Don't Judge the blog by it's followers

Wednesday 2 April 2014

Kembara Ilmu: Bengkel Penulisan Cerpen

Bengkel kali ini dianjurkan oleh tim Kursuspenulisan.com di bawah naungan Tuan Zamri Mohamad, seorang penulis dan trainer penulisan. Jika dulu keinginan saya untuk mengikuti Bengkel penulisan Novel di bawah program tim ini tidak kesampaian, namun ia tetap tidak mematahkan semangat saya untuk mencuba lagi di lain kali. Alhamdulillah, trainer jemputan pula adalah penulis kesayangan saya iaitu Tuan Baharuddin Bekri. Saya antara ribuan peminat tegarnya.



Sekali lagi kaki ini menapak ke Wangsa Melawati, jika dulu di Jalan Wangsa Setia 1 untuk ke Akademi MUSTREAD, kali ini saya ke Jalan Wangsa Setia 3 untuk ke Akademi FINE. Inilah jejak-jejak ilmu yang tidak akan berakhir selagi hayat dikandung badan. Tujuannya hanya satu, menimba ilmu dan mengumpul pengalaman.


Sudah lama mengenali penulis Bahruddin Bekri dengan mengikuti perkembangan karyanya dan alhamdulillah baru kini dapat bertemu secara dekat dengan beliau. Orangnya nampak tenang dan lucu saya kira. Manakan tidak, semua peserta bengkel tidak kering gusi mendengar kata-kata yang berbaur jenaka selambanya. Sebelum ini, saya hanya tersengih dan ketawa seorang diri membaca buku-bukunya yang diselitkan dengan unsur komedi malah semasa bengkel saya juga turut pecah ketawa mendengar ucapannya yang beraksi di hadapan para peserta.

Adab menimba ilmu itu adalah dengan berguru. Cari ilmu dengan guru atau yang pakar ke atas ilmu yang ingin kita pelajari sebelum kita bisa menguasainya. Ya sebilangan orang mengatakan; buat apalah pergi ke bengkel jika ingin menulis, orang yang pandai menulis pun tidak pergi ke bengkel penulisan. Setelah saya berbengkel, saya sudah bertemu jawapan untuk soalan itu jika ia diajukan lagi. Begini jawapannya, yang 70 peratus itu datangnya dari dalam diri kita sendiri iaitu  usaha dengan rajin dalam bidang penulisan dan 30 peratus lagi itulah datangnya dengan kita mengikuti bengkel seperti ini.

Apa itu CERPEN?

Istilahnya pasti semua orang tahu bukan? CERITA + PENDEK= CERPEN

Cerpen itu bagaimana?

Kata Tuan Bahruddin Bekri, cerpen itu adalah suatu konflik yang indah. Cerpen itu hanya mempunyai:

      1)      Satu plot sahaja
2)      Satu jalan cerita
3)      Watak terhad
4)      Latar masa terhad
5)      Latar tempat terhad
6)      Konflik yang padat lagi indah.

Cerpen bergerak melalui watak dan situasi. Selain itu juga, kandungan di dalam cerpen perlulah mengandungi matlamat yang ingin disampaikan di dalam cerpen, konflik yang ingin di ketengahkan dan perlu mempunyai twist di akhir penyelesaiannya, barulah cerpen itu tampak menarik di mata para pembaca.



Tujuan kita menulis sebenarnya bukanlah kerana ingin menjadi popular. Tetapi meletakkan tujuan utama sebagai mengubat hati dan melegakannya di mana beroleh pengajaran dari apa yang kita tulis. Seterusnya ke peringkat yang lebih mulia iaitu dengan niat ingin berdakwah. Wang, anugerah dan popular itu hanya nilai tambah dalam hidup seorang penulis.

Selain dibekalkan dengan nota-nota penulisan cerpen, bengkel yang dikendalikan ini juga turut membawa para pesertanya mempraktik apa yang telah diajar secara teori. Itulah antara momen indah yang saya dapat. 



Pertamanya, dapat mempraktik secara langsung apa yang telah diberi dan keduanya menghubungkan silatulrahim di antara peserta. Di situlah bermulanya titik-titik perkenalan antara peserta untuk sama-sama berkongsi idea, pengalaman dan maklumat diri.



Bengkel yang bermula pada tepat pukul 9.00 pagi melabuhkan tirainya pada pukul 5.30 petang. Sebelum bergerak pulang, peserta bengkel mencuri peluang untuk bergambar kenangan bersama Tuan Baha. Kata Tuan Baha yang sentiasa diulang-ulangnya adalah TULIS SAMPAI SIAP! Jadi, marilah berusaha!



30 Mac 2014
Bengkel Penulisan Cerpen

2 comments:

  1. Terima kasih, kerana sudi berkongsi! Manisnya ilmu!

    ReplyDelete
  2. Teringin nak jumpa Tuan Baha secara dekat. T_T

    ReplyDelete