Don't Judge the blog by it's followers

Monday, 23 December 2013

Menangisi ujian

Semalam saya post gambar saya yang tegak berdiri menghadap pantai di instagram dan caption ketika itu saya tulis ayat yang berkaitan ujian. Ayatnya berbunyi begini :

perkara sulit adalah semasa kita ditimpa ujian yang membuatkan kita tertanya-tanya apa yang ada di sebalik ujian ini. Ujian datang menuntut kesabaran walau terkadang kesabaran itu mengambil masa seminit, sejam, sehari, seminggu, sebulan dan bertahun ataupun sabar sehingga ajal mendatang.”

Menangisi ujian untuk apa?

Saya seorang yang tidak sabar, sebab itu saya selalu menangisi akan sesuatu yang saya rasa berat di fikiran dan sakit di hati. ya itu saya! Ketika saya tidak lagi memandang orang lain yang lebih berat ujiannya. Saya merasakan seolah-olah dunia ini tidak lagi adil, langit yang selalu gelap, hujan yang turun tanpa henti dan kemarau yang  berpanjangan. Dan ketika itu, hati hanya inginkan Allah sebagai pendamai resah di hati. Biar berjurai air mata memohon doa darinya. Benarlah firman Allah yang menyuruh hamba-hambaNya supaya meminta pertolongan dariNya dengan sabar dan solat. Kata mereka yang tidak pernah putus-putus mengucap perkara yang sama iaitu sabar dan doa banyak-banyak.

Menangis itu bukan tanda lemah tetapi menangis untuk kuat. Dan ubat selepas kita menangis adalah merasai kepuasan atau lega. Menangislah di atas dosa-dosa kita yang lalu, sesungguhnya tangisan itu hanya untuk penyucian jiwa.

Pernah kita lalui perkara yang begitu sulit dalam hidup kita?

Ini cerita dari salah seorang sahabat saya yang bercerita tentang derita yang pernah dialami oleh Abu (bukan nama sebenar).
Abu pernah terselamat dari sebuah kemalangan yang meragut nyawa kakak dan ibu saudaranya. Ketika itu abang dan abang iparnya cedera teruk. Kemalangan yang agak tragis juga saya kira mengikut cerita yang didengar. Dan perkara paling tidak logik adalah sebelum kemalangan kata Abu, dia seperti membuka pintu kereta sambil membetulkan kasutnya di luar dan sedar-sedar kereta mereka telah diseret oleh kereta lain ketika membuat u-turn di persimpangan. Abu tersedar dan melihat kakaknya yang ketika itu sudah nazak memesan sesuatu kepadanya. Abu langsung tidak menangis walau setitik pun air mata. Abu sempat mengajar makcik dan kakaknya mengucap. Sesudah itu dia terus berlari sekuat hati mengkhabarkan tentang kemalangan yang mereka alami kepada ahli di rumah. Yang kebetulan ketika itu , lokasi kemalangan tidak jauh dari rumahnya.

Sesudah urusan pegebumian, Abu didesak oleh ahli keluarga untuk menceritakan perkara yang berlaku dan mereka semua tidak percaya langsung yang Abu selamat dan berada di luar kereta sebelum kemalangan berlaku. Dia sendiri pun tidak tahu bagaimana dia boleh berada di luar kereta sambil membetulkan kasut dan melihat kereta yang mereka naiki diseret laju. Sepantas kilat kejadian berlaku. Semua memarahinya dan binggung bagaimana dia terselamat. Dia dipukul, dilayan dengan kasar hingga diangkat ke dinding rumah untuk mengaku perkara yang sebenar. Hari itu dia menangis kerana tiada siapa yang percaya apa yang dikatakannya kecuali ibunya yang selalu menenangkannya.

Saya dengar cerita ini dengan penuh rasa sedih. Ya Allah betapa dasyatnya perkara yang dia alami. Rupanya dia pernah mengalami perkara yang sangat sulit. Itulah ujian buat dirinya.

Patutlah dia sangat tenang ketika kami dendangkan dia dengan ujian yang kami alami, katanya: hadapi saja ujian itu, nikmatilah ujian itu.
Dia antara sahabat saya yang mengajarkan erti kehidupan ini. Sahabat yang unik saya kira.

Berbalik kepada kejadian luar biasa yang dialaminya, saya mengajak kita semua untuk merenung perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada hamba-hambaNya iaitu Maunah. Dialah yang Allah kehendaki untuk terselamat dari kemalangan itu jika difikir dengan akal memang tidak logik. Itulah kehebatan Allah. Allah memberinya kejadian luar biasa yang bernama Maunah.

Itulah ujian yang Abu hadapi sebelum dia memasuki Universiti dan sebelum kami bertemu sebagai sahabat. Sehingga kini, saya pasti peristiwa yang dialaminya itulah yang menjadikan dia sangat kuat orangnya.

Ujian…
Ketika menhadapinya sangat sulit
Sesudah melihat hikmahnya                          
Kita pasti berlapang dada
Sabar dan solat (doa) itu kuncinya.

Muhasabah.


No comments:

Post a Comment