alhamdulillah walaupun stok yang diambil tak banyak, habis jugak dijual.
Berkelana mencari kerja
Saya dan teman bertebaran mencari kerja sekitar Sungai Petani. Tetapi masih tidak jumpa kerja kosong.
Borang
Ada dua tiga borang permohonan sebagai guru saya ambil, ada yang dah isi, ada yang belum dan ada yang dah hantar ada yang belum. Fikir secara tepat. Orang cakap just try..
Kerja bank
Kenalan mak minta saya mohon kerja di Bank Rakyat, katanya nak pakai orang. Tapi saya kata dekat mak: “ saya tak minat kerja bank mak”, dan saya beri alasan.
Temuduga
Temuduga pertama yang saya hadapi.
Saya berkelana ke Kuala Lumpur untuk interview di Tabung Haji. Walaupun syarat kelayakan untuk graduan yang sudah grad, yang penting usaha. Dapat tak dapat lain cerita, yang penting pengalaman interview. Tabung Haji sekarang dah korporat, tak macam dulu katanya. Time i.v ni ada 3 step yang diharung. Step 1: Ujian Fardu Ain, Step 2: Ujian bertulis B.Inggeris dan step 3 : Temuduga dengan 3 orang ahli panel. Time ni, ada 3 pula sesi. Pertama : sesi pengenalan diri. Kedua: topic perbincangan serta suarakan pandangan. Ketiga: Talk in English.
Tolak tawaran
Surat temuduga sampai di rumah. Selepas baca, hati tidak tergerak untuk pergi temuduga sebagai guru agama. Bukan kerana tidak minat mengajar. Tapi ada sesuatu yang lebih penting saya kena utamakan. Lagipun tempatnya di Klang. Kalau di sekitar K.L saya masih boleh menapak.
Kenapa tak minta kerja di tempat praktikal dulu?
Ada sesuatu yang tersimpan di hati lalu memberi kesan.

Bukan kerna memilih tetapi bukankah pilihan itu di tangan kita? dan saya yakin kepada Allah, ada sesuatu yang menanti di depan saya. Saya menunggu sesuatu yang diharapkan. Tetapi “ia” belum tiba.
Wallahualam.
-TSK

Friday, 25 January 2013

Hala Tuju

Tepat jam 5 pagi, safely arrived at Kuala lumpur!
Bandaraya ini pernah ku jejak dahulu untuk satu tempoh yang tidak panjang tapi cukup memberi pengalaman. Dan berdasarkan pengalaman lalu, maka berbondong-bondong lah beg barang yang ku bawa. Nasib baik si adik datang sekali, boleh meringakan beban sambil  bawa dia datang bercuti di Kuala lumpur. Seperti biasa, rumah maksu ma menjadi “station” bagi sesiapa sahaja sanak-saudara kami yang terdekat untuk bertapak di sini.
Tetiba terfikir, selepas praktikal nanti, ke mana hala tujuku?
Bekerja atau sambung master?
Ustaz Abu Bakar pernah berbicara tentang master in Islamic business yang pada awalnya beliau sedang usahakan ke pihak atasan. insyaAllah, sekiranya proposalnya siap diterima maka September ini dah boleh masuk mendaftar.

melangkah untuk berjaya


Apa-apa pun lihat sahaja nanti. Sebab hanya Tuhan tahu apa ada depan nanti. Sebagai manusia kita hanya mampu merancang dan sebaik-baik rancangan adalah ketentuan Allah bukan?
                                                            

Thursday, 3 January 2013

Semalam yang ku rindui..

Semalam…(2 Jan 2013)….demi menghilangkan keberatan di fikiran dan agak stress dengan exam yang berderet, saya keluar berjalan-jalan melihat alam. Alam hijau yang memberi ketenangan. Area UUM sangat kaya dengan hidupan “hijau”…Alhamdulillah jalan sambil berzikir melihat benda-benda hijau dapat melapangkan fikiran yang semak. sempat jugak saya singgah ke bilik kelab PERKIM, lorong tu nampak sunyi tapi tidak di mata saya...
Penghujung bulan jan ni insyaAllah, saya akan berangkat ke Kuala Lumpur, menjalani praktikal di Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia as known as YaPEIM. Allah telah memudahkan urusan penyewaan rumah di sana. InsyaAllah bakal menetap di Apartment Pantai Indah, Pantai Dalam. Episod baru dalam fasa hidup akan dijalani.
Telah lama ingin keluar dari kepompong lama dan jalani hidup dengan kembara ke negeri orang untuk menguji kemampuan diri. Dari dulu lagi ingin berhijrah sebab tak nak stay di tempat yang sama. Pengalaman bekerja di k.L dulu masih segar tersimpan di dalam kotak  memori. Doakan rezeki saya sentiasa bertambah dan dimurahkan rezeki selalu!
Tanam azam dalam diri, ingin membina karier sendiri dengan langkah sendiri dan tersendiri.
Memori di UUM terlalu banyak untuk dikenangkan..sungguh kerinduan itu telah pun menjelma di benak kala ini.
Terima kasih ya Allah..atas segala-galanya…

Lorong Itu Tidak Sunyi...
Riuh Rendah Kedengaran Mereka Ketawa
Lorong Itu Tidak Sepi
Kerna Wajah Keceriaan Mereka Jelas Terpancar

Semalam..
... Lorong Itu Ku Lalui
Sebuah Sketsa Bermain Di Depan Mata
Sungguh Aku Rindu.

di sini punya cerita ku dan mereka....

Thursday, 15 November 2012

Nyawa di hujung tanduk

Kisah sahabat sejati….
Sekumpulan sahabat beriadah di air terjun …
Dipendekkan cerita ketika sedang bermandi di sana,
Dengan sekilas pandang seorang sahabat telah lemas dek kecerunan dasar yang tak diduga berdekatan air terjun (lubuk). Demi menyelamatkan si A, si B yang hampir dengan sahabatnya yang lemas cuba memegang si A yang telah lemas. Akhirnya misi menyelamatkan si A tidak berjaya kerana si B juga tidak pandai berenang. Kedua-duanya lemas ditenggelami air kerana kaki tidak tercapai ke dasar. Si C yang melihat kedua sahabatnya kelemasan, serta merta turut sama ingin membantu…tetapi si C juga turut lemas akibat tidak tahu berenang. Dalam keadaan yang lemas, sambil tangan cuba menongkah air agar hidung mencecah ke permukaan air , terasa seperti nyawa dihujung tanduk. Tidak sampai seminit kejadian berlaku terasa seolah-olah 3 minit berada di dalam air.
Dalam hati bertafakur mengingati Allah dan mati. : “adakah pengakhiran hidupku lemas di dalam air” suara hati mereka mula bertandang. Menunggu malaikat mencabut nyawa…
Semasa kejadian: tinggal dua orang sahabat yang lain…
Si D hanya memerhatikan kakak-kakaknya yang lemas dek kerana tidak dapat membantu, khuatiri beliau juga tidak dapat membantu apa-apa kerana tidak pandai berenang. Peristiwa lemas nya yang dulu kembali di benak ketika itu hingga membuat dirinya terkesima. Dia hanya mampu menjerit meminta pertolongan. Tetapi suaranya tidak didengari kerna terjunan air sekitar itu amat kuat.
Akhirnya dengan pertolongan dari Allah, Si E yang juga tidak tahu berenang cuba mendapatkan mereka yang lemas dengan doa dan kudrat yang beliau ada. Perkara pertama yang beliau lakukan adalah dengan menolak sahabat-sahabatnya yang sedang bertarung di dalam air ke tempat yang lebih selamat.
Pantas masa berjalan ketika itu, mereka bertiga sedar-sedar sudah pun berada di atas batu-batu kecil berdekatan tempat yang selamat. Nafas dihela selaju-lajunya…, jantung berdegup kencang, dan dada ketika itu umpama kembang-kempis mengandungi air. Dengan kuasa Allah, keempat-empat mereka selamat.
Apabila diceritakan semula, terasa seperti keajaiban berlaku, si E dapat menyelamatkan mereka bertiga dengan menolak sahabat-sahabatnya di permukaan air dan terdampar di tepi batu. Sedangkan beliau tidak tahu berenang. Apa yang mereka hargai adalah sifat mementingkan nyawa orang lain berbanding diri sendiri. Tiba-tiba mode berrmuhasabah diri mengelilingi mereka….

Allahu Rabbi…demi persahabatan ini..Engkau berikan perlindungan serta rahmatMu…
Di sebalik peristiwa ini, banyak tersimpul hikmah dan pengajarannya…kerana yang mengalami akan merasainya..
Pengajaran:
1-      Masuk ke hutan, jangan lupa baca doa terlebih dahulu
2-      Jangan terlalu seronok untuk sesuatu perkara kerana bimbang malang mengekori
3-      Pentingnya sukan berenang hingga Rasulullah juga menganjurkannya malah sunnah Rasulullah yang perlu kita belajar.
4-      Sentiasa berwaspada ketika berada di kawasan air terjun
5-      Nilai persahabatan yang tinggi
6-      Sentiasa ingat mati
7-      Dapat merasai detik lemas yang sebelum ini hanya melihat di kaca televisyen.
Wallhua’lam…

Cerita ini berkaitan penulis bersama sahabat-sahabatnya..
Starring:
Si A: Ayong
Si B: Angah (penulis)
Si C: Zulaika adik
Si D: AdeQ (fasihah)
Si E: Zulaikho

Turut membantu: dua orang adik beradik Zulaikho.
bukan gambar sebenar

sekadar gambar hiasan


Sunday, 28 October 2012

Tinta si Sahabat Maya

Saat ku mengenali sahabat maya di laman sosial facebook, terkesima sekejap dengan dirinya ..seolah-olah telah mengenali diriku secara dekat. Hanya bertalikan “Ukhwah” kami seperti sejiwa bersama dalam mengeluarkan kata-kata, status FB ku dikomennya dengan memberi pandangan serta kata-kata pemikat jiwaku..
Terdetik di hati ingin melihat orangnya, tapi apakan daya pintaku agar beliau menjelma dari maya seolah dibisukan dengan alasan suatu hari nanti “kita pasti akan mengenali secara fizikal” . Mungkinkah dia pelajar sini juga atau sebaliknya. Apa-apa pun itu bukanlah sebab atau syarat untuk berukhwah bukan?
Saya senang berbicara dengannya walau hanya dia mengenali saya, terasa seperti tidak adil apabila saya tidak dapat melihat wajahnya kerna beliau tidak meletakkan sekeping gambar pon di facebook nya...
                                                            
Suatu hari, kebinggungan saya bertambah apabila beliau meninggalkan pesanan di ruang “message” facebook saya dengan pertanyaan seperti ini:


Assalamualaikum.. akak..
Dari blog akak..pnulisan akak lebih kepada hati dan penghayatan diri.. serta ana lihat ada elemen kasih sayang dan pengharapan.. jadi terungkap di pemikiran cetek ana ini untuk bertanya beberapa rangkaian soalan kiranya akak sudi...
Dari penulisan dan gambar dalam blog akak yang memaparkan "temenung" seorang diri, ana  ingin bertanya untuk kepastian.. sekurangnya ana mengenali sahabat ana ini bkn hanya pada luaran.. izinkan ana btanya..
pertama:akak rasa sunyi ke?
kedua:akak sedang mecari pasangan terbaik utk akak ke?
ketiga: akak risau masa depan akak yang x pasti lagi mcm mana?
sekiranya persoalan ini mampu dijawab,jawablah dgn hati..kiranya ianya terlalu rumit.. selamilah diri. maafkan ana akak sekiranya apa yg ana rasa ini sama dgn apa yang akak rasa.. saya hanya ingin berkongsi.

******************************
Allah pinjamkan ilmunya untuk saya memahami org.. hm.fitrah kita sbg manusia ni memang banyak pemikiran, perasaan, keinginan, nafsu yg ingin dicapai namun semua itu ada batasnya yg mjadi kokongan pada diri.. dan kita adakalanya jadi serba salah dgn diri kita krna jwpan yang tak pasti..
akak.. akak ada kekuatan tersendiri dan luahan akak secara baik mlalui pnulisan.. dan terkesan juga dihati saya, sbb itu sy percaya akak mnulis dari hati dan naluri akak sdiri. 'Sesungguhnya setiap ksulitan itu ada kemudahannya'..
*****************************
“Adakalanya kita menjadi serba salah dengan diri sendiri kerana jawapan yang tidak pasti.”

Allahu rabbi…belum pernah saya jumpa dengan insan seperti ini, rupa-rupanya dia juga mengikuti blog TSK. Saya membalas tiap pertanyaannya dan mengatakan apa yang menjadi persoalannya adalah jawapan buat dirinya juga. Segala tekaan dari pemerhatiannya mengenai diri saya dibaca satu per satu. Ada beberapa soalan lagi yang saya tidak dapat kongsikan di sini kerana terlalu peribadi.  Bagaimana bisa seorang yang tidak pernah bersua muka denganku sepertinya dia mengetahui tiap coretan hatiku..(bermonolog dalam hati).
Allah menghantar beliau kepadaku pasti tidak sia-sia bukan? Hikmah berkawan adalah rahsia Allah kerna kita tidak tahu apa akan ada depan kita nanti.

click  "picture"  for the full image ^^

Semoga kami bertemu di alam nyata! ^^

Monday, 30 July 2012

Doakan Kejayaan kami!

Alhamdulillah. Selepas bertahun ..kami bertemu semula….terutamanya syahidah yang sudah tamat pengajian ijazah nya dalam bidang bahasa arab di Universiti Al-al Bayt, Jordan dan Amira yang pulang bercuti semester di sini selama 2 bulan…juga sedang melanjutkan ijazah dalam bidang yang sama di Universiti Al-Azhar, Mesir. …mereka berdua lah sahabat saya yang ke oversea.

Bak kata sahabat yang lain “ tak..pe kita duk Malaysia, jaga Malaysia..hehe” begitulah seingat saya tika di bangku sekolah. Dari sekolah rendah kita bersama especially with syahidah, syafika, amira, shahira dan hakimah. Tidak lupa juga khodie yang mula menjejak kaki di Daris semasa form 4. Kita semua rapat dan terus kekal sehingga kini.

Kini, masing-masing memburu impian dalam jihad ilmu di atas landasan kehidupan tersendiri. Kelebihanmu  merawat kekuranganku, kekuranganmu ku sembuhkan dengan kelebihanku.



Setiap ruang tercipta memori…bagaikan semalam kita berada di dalam kelas, berbaris di belakang mengawal perhimpunan..dan sebagainya..hampir lupa tuk diceritakan di sini. Kadang-kadang tak semua babak kehidupan itu dapat kita ingati kan? Cukuplah sekadar merasa dan mengalaminya, kerna yang mengalami akan merasainya.


InsyaAllah setahun dua lagi kita bakal melepasi fasa “pengijazahan”dan menaiki ke fasa yang seterusnya mengikut kehendak hati masing-masing. Ilmu yang ada kita amalkan dan seterusnya berbakti…sejajar dengan moto sekolah tercinta, “Berilmu, Beramal, Bertakwa, dan Berbakti. InsyaAllah doakan kejayaan kami semua!

Doakan kejayaan kami…
Anis Sakinah Azizan, jurusan Pentadbiran Muamalat, Universiti Utara Malaysia.
Nor Syafika Ridzuan, jurusan Perbankan Islam, Universiti Utara Malaysia
Siti Khodijah Che Mee, jurusan Bahasa dan Linguistik, Universiti Putra Malaysia.
Nur Amera Che Harun, jurusan Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar, Mesir
Nuur Syahidah Shaari, jurusan Bahasa Arab, Universiti Al-al-Bayt, Jordan
Nor Shahira Babjan, jurusan Perakaunan, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam
Nor Hakimah Azemi, jurusan Syariah, Kolej Universiti Insaniah.

Tintaku melakar...