Don't Judge the blog by it's followers

Tuesday, 4 February 2014

Putus asa atau Berusaha

Buku nota kecil yang mengandungi ayat-ayat contengan, kata-kata hikmah dan nasihat itu saya selak helaiannya. Rupanya, buku kecil tanpa urus itu diconteng sesuka hati dengan penuh nombor-nombor dan angka. Di situ jugalah tempat membuat kiraan saat mencari kertas lain tidak ditemui.

            Kurangnya usaha dan tiada idea membantutkan kerja penulisan saya. Kadang-kadang ada rasa yang terputus. Putus asa.

            Petang semalam, saya duduk menghadap pintu melihat hijauan pohon untuk menghasilkan idea baru, namun sepertinya kurang menjadi. Idea selalu hadir saat saya di bilik mandi. Itu yang saya tahu. Benda yang tidak pernah terfikir lalu melintas dan menuruni bersama air di bilik mandi. Setiap orang itu berbeza cara untuknya mendapatkan sesuatu idea.

            Dan hari ini, saya buka buku nota kecil ini. Lihat pada nasihat yang pernah saya contengkan. Saat ini saya sangat memerlukan motivasi. Saya seperti orang yang hendak terjun dari bangunan yang tinggi dan pada masa yang sama ingin seseorang datang dan mentarbiahkan jiwa ini. Untuk tingkatkan motivasi, saya perlu kata-kata yang bersahaja namun penuh hikmah. Dengan membaca tulisan yang penuh motivasi pun belum tentu jiwa ini tercucuk.

Dia.

Pernah lontarkan pendapat bersahaja yang saya anggapnya sebagai motivasi secara tidak langsung. Tapi, agak lama kami tidak berhubung.
Helaian diselak-selak.

Mencari bait ayat yang pernah Ustaz AB Hamed tulis di ruang chatting:

“Buat sementara, ustaz cadangkan Anis terus menulis, mana tahu satu hari nanti akan berjaya dalam bidang penulisan…”

Saya tenung dalam-dalam. Minda ligat memikirkan sesuatu. Ya, sudah lama tidak bertanya khabar dengan ustaz. Mahu saja beliau belanja saya makan jika melawatnya di universiti. Tapi apakan daya, langkah ini belum pasti bila akan ke sana.


Nampaknya, saya tidak boleh berputus asa. Jadi teruslah berusaha wahai diri!


Tuesday, 14 January 2014

Pesan Tuan Zamri Mohamad

Menjadi novelis pada tahun ini?
Informasi KursusPenulisan.com
Bengkel Penulisan Novel Cinta
8-9 Febuari 2014
Auditorium Karangkraf, Shah Alam
9.00  pagi-4.00 petang
Selama 12 jam, 720 minit, 2 hari kerjasama Ilham KarangKraf
Semak emel hari ini.

Mesej masuk di telefon.

Sekali lagi peluang terpaksa dilepaskan walaupun azam tahun ini untuk mengikuti Bengkel Penulisan yang dianjurkan oleh team kursuspenulisan.com pernah membara dalam diri. Mungkin belum ada rezeki. Selain mesej yang diterima di telefon bimbit, team ini menghantar emel membuat pemberitahuan mengenai kursus  yang diadakan pada febuari ini.

Dengan bersahaja, jari-jemari pantas membalas emel dari Tuan Zamri Mohamad. Saya melahirkan rasa kecewa kepada Tuan Zamri kerana tidak dapat mengikuti bengkel tersebut atas faktor kewangan.

Pesan Tuan Zamri kepada saya agar sentiasa membaca dan menulis, mohon doa keberkatan dari ibu dan solat dhuha. Bengkel adalah faktor ketiga sahaja.
Segala pesanan itu menjadi semangat buat saya.



Kemudian, saya bertemu pula dengan Puan Mazlia Murat seorang editor di PTS yang merintis penggunaan E-Book untuk dunia blog dan penulisan. Beliau mempromosikan E-Book penulisan dan blog. Saya yeng selalu mengikuti penulis Bahruddin Bekri di facebook secara tak langsung mendapat maklumat dari beliau yang share maklumat tentang E-book tersebut.

Pada mulanya, tujuan hanya ingin membeli E-Book tersebut di facebook Puan Mazlia Murat, tapi disebabkan saya ternampak post beliau mengenai Kelas Online Penulisan Kreatif, terus saya mendaftar. Alhamdulillah, kini saya sedang mengikuti kelas penulisan kreatif dengan bimbingan beliau secara fleksibel. Tugasan demi tugasan direncanakan oleh beliau.

Alhamdulillah, walaupun impian untuk mengikuti bengkel penulisan tidak kesampaian, saya kini lebih selesa mengikuti kelas secara online dengan guru penulisan. Yuran yang dikenakan ketika itu adalah harga yang mampu saya bayar.

Moga, usaha ini bermanfaat kepada saya.



Wednesday, 1 January 2014

Mengadu pada kertas

“Mengadu pada kertas”.

Saya tak pasti perkara ini turut berlaku pada orang lain atau tidak. Tapi itulah kerja saya apabila terasa hati dengan kawan-kawan terutamanya semasa zaman hingusan.

Menulis di helaian kertas atau di mana-mana tempat di dalam buku tulis dengan harapan segala yang terbuku di hati dapat dilepaskan dan pada masa yang sama cuba tunjukkan tingkahlaku merajuk.



Lucu bila dikenangkan semula. Zaman pendeknya akal ketika itu. Bila dah semakin dewasa, jika ada masalah hanya satu tempat pengaduan kita. Mengadulah pada Allah dengan lisan. Iaitu dengan berdoa. Bukan kerana Allah tidak melihat apa yang kita tulis, tapi bukankah mengadu pada Allah dengan berdoa itu sangat digalakkan. Diri kita adalah hamba. Memang selayaknya kita meminta dan mengadu pada Allah.

Bila marah, sedih dan ingin menangis..

Saya tulis di buku apa yang ingin diluah. Panjang berjela seperti ingin buat karangan. Dengan harapan orang faham isi hati kita. Mungkin itulah fungsi surat, untuk menyatakan rasa hati atau tujuan. Maka tidak hairanlah jika surat cinta tidak memberi apa-apa makna kepada si tukang tulis. Maksud yang sama, iaitu untuk menyatakan hasrat hati dan apa-apa saja yang berkaitan dengan monolog dalaman. Inilah hasilnya apabila diolag tidak digunakan.

Namun, saya merasakan…

Tulis di atas kertas juga tiada kesudahnya. Kenapa?
Hari ini saya selesaikan satu kes tidak puas hati antara dua pihak. Mereka adalah adik-adik Maahad Tahfiz yang sedang saya bekerja sekarang. Ceritanya bermula apabila saya terlihat salah seorang dari mereka sedang memegang surat. Pinta saya ketika itu untuk melihat. Bagi saya, sebagai warden di situ, saya perlu tahu tiap masalah di kalangan mereka.

Isi surat dibaca dengan perasaan yang lucu ketika itu, mulalah kenangkan kembali detik hingusan saya. Akhirnya saya berjumpa kedua belah pihak yang bersengketa dalam diam untuk diselesaikan dengan berhadapan antara satu sama lain.

Kata saya kepada mereka: Jika ada masalah bawalah berbincang, face to face dan cari orang tengah untuk mendengar. Bukannya saling berutus surat tanpa bercakap. Orang tengah ketika itu adalah saya. Seperti Jaksa Pendamai pulak ketika itu. Akhirnya perkara yang menjadi duri antara mereka diselesaikan.
Itulah maksud saya, mengadu di dalam kertas atau meluahkan rasa hati di dalam kertas juga tiada kesudahannya.

Tapi tak mengapa…

Tiga hari yang lepas saya melawat bilik adik-adik tahfiz, bimbang kalau-kalau mereka masih bermain atau belum tidur. Ternyata salah seorang dari mereka sedang menangis sambil diari dan pen di tangannya. Puas saya bertanya, namun rasa dihatinya masih belum kuat untuk ceritakan masalahnya. Saya biarkan dulu perkara itu berlalu.

Kata saya: tak mengapalah…sekurang-kurangnya dia berlatih menulis dengan baik. Sebab saya dulu pun punya diari sendiri. Segala rasa hati dicatat di situ.


Sebenarnya, apa yang mereka alami telah saya lalui. Zaman kebudak-budakkan kami hampir sama.

Monday, 30 December 2013

Salam Takziah: Shaharil Salman

Tiada kata lagi selepas ini yang boleh dibicarakan dengannya mengenai dunia blog, buku-buku mahupun bidang penulisan. Sungguh Al- Marhum menjadi rujukan saya dalam bidang berkaitan IT dan blog. Orangnya aktif berblog, dan kini http://www.shaharil.com/ akan menjadi tatapan kenangan para pengunjung blognya.


Ajal maut di tangan Allah, Benar, umur, jodoh, ajal dan rezeki itu rahsia Allah. Al Marhum Shaharil Salman  berlibat dalam kemalangan jalan raya petang kelmarin (30/12/2013).

Kali terakhir melihatnya semasa Hari Konvokesyen baru-baru ini, saya amat kesal dengan diri kerana tidak bertegur sapa dengannya. Dan kali terakhir bersembang dengannya di alam maya, kami berbual mengenal kerjaya. Kami pernah memegang amanah dalam satu exco. Al Marhum ditaklif sebagai Timbalan Pengerusi Exco Keusahawanan Kelab PERKIM UUM sesi 2009/2010. Dan ketika itu saya merupakan setiausaha exco keusahawan. Kami satu team bersama Zakwan Abu Hussin, kenangan menjual buku-buku di Foyer FE, UUM adalah detik kami mula mengenali secara rapat.



Orangnya tidak pernah lokek dengan senyuman apatah lagi tidak pernah menyakiti hati sesiapa, itu yang saya kenal. Sentiasa senyum. Kehilangannya buat saya terkejut, terkelu dan tidak percaya. Walaupun jarang melakukan aktiviti bersama semasa di Universiti, al marhum selalu turun padang jika kami mengajaknya untuk ikut serta dalam aktiviti santai.

Doa dari rakan-rakan blogger yang mengenalinya tidak putus-putus diutuskan di dinding Facebooknya. Semoga al marhum tenang di sana. Dan ditempatkan di kalangan para solehin, kami bakal menyusul ke alam sana. Mahu atau tidak, mati itu pasti dan semua orang akan merasainya. Bersediakah kita?

Ayuh semua, saya mengajak diri saya sendiri dan kita semua untuk sama-sama perbaiki diri dan sentiasa bermuhasabah. Hidup itu terlalu singkat. Sama-sama kita beringat.

Al-Fatihah

Shaharil Salman (1989-2013)


Monday, 23 December 2013

Menangisi ujian

Semalam saya post gambar saya yang tegak berdiri menghadap pantai di instagram dan caption ketika itu saya tulis ayat yang berkaitan ujian. Ayatnya berbunyi begini :

perkara sulit adalah semasa kita ditimpa ujian yang membuatkan kita tertanya-tanya apa yang ada di sebalik ujian ini. Ujian datang menuntut kesabaran walau terkadang kesabaran itu mengambil masa seminit, sejam, sehari, seminggu, sebulan dan bertahun ataupun sabar sehingga ajal mendatang.”

Menangisi ujian untuk apa?

Saya seorang yang tidak sabar, sebab itu saya selalu menangisi akan sesuatu yang saya rasa berat di fikiran dan sakit di hati. ya itu saya! Ketika saya tidak lagi memandang orang lain yang lebih berat ujiannya. Saya merasakan seolah-olah dunia ini tidak lagi adil, langit yang selalu gelap, hujan yang turun tanpa henti dan kemarau yang  berpanjangan. Dan ketika itu, hati hanya inginkan Allah sebagai pendamai resah di hati. Biar berjurai air mata memohon doa darinya. Benarlah firman Allah yang menyuruh hamba-hambaNya supaya meminta pertolongan dariNya dengan sabar dan solat. Kata mereka yang tidak pernah putus-putus mengucap perkara yang sama iaitu sabar dan doa banyak-banyak.

Menangis itu bukan tanda lemah tetapi menangis untuk kuat. Dan ubat selepas kita menangis adalah merasai kepuasan atau lega. Menangislah di atas dosa-dosa kita yang lalu, sesungguhnya tangisan itu hanya untuk penyucian jiwa.

Pernah kita lalui perkara yang begitu sulit dalam hidup kita?

Ini cerita dari salah seorang sahabat saya yang bercerita tentang derita yang pernah dialami oleh Abu (bukan nama sebenar).
Abu pernah terselamat dari sebuah kemalangan yang meragut nyawa kakak dan ibu saudaranya. Ketika itu abang dan abang iparnya cedera teruk. Kemalangan yang agak tragis juga saya kira mengikut cerita yang didengar. Dan perkara paling tidak logik adalah sebelum kemalangan kata Abu, dia seperti membuka pintu kereta sambil membetulkan kasutnya di luar dan sedar-sedar kereta mereka telah diseret oleh kereta lain ketika membuat u-turn di persimpangan. Abu tersedar dan melihat kakaknya yang ketika itu sudah nazak memesan sesuatu kepadanya. Abu langsung tidak menangis walau setitik pun air mata. Abu sempat mengajar makcik dan kakaknya mengucap. Sesudah itu dia terus berlari sekuat hati mengkhabarkan tentang kemalangan yang mereka alami kepada ahli di rumah. Yang kebetulan ketika itu , lokasi kemalangan tidak jauh dari rumahnya.

Sesudah urusan pegebumian, Abu didesak oleh ahli keluarga untuk menceritakan perkara yang berlaku dan mereka semua tidak percaya langsung yang Abu selamat dan berada di luar kereta sebelum kemalangan berlaku. Dia sendiri pun tidak tahu bagaimana dia boleh berada di luar kereta sambil membetulkan kasut dan melihat kereta yang mereka naiki diseret laju. Sepantas kilat kejadian berlaku. Semua memarahinya dan binggung bagaimana dia terselamat. Dia dipukul, dilayan dengan kasar hingga diangkat ke dinding rumah untuk mengaku perkara yang sebenar. Hari itu dia menangis kerana tiada siapa yang percaya apa yang dikatakannya kecuali ibunya yang selalu menenangkannya.

Saya dengar cerita ini dengan penuh rasa sedih. Ya Allah betapa dasyatnya perkara yang dia alami. Rupanya dia pernah mengalami perkara yang sangat sulit. Itulah ujian buat dirinya.

Patutlah dia sangat tenang ketika kami dendangkan dia dengan ujian yang kami alami, katanya: hadapi saja ujian itu, nikmatilah ujian itu.
Dia antara sahabat saya yang mengajarkan erti kehidupan ini. Sahabat yang unik saya kira.

Berbalik kepada kejadian luar biasa yang dialaminya, saya mengajak kita semua untuk merenung perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada hamba-hambaNya iaitu Maunah. Dialah yang Allah kehendaki untuk terselamat dari kemalangan itu jika difikir dengan akal memang tidak logik. Itulah kehebatan Allah. Allah memberinya kejadian luar biasa yang bernama Maunah.

Itulah ujian yang Abu hadapi sebelum dia memasuki Universiti dan sebelum kami bertemu sebagai sahabat. Sehingga kini, saya pasti peristiwa yang dialaminya itulah yang menjadikan dia sangat kuat orangnya.

Ujian…
Ketika menhadapinya sangat sulit
Sesudah melihat hikmahnya                          
Kita pasti berlapang dada
Sabar dan solat (doa) itu kuncinya.

Muhasabah.


Tuesday, 10 December 2013

Makna Cinta

Makna cinta itu pelbagai teman..
Kadang-kadang cinta datang untuk pergi.
Cinta itu bukan untuk memiliki tetapi merasai
Walau sekejap,
Ia datang untuk pergi
Kerna cinta yang akan datang semula adalah cinta yang abadi
Dengan cinta juga terlahirlah kita sebagai seorang manusia yang penuh dengan rasa cinta
Hidup penuh cinta.

Sebenarnya saya tidak tahu apa maksud cinta dan ini adalah petikan yang saya 
ambil dari ruang facebook. Tidak pasti kata-kata ini daripada siapa.




MAKSUD CINTA...

jika kamu cintakan seseorang kerana kecantikan itu bukanlah cinta tetapi adalah syahwat,

jika kamu cintakan seseorang kerana kepandaian itu bukanlah cinta tetapi adalah kagum,

jika kamu cintakan seseorang kerana semata kekayaan itu bukanlah cinta tetapi kebendaan,

jika kamu cintakan seseorang kerana baik pada pandangan kamu itu bukanlah cinta tetapi syukur untuk pancaindera kamu,

tetapi jika kamu mencintai seseorang dan kamu tidak tahu mengapa kamu mencintainya................

maka inilah cinta yang hakiki..........


Jika ditanya pada saya antara cinta dan persahabatan mana satu menjadi pilihan.

Jawab saya: persahabatan

Jika ditanya antara cinta dan pengorbanan mana satu saya akan pilih.

Jawab saya: pengorbanan.

Saya teringat kata-kata dari sebuah filem Hindustan yang saya suka tonton kerana sastera mereka yang mengusik jiwa. Katanya:

“Cinta bukan untuk dimiliki, tetapi untuk mendiamkan diri demi kebahagiaan orang lain”

Hati terdetik untuk setuju dengan kata-katanya. Walhal pasti mereka yang inginkan cinta mereka dimiliki akan menolak kenyataan ini. Terpulang, kerna makna cinta setiap orang berbeza-beza.

Adakah cinta itu seperti terasa sesuatu di dalam hati? samakah jatuh suka dengan jatuh cinta? Dan sekali lagi cinta itu bagaimana?
Bagi saya, cinta itu saat kita menyukai atau menyintai seseorang itu tanpa sebab.

Hadirnya memberi rasa,
perginya amat terasa
dan melupakannya sangat terseksa.
Semuanya perlukan masa
Untuk kembali seperti biasa.

Hanya pendapat peribadi. Kan dah beritahu..makna cinta setiap orang berbeza-beza..


-TemanSetiaKetenangan

Monday, 9 December 2013

Hari Bahagia (Konvokesyen)

Jatuh dan bangun dalam dunia mencari ilmu bukan suatu perkara yang luar biasa, ianya perkara biasa yang dialami setiap orang. Nasib dan rezeki setiap orang masing-masing berbeza.

 3 Disember 2013 akhirnya telah berlalu, detik yang ditunggu lama sebenarnya pantas sahaja berlalu. The “jubah” day bak kata Mat Lutfi dalam Vlognya. Apa lagi yang boleh dikatakan tentang hari itu. Acara penyampaian sekeping sijil menandakan telah tamat pengajian selama 3 atau 4 tahun, atau aktiviti lompat dan baling topi secara berjemaah. Tak salah jika kita hendak buat apa  sahaja ketika itu. Bagi saya itu adalah hari bahagia.

“Hari bahagia” yang disambut bersama insan-insan yang disayang dan terdekat dengan diri kita. Mereka datang dan meraikan hari kita. Terima kasih semua yang meraikan diriku ini. Memang tidak dapat saya balas sampai bila-bila.

Pengalaman 4 tahun di UUM mengajar erti kecekalan, usaha, sabar dan redha. Niat di hati tak nak “extend” walau macam mana sekalipun. Orang lain bergembira dengan 3 atau 4 subjek sahaja di hujung semester akhir, tetapi tidak pada saya. Honestly, saya mengambil 8 subjek semasa dua semester terakhir disebabkan ada subjek yang perlu diulang. Dan semasa menjalani praktikal, Allah menguji lagi diri ini. Seminggu mata sebelah kiri berkelip-kelip sebelum saya tengok result final exam semester terakhir. Kaku. Mata terpanah pada skrin computer tempat praktikal. Oh inilah tanda kenapa mata saya sebelah kiri asyik berkelip-kelip rupanya ada satu subjek lagi yang tidak lepas.

Alhamdulillah, saya pulang ke UUM dari KL untuk mengambil exam khas dan syukur saya pass. Saya cuma perlu bersangka baik pada Allah kerana sering menguji hati saya supaya lebih kuat. Di sebalik ujian itu, saya singkap pelbagai hikmah.Thanks  ya Allah. Engkau beri hambaMu ini sesuatu yang orang lain tak merasanya. Itulah jatuh bangun saya dalam dunia pembelajaran. Ingat! Allah uji itu mungkin disebabkan dosa-dosa kita yang lalu. Muhasabah.

Saya tidak malu untuk menceritakan semuanya agar menjadi motivasi pada yang lain. Jangan berputus-asa, teruskan melangkah dan cekalkan hati. walaupun tidak beroleh first class, cukup dengan second class upper saya tetap bersyukur.

Saat melangkah ke Dewan MAS,kami diiringi dengan muzik sentimental. Selesai berjalan ke tempat duduk. Kami diminta berdiri dahulu sebelum duduk. Dan ketika itu, air mata mula berjurai. Entah, atas sebab apa saya mengalirkan air mata. Dalam hati:
“kalaulah arwah ayah ada…”

Basah saja mata ketika itu. Sensitif betul hati.

Ayah…inah hadiahkan kejayaan hari ini untuk ayah. Biar ayah tidak nampak tapi inah yakin ayah ada bersama kami =)

Tak banyak perkara yang saya dapat coretkan semasa hari kejadian. Kisah saya biasa sahaja jika nak dibandingkan dengan orang lain yang lebih istimewa kisahnya.


Saya tinggalkan beberapa potret kenangan di sini. 

Thanks a lot kepada keluarga tercinta dan sahabat handai yang meraikan hari bahagiaku..








Keluarga tercinta