Don't Judge the blog by it's followers

Wednesday 1 January 2014

Mengadu pada kertas

“Mengadu pada kertas”.

Saya tak pasti perkara ini turut berlaku pada orang lain atau tidak. Tapi itulah kerja saya apabila terasa hati dengan kawan-kawan terutamanya semasa zaman hingusan.

Menulis di helaian kertas atau di mana-mana tempat di dalam buku tulis dengan harapan segala yang terbuku di hati dapat dilepaskan dan pada masa yang sama cuba tunjukkan tingkahlaku merajuk.



Lucu bila dikenangkan semula. Zaman pendeknya akal ketika itu. Bila dah semakin dewasa, jika ada masalah hanya satu tempat pengaduan kita. Mengadulah pada Allah dengan lisan. Iaitu dengan berdoa. Bukan kerana Allah tidak melihat apa yang kita tulis, tapi bukankah mengadu pada Allah dengan berdoa itu sangat digalakkan. Diri kita adalah hamba. Memang selayaknya kita meminta dan mengadu pada Allah.

Bila marah, sedih dan ingin menangis..

Saya tulis di buku apa yang ingin diluah. Panjang berjela seperti ingin buat karangan. Dengan harapan orang faham isi hati kita. Mungkin itulah fungsi surat, untuk menyatakan rasa hati atau tujuan. Maka tidak hairanlah jika surat cinta tidak memberi apa-apa makna kepada si tukang tulis. Maksud yang sama, iaitu untuk menyatakan hasrat hati dan apa-apa saja yang berkaitan dengan monolog dalaman. Inilah hasilnya apabila diolag tidak digunakan.

Namun, saya merasakan…

Tulis di atas kertas juga tiada kesudahnya. Kenapa?
Hari ini saya selesaikan satu kes tidak puas hati antara dua pihak. Mereka adalah adik-adik Maahad Tahfiz yang sedang saya bekerja sekarang. Ceritanya bermula apabila saya terlihat salah seorang dari mereka sedang memegang surat. Pinta saya ketika itu untuk melihat. Bagi saya, sebagai warden di situ, saya perlu tahu tiap masalah di kalangan mereka.

Isi surat dibaca dengan perasaan yang lucu ketika itu, mulalah kenangkan kembali detik hingusan saya. Akhirnya saya berjumpa kedua belah pihak yang bersengketa dalam diam untuk diselesaikan dengan berhadapan antara satu sama lain.

Kata saya kepada mereka: Jika ada masalah bawalah berbincang, face to face dan cari orang tengah untuk mendengar. Bukannya saling berutus surat tanpa bercakap. Orang tengah ketika itu adalah saya. Seperti Jaksa Pendamai pulak ketika itu. Akhirnya perkara yang menjadi duri antara mereka diselesaikan.
Itulah maksud saya, mengadu di dalam kertas atau meluahkan rasa hati di dalam kertas juga tiada kesudahannya.

Tapi tak mengapa…

Tiga hari yang lepas saya melawat bilik adik-adik tahfiz, bimbang kalau-kalau mereka masih bermain atau belum tidur. Ternyata salah seorang dari mereka sedang menangis sambil diari dan pen di tangannya. Puas saya bertanya, namun rasa dihatinya masih belum kuat untuk ceritakan masalahnya. Saya biarkan dulu perkara itu berlalu.

Kata saya: tak mengapalah…sekurang-kurangnya dia berlatih menulis dengan baik. Sebab saya dulu pun punya diari sendiri. Segala rasa hati dicatat di situ.


Sebenarnya, apa yang mereka alami telah saya lalui. Zaman kebudak-budakkan kami hampir sama.

No comments:

Post a Comment