Don't Judge the blog by it's followers

Saturday 5 October 2013

Seni Jalanan

Ini adalah kisah perjalanan saya semasa menjalani praktikal di Kuala Lumpur tempoh lalu. Sebuah perjalanan hidup yang buat saya insaf dan memberi pengajaran di sebalik seni jalanan. Seni itu di mana-mana waima di tepi jalan. Coretan ini saya cernakan menjadi sebuah cerpen yang saya tidak pasti standard penulisannya. Hanya bisa menjelmakan apa yang ada di dalam fikiran kala itu.

Tajuk sebenarnya cerpen/coretan ini ialah
 “ Aku si gelandang dan pengemis”


Selamat membaca!
_____________________________

LELAKI bertongkat separuh tua itu menghulur sebekas beg plastik berisi simpati. Kakinya dimamah luka nan kering. Aku tidak pasti apa punca penyakitnya hingga kakinya teruk sedemikian rupa. Kelihatan lagi seorang pemuda yang tidak terurus sedang membelai kucing hitam di pangkunya.Kakinya kudung.Dia hanya mengharap sesiapa sahaja yang lalu lalang di situ memberi sedekah. Aku menjadi hiba.....

Aku melihat lagi seorang wanita tua membongkok sedang memberi isyarat tanda lapar, jari tangan kanannya dirapat dan menunjuk ke arah mulut.Isyarat “menyuap” itu jelas mempamerkan dia sedang meminta belas kasihan orang ramai.Dia duduk dicelah-celah anak tangga laluan orang ramai.

 Begitulah pemerhatianku di tengah kota raya yang pesat membangun, tetapi masih ada yang tidak bernasib baik. Ketika orang lain diulik kesenangan wang ringgit, keluarga yang bahagia, mereka menadah tangan meminta walau tanpa penglihatan, kudrat yang kurang sempurna, usia yang beruban putih, kaki yang terjongkit-jongkit memapah tongkat dan si ibu bersama tangisan anaknya.

Tepi bulatan yang menjadi tempat tinggal sementara mereka itu beraroma kurang enak.Bau air kencing yang amat menusuk hidung.Laluan yang sering menjadi destinasi buat pengguna tegar pengangkutan awam itu telah tercemar.Walaupun seorang pak cik “bandaraya” bertungkus-lumus mencuci lantai yang menjadi lelehan air kencing itu, baunya seolah kekal. Aku tak pasti kerja siapa yang tidak bertanggungjawab .Mungkin orangnya kurang kesedaran sivik atau lebih bersangka baik, aku mengandaikan manusia yang melakukannya pasti kurang siuman. Aku bermonolog “ bagaimana mereka tidur dan makan dengan persekitaran begitu. Tanda tanyaku tiada jawapan.Bagiku, siapa yang melaluinya, dialah yang merasainya.

Dari jauh, aku ternampak satu susuk tubuh seorang lelaki yang terbaring.Tangan kanannya menjadi bantal dan hanya bertilamkan sekeping kotak.Sudah menjadi kebiasaan buat penghuni tidak berumah, begitulah kehidupan mereka.Jika ditempatku, tidak ramai yang berkelakuan seperti ini, mungkin dalam dua tiga orang sahaja.Paparan di kaca televisyen tahun lalu tentang si gelandangan membangkitkan ingatanku di mana seorang wartawan menemuramah “penghuni tidak berumah” ini di peringkat kotaraya. Ya, ternyata di depan mataku kini adalah mereka-mereka yang senasib begitu.

Paparan demi paparan menjelma di hadapan mataku.Mulutku terkunci.Hanya berbicara tanpa suara.

Dalam hati ada suara
Dalam mata ada tingkah
Dalam fikiran ada tafsiran.

**********
Hari-hari yang kulalui sesekali menjadi bahan mindaku bermonolog.Kisah yang bagaimana pula keesokan harinya.Aku menunduk tanda mendiamkan diri.Sesekali mata memandang bas-bas yang berhenti menurunkan penumpang.Menunggu si U74 datang menyinggah untuk membawa ku ke destinasi seterusnya.

kenapa RM3?”
Tanya Pak cik Bas yang baru sahaja berhenti mengambil penumpang. Jelas di depan mataku seorang lelaki warga asing menghulurkan tiga keping wang kertas berwarna biru.
Setahu aku, bas Pantai Hill Park ini paling tinggi bayarannya pun setakat RM2 sahaja.Itulah yang menjadi persoalan Pak cik tadi.

“saya mahu ke Puchong”
“bas ni tak pergi ke Puchong”
“saya nak ke Puchong jugak”
“tak faham ke…bas ni tak pergi ke Puchong..bas lain…!”
“eh suka hati saya lah…mahu ke mana pun”
“apa punya oranglah…”

Pak cik bas bernada marah tanpa mempedulikan lelaki tadi.Pertengkaran kecil mereka membuatkan aku ketawa di dalam hati.sesekali melegakan buah fikiran yang kerap melayang. Adegan tadi mencuit hati.“Bodoh sombong” agak kasar jika diberi tema pertengkaran tadi.Tapi begitulah hakikatnya.Lelaki warga asing tadi diam membatu mengambil tempat di depanku.Mataku galak hendak melihatnya.Jenaka tadi benar-benar menghiburkan.
***************
Pagi ni kerja di office tak banyak, aku decide nak keluar sebentar atas urusan peribadi. Dengan kebenaran yang diberi aku terus melangkah keluar.Hala tujuku kearah Pejabat Pos Malaysia.Hajatnya ingin menjelaskan bil tertunggak.Sepanjang jalan, aku kerap memerhati.Ya, hingga hampir jatuh tersepak batu kecil kerana dihimpit minda yang melayang-layang. Tahap kefokusan yang  dinodai dengan fikiran dan hati yang mewalangkan. Seperti peti pos yang penuh dengan surat-surat hingga melimpah.Nasib baik si batu tadi kembalikan kesedaranku.
                           
Lai..lai…lai….TIGA PASANG RM 5 sahaja….”
Manyak murah….” Pak cik berbangsa cina cuba memasarkan barangannya.

Aku bergegas melintas di hadapannya.
Tiba-tiba aku terkaku.Berdiri.Menoleh ke belakang.Melihat Pak Cik cina tadi menyandang tubuhnya di tepi tiang.Seorang wanita yang berambut kerinting sedang menghisap rokok.Aku merenung sebuah kereta sorong bayi.Di dalamnya ada si kecil sedang tidur menahan panas pagi.Seorang warga Indonesia yang lengkap bertudung di sebelahnya.Mereka bertiga sedang berniaga di situ. Aku tidak pasti sama ada mereka rakan kongsi perniagaan atau apa.

Mataku terpandang stokin kaki yang bercorak bunga-bunga hijau.Memang pantang jika warna hijau menyinari mataku.

“kak…kalau saya ambil satu je..berapa ringgit ya” soalku lagak seorang pembeli.

“oh..satu pasang RM 2 saja…” balasnya lekas.
ok baik..saya ambil yang ini” aku terus mengeluarkan duit dari dompet.

Pak Cik Cina tadi begitu gembira ada pembeli hingga tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepadaku.Bahagianya dia .Dia memandangku dengan penuh kesyukuran.

Aku meninggalkan mereka dengan hati yang senang.Tersenyum sendiri persis pelanggan pertama mereka.
**********
Sampai di rumah aku terus terbaring di atas tilam.Mahu saja anak mata ini tertutup rapat melegakan letih yang amat.Aku membuntang-buntang mata.Pandanganku terarah ke dinding putih.Seolah terbias satu ilusi di situ.
“eh … kenapa ya nasib mereka begitu? Aku menyoal di dalam hati lalu berdrama seorang diri.Kisah semalam dan pagi tadi benar-benar membuatkan aku rasa simpati.

ya Allah…jika aku seperti mereka, sanggupkah aku menghadapi tiap hari dengan penuh rasa syukur dan sabar?Hatiku bermelodi insaf.
pasti banyak daya usaha dan ikhtiar yang telah dijalankan oleh badan Kerajaan mahupun NGO-NGO untuk membantu nasib gelandangan.Mindaku masih dalam lamunan.

Tanganku mencapai surat khabar yang dibeli rakan serumah di atas meja bersebelahan almari. Satu per satu halaman akhbar kubelek. Mata tidak berkedip memerhati tajuk akhbar yang menarik untuk dibaca.
Nah….ini kan….”ANJUNG SINGGAH”.Aku terus membaca isi yang ditulis oleh seorang wartawan akhbar itu.

Kemudahan tempat penginapan sementara yang selesa disediakan untuk golongan gelandangan.Pusat sehenti yang berkonsepkan asrama serba lengkap untuk gelandangan yang diperkenalkan oleh Yayasan Kebajikan Negara.”
“Lokasinya terletak di Bangunan Ehsan, Jalan Hang Lekiu Kuala Lumpur.”

Ini adalah salah satu inisiatif tanggungjawab sosial”.
Sesekali teman serumah memandangku kehairanan dengan gelagatku yang bercakap seorang diri.Aku bingkas bangun menceritakan perihal pemerhatianku kepadanya.
Antara simpati, sedih dan kesian berbaur dalam ingatanku.
**********
Hujung minggu tanpa kerja.Pasti bosan berada di rumah. Teman-teman yang lain dengan agenda masing-masing. Satu pesanan ringkas hinggap di skrin telefon SAMSUNGku.

“jom jumpa !….”

Pesanan ringkas dari sahabat sekolah menengah dahulu, Alina namanya.Seorang gadis yang baik dan periang.Aku menyenanginya.

Selepas zohor, kaki terus melangkah ke celahan bandaraya menuju destinasi seperti yang dijanjikan.Kali ini aku tidak berjalan seorang diri.Ditemani si gadis kecil molek.Kami berjalan melintasi jalan untuk ke restoran seberang jalan.Bunyi hon kereta-kereta di situ sangat membingitkan telinga. Sesak dengan si pejalan kaki ditambah pula dengan kenderaan yang datang dari depan dan belakang kami. Kami seperti anak ayam sahaja di atas jalan.Bimbang juga takut dilanggar kereta atau motosikal yang masing-masing mengejar perjalanan.

Kami menikmati suasana hujung minggu yang padat dengan orang ramai.Lucu sekejap melihat gelagat dan ragam orang ramai.

“ye adik manis….sila..sila…Nasi goreng ada..Mee goreng ada…macam-macam ada, mau makan apa’ tanya seorang lelaki Bangladesh itu di hadapan restoran kepada kami.

Usai makan,kami bergerak menerobos setiap ruang kedai pakaian.

sedekah..sedekah….” sambil buku yaasin kecil dihulur ke arahku. Aku terkedu seketika sambil memerhati bola matanya.Wajah yang mempamer segala simpati.Seorang budak perempuan kecil merapatiku.

Aku menghulur sekeping wang kertas tanpa mengambil buku yaasin kecil yang dihulurkannya kepadaku. Lalu budak tadi beredar ke tempat lain.

Ada orang pernah kata, banyak sindiket yang menggunakan kanak-kanak yang terbiar atau tiada keluarga sebagai sumber rezeki mereka. Kanak-kanak ini akan mengemis di serata corok kotaraya. Kebanyakan kanak-kanak yang menjadi mangsa adalah dari negara Myammar.Kesahihan cerita di sebaliknya aku masih belum nampak dengan mata kepalaku sendiri, cuma lakonan drama di televisyen menjadi tatapan sebagai bukti.

Mia….tengok apa tuu?” suara Alina melekat di cuping telingaku.
Pandanganku semakin jauh, sejauh budak tadi berjalan.Hilang dari pandangan.Aku tersedar.

“aku..akuuu…tengok tuu haaa…belon-belon yang berumpun awan di sana”

“tengok pastu mengelamun kan..tuuu lah keja kau…mmmm.” Alina mencemik muka.
**********
Simbahan panas terik membuatkan mataku terbinar-binar menahan mentari. “sudahlah tidak bawa cermin mata, pedih kian menjadi pulak” aku mengomel sendiri

Sesekali mata cepat berair.Diusap anak mata dengan sapu tangan.Tiba-tiba teringat kembali lokasi terakhir si “merah hati” yang diletak di atas meja pejabat.

Kami melabuhkan segala kepenatan di hujung anak tangga berhadapan Sogo.Ramai yang menghela keletihan mereka di sini.Sambil santai melihat orang “hujung minggu” berjalan dengan arah yang bertentangan.Masing-masing seperti diburu masa.

Longgokan manusia di sebelah ku menyaksikan pemuzik jalanan mendendangkan suaranya. Sebuah beg hitam berada di hadapannya.Gitar dipetik menghidupkan suasana. Kebanyakkan anak muda yang berdamping di situ. Tatkala penghibur bernada tinggi mengalunkan lagunya,sorakan serta tepukan dibalas para penonton. Terhibur mereka dengan cara masing-masing. Aku hanya melihat cekadak mereka.

“Miaaa…tengok tu”
“kenapa..ada apa?”
“tengok Pak cik tu…”
“kesian kan….panas-panas macam ni mereka masih mencari sesuap nasi dengan kudrat yang ada. Walaupun kurang sempurna tapi itu bukanlah tanda mereka lemahAlina memberi sedikit pengajaran daripada pemerhatiannya.

Dan aku kagum.Walaupun kurang sempurna, mereka tidak mencuri dan merompak seperti orang yang sempurna.Hanya duduk di atas bangku mencuri perhatian orang ramai.Jika diberi, mereka menerima.Hanya insan-insan yang berhati mulia menghulurkan wang tanda sedekah.

Si buta itu menyanyi
lagu mencari rezeki bukan simpati..
rakannya bermain alat muzik
hati aku terusik
orang ramai berhenti
mereka mengamati
kaku.
Tanpa bangku.

Setahu aku, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) telah mengiktiraf para pemuzik jalanan baru-baru ini. Maka golongan ini tidak akan lagi dihalau atau diusir oleh pengawal keselamatan dek kerana dikatakan menganggu orang ramai yang berlalu-lalang. Pasar seni di Jalan Hang Kasturi Kuala Lumpur adalah tempat awal bagi golongan ini menunjukkan bakat mereka menyanyi dan bermain alat muzik. Kira-kira pada pertengahan tahun 1980an lagi. Di situlah bakat mereka dipentaskan di hadapan orang ramai.

Selepas 25 tahun, golongan ini boleh rancak bersenang hati dengan pengiktirafan yang diberi oleh KPKK malah hasil kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyediakan ruang bagi golongan pemuzik jalanan mengadakan persembahan di depan Pavilion, Jalan Bukit Bintang adalah satu penghargaan buat mereka. Walaupun hasil pendapatan bernilai RM50 dalam masa empat jam, itulah yang dinamakan rezeki hasil sumbangan orang yang menyaksikan persembahan mereka.

Aku duduk termenung di hadapan sogo.Alina di tepi ku.Penat dan letih semakin surut. Jam tangan jelas menunjukkan jam 5 petang. Asar belum kami kerjakan.Jangan pulak nanti terkejar-kejar dengan asakan orang ramai yang membanjiri surau.Petang itu tidaklah cukup redup kerana bilasan cahaya mentari masih kuat menyinar.
                          
“eh..kenapa tiba-tiba redup ni?” terasa seperti ada segumpal awan hitam sedang berlegar di atas kepalaku. Aku mula curiga dengan cuaca ketika itu.Yang terang menjadi gelap, seperti dipayungi rahmat.Aku tidaklah semulia Nabi Muhammad SAW yang setiap langkahnya dipayungi awan redup.Itulah tanda kenabiannya yang Allah kurniakan.

“ya Allah…” aku terkejut selepas memandang ke atas. Segumpulan belon-belon yang berwajah Doremon, Upin Ipin, Mickey Mouse dan Hello Kitty seolah sedang tertawa kepadaku.

patutlah mendung je” aku ketawa mengenang peristiwa tadi selepas Pak Cik yang mendagangkan belon-belon tadi berlalu ke tempat lain. Tali-tali belon digengam erat dalam tahanannya.Kanak-kanak adalah golongan sasarannya.
Mia jom… solat Asar

kak Sal, Mia nak minta izin ke Bank Islam boleh?”
“pergilah..lagipun tak de keje sangat kan..boleh je”
“terima kasih kak, saya pergi dulu ye”aku pantas menangkap beg tangan di hujung meja lalu bergegas keluar dari office.
eh jap.., pergi dengan siapa?,tahu tak Bank Islam kat mana?”
“sorang je kak, area sini paling dekat Plaza Sentral kan?”
“haa betullah tu”
“saya pergi dulu ye”
“O.K”
Jika bukan kerana kelalaianku tempoh hari, pasti Kad ATM tu masih terselit di dalam dompet ni. Aku menambah satu kerja sambilan baru.Kaki menapak menuju ke LRT Pasar Seni untuk ke Stesen KL Sentral.

<stesen berikutnya KL Sentral. Next Station KL Sentral>

Keluar dari bangunan KL Sentral aku perlu berjalan selama 5-10 minit untuk ke Plaza Sentral yang terletak di seberang jalan.

Selesai segala urusan, aku perlu segera balik ke office,bimbang mengambil masa yang lama. Sampai di stesen LRT Pasar Seni aku menuju ke gerai air dan buah untuk melegakan anak tekak yang kering disambar cuaca panas.

bukan orang tak nak tolong, ni ada duit beli gam..dah la fizikal dia macam tu..”kata Encik Polis bandaraya yang beruniform blueblack. Kemas bergaya dengan Ray Ban berkilauan warna perang menyangkut di atas hidungnya.

Aku mencuri dengar perbualan beliau dengan makcik yang menjual air di gerai yang berselahan dengan gerai air yang aku beli.Selepas membayar, aku terus beredar dari situ mencari tempat duduk untuk minum sebentar menambah bekalan air di dalam badan.

Mindaku membayangi seorang lelaki yang kusut masai, bajunya compang-camping, kaki yang tidak terarah ke mana mahu jalan. Sesekali tersengih seperti orang hilang akal. Kelihatan juga rakannya di tempat yang sama sedang menghidu sesuatu. Ternyata mereka sedang berasmara dengan gam yang dipegang.

Kawasan aktif mereka selalunya di bawah jambatan tapi kali ini mereka berani tampil di kawasan orang ramai. Terkejut juga kami dibuatnya, sekilas pandang seolah-olah lelaki tadi sedang  menunjuk bekas gam itu ke arah kami. Ketika itu, aku dan rakan sepejabat  lekas melarikan diri kerana perasaan curiga menghambat di fikiran.

Air yang disedut lama-kelamaan kian habis, hanya tinggal ketulan ais.Aku bingkas bangun beredar dari situ. Cerita penghisap gam menjadi satu imbauan kenangan. Perbualan Encik Polis bandaraya tadi membuatkan aku teringat kembali episod bersama mat gam.


***********

Kau tahu macam mana pengemis-pengemis di China meraih simpati?”Aku terkelu mendengar soalan yang keluar dari mulut Nabila.Siapa yang tak kenal dengan Nabila.Rakan office yang paling kecoh dengan isu terkini di facebook.

“ermm..macam mana?, mereka potong kaki atau tangan sendiri ke untuk meraih simpati?” andaian pertama yang hinggap di mindaku ketika itu.

eh..tidaklah sebegitu rupa, mereka sengaja mencipta luka sendiri, luka tu mereka buat seperti luka yang teruk dan berdarah banyak”.
“macam tu sekali??”
“ye, dengan mengukir luka di kulit, nampak seperti real tapi luka tu hanyalah dibuat-buat sahaja”
“wah..manusia zaman sekarang semakin cerdik kan, buat benda yang bukan-bukan demi meraih itu dan ini..”
“apa salahnya keluar modal sedikit demi keuntungan masa akan datang, kau tahu mereka cipta luka tu macam mana?”
“hah..macam mana pula?”
“haaa..mudah saja, modal tak banyak, antara bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti gam, pewarna merah, span pencuci pinggan, pengcungkil gigi dan pengorek telinga…”
“wow..itu sesuatu yang baru! Tapi kau rasa kat Malaysia ni ada tak ye seperti itu”
“why not…mungkin ada tetapi berbeza kaedah. Di sini kau jangan percaya sangat, banyak yang menipu.

Aku tidaklah sangkal dengan statement Nabila, ye..mungkin kata-katanya ada benar. Jika yang kurang upaya secara zahir itu aku pasti benar.mata ini menjadi saksi.Jika sebaliknya, itu soal mereka dengan Tuhan. Yang tidak buta, pura-pura buta demi kemalasan bekerja mencari rezeki dengan kudrat yang ada hingga menipu orang lain.Bersembunyi di sebalik kaca mata hitam.Siapa tahu.Harap-harap mereka ada kesedaran.



Cerita…cerita..
Jangan sampai ada dusta
Cerita…cerita…
Jangan ada yang buta
Cerita…cerita…
Mereka menderita.

***********
Awan- gemawan tidak lagi bersatu pagi itu, jam tepat menunjukkan pukul 8.30 pagi.Hari isnin, hari pertama bekerja setelah bercuti dengan sabtu dan ahad.Rasa malas masih menguasai diri.Dua tiga kali menguap tanda aku tidur lewat semalam.Hari ini hari yang baru, tidak seperti semalam.

arhhh..boringnya..” aku merungut ditinggalkan berseorangan, kak her dengan Abang Wan outstation ke Manjung. Apa boleh buat, kerja mereka tidak selalu lekat di pejabat. Jika tiada mereka, siapa yang nak shoot gambar.

Sambil membelek calendar di telefon, aku menghitung baki hari bekerja di sini.Tempoh empat bulan cukup lama tapi pantas berlalu.Report praktikal belumku sentuh, semua masih tersimpan di dalam otak. Pesan ustaz sebelum kami semua start berpraktikal supaya siapkan sedikit demi sedikit pada awal bulan pertama kami mula bekerja. Nampaknya, pesanan itu hanya dalam ingatan.

“Alahai si kasut, kejap lagi aku baiki engkau .., sabar ye” sambil mata melihat jam dinding. Menunggu waktu rehat menjelma.
  Tepat jam 1tengahari. Aku mula keluar menuju ke tingkat bawah.

“kak siti, Mia tak makan tau tengahari ni, Mia nak pergi ke area Pasar Seni, nak cari tukang jahit kasut”.

kesian pula dengan Kak Siti, selalu aku yang menemani dia makan. Kak siti mula bekerja di sini setelah seminggu aku masuk. Dia Receptionist. Dia seperti kakak angkatku di sini. Mungkin kami saling menyenangi antara satu sama lain disebabkan kampung dia dan aku sebaya.
O.K, jalan baik-baik”
“kak!, ada payung tak, panas sangat la kat luar tuu”
“tak da la.”
“mmmm..tak pelah..”
                                    
Dalam masa sejam aku mesti cari sampai jumpa tukang kasut. Selalu ada je di tepi kaki lima. Sampai di station bas Pasar Seni aku bertemu dengan seorang Pak cik guard.
assalamualaikum Pak cik, tumpang tanya boleh?”
“waalaikumussalam..ya..ya..boleh”
“kat sini, tukang kasut di mana ya..”
“oh sini tak da sangat, adik pergi ke kotaraya dekat-dekat dengan Puduraya. Area situ ada”
“berapa minit ye dari sini?”
“lima enam minit  je adik..”
“terima kasih Pak cik”

 Cuaca panas  membahang membuatkan aku hampir tewas mencari si tukang kasut.Bas, kereta dan motosikal bercampur di atas jalan. Sesak.Aku melewati lorong kecil di setiap bangunan.Penat.Bayang-bayang seorang tukang kasut masih belum nampak.

eh..ni dah sampai ke Petaling Street dah ni..kalau nak ke Puduraya, depan lagi nak jalan” laluan ni aku biasa lalu bersama Jijah ketika menemaninya ke Puduraya. Aku mengambil keputusan untuk berpatah balik.Tak sanggup nak berjalan lagi dalam tekanan yang membahang.Kotaraya dengan tempat kerjaku boleh tahan juga nak berjalan.Kalau setakat area Pasar Seni, aku masih boleh menapak.

Kira-kira jam 1.20 tengahari, kelihatan seorang perempuan warga Indonesia sedang mengemas barang jualannya. Aku merapatinya.
maaf ya kak, kak tahu di mana tukang kasut di sini”
“tukang kasutnya di belakang sana tu saja”
“ikut jalan ni ke kak”
“ya..kamu lalu saja di situ,
“oh baik..terima kasih ya” 

Kedudukan Pak cik guard tadi dengan arah yang ditunjukkan kakak tadi tidaklah begitu jauh. Apa boleh buat, mungkin Pak cik tadi hanya tahu tukang kasut di tempat yang dia tunjuk. Hati berdengus juga, masa dan tenaga dibazir begitu saja.

berapa minit boleh siap ya Pak cik”
“dalam 20 minit..” balas  Pak Cik sambil  memegang kasut untuk digam dan seterusnya dijahit di sekeliling kasut.

Ternyata si tukang kasut juga warga Indonesia.

Dua puluh minit yang ada aku menerawang ke kedai-kedai yang berdekatan di situ.Kedai makan menjadi pilihan.Lauk-pauk yang terpamer di sebalik kaca itu buat aku kecur liur.

kedai ni melayu ke?” aku tanya sebab ragu.
Indonesia dik..”
“pasaran nasi campur pun mereka mengunguli..” aku mengomel di dalam hati.

Kedai makan Sri Idaman Corner yang terletak di jalan Hang Kasturi itu benar-benar diterajui oleh warga Indonesia.

usai kasut dibaiki, aku terus kembali ke pejabat.

Aku di Malaysia atau di Indonesia sebenarnya.Kepala tidak gatal.Tapi digaru juga.

*********

        “Saya sedih melihat ada golongan asnaf dan gelandangan di sekitar       bandar raya ini hidup merempat dan tidak mampu membeli    makanan. Apakah peranan pihak berkuasa untuk membantu        mereka”.

-Khalidah Majid
Keramat, Kuala Lumpur.

        Setakat ini, Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan     (MAIWP) menyediakan 28 skim bantuan kepada golongan ini dan         skim ke 29 ialah memberi makan tengah hari secara percuma.      Mereka boleh makan setiap hari termasuk pada Sabtu dan Ahad di       Kedai Makan Asnaf 1Malaysia yang diwujudkan Januari lalu dalam     usaha membantu golongan yang kurang berkemampuan.

        Sehingga kini, lebih 800 asnaf serta gelandangan mengunjungi kedai     makan ini di Bangunan Darul Jami’yah, Jalan Rahmat, kuala   Lumpur setiap hari bermula jam 11 pagi hingga 4 petang.

        Sejak tiga tahun lalu, MAIWP mengagihkan makanan di sekitar      kawasan masjid dan surau tiga kali seminggu, namun pendekatan      itu kini diubah termasuk mewujudkan pendekatan berdakwah   seperti solat berjemaah dan kuliah agama supaya mereka dapat         menikmatinya ketika makan.

        Penubuhan kedai makan berkenaan adalah kerjasama MAIWP dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) selain badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Taqwa dan Persekutuan Seruan       Islam (Jami’yah) Selango dan Wilayah Persekutuan. Ianya     membabitkan peruntukan RM1.2 juta setahun bagi membiayai         program berkenaan.

-Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Alhamdulillah, rupanya ada usaha yang membela serta peduli akan masalah ini.” Helaian akhbar diselak ke ruangan lain selepas membaca sudut surat dari pembaca di akhbar Berita Harian.

Aku yakin, ramai yang terkesan dengan nasib mereka yang merempat di merata tempat. Golongan homeless ini wajar dibantu untuk memulihkan kehidupan mereka. Mungkin mereka tempang sekejap dalam menjalani hidup. Tetapi tidak mustahil masalah yang dibebani mereka itu tidak dapat diselesaikan.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri….”
(Ar Ra’d, ayat 11)

Mereka tidak dipinta untuk menjadi seperti itu, namun apakan daya tidak semua jalan hidup kita sama. Yang beruntung perlu mendongak melihat ke langit tanda luasnya kasih sayang Allah, bersyukur dengan rezeki yang dilimpahi Allah. Dan jangan lupa juga untuk melihat ke bawah. Pandang ke sana, ada jiwa-jiwa yang masih dahagakan hidup yang sempurna. Dan yang kurang bernasib baik, jangan berputus asa dengan hidup. Bukankah matahari sentiasa terbit di pagi hari?

Bantulah diri sendiri dengan bantuan yang dihulurkan. Manusia tidak selamanya istiqomah dengan beri simpati. Oleh itu, bangkitlah memperjuangkan diri sendiri. Kembali kepada Allah SWT untuk menghambakan diri.Umat Islam yang terbaik adalah mereka yang menyandar diri kepada Allah. Sampai bila diri terus-menerus dipandang enteng oleh segelintir masyarakat.

Hati bermuhasabah.
Syukur.
Hikmah akan datang berganda.
Helaian akhbar dilipat.

*********
Jumaat.
Penghulu segala hari.
Hari yang penuh keberkatan.

Jam 7.30 pagi, ramai manusia  sudah terpacak di bus stop menunggu bas sampai. Masing-masing dengan agenda tersendiri  dan yang pastinya, semua akan berebut menaiki bas untuk ke tempat kerja. Bagi golongan yang kurang mampu, public transport menjadi alternatif utama untuk bergerak. Tapi, ramai jugak yang memilih untuk menggunakan public transport untuk mengelak dari kesesakan lalu lintas, berjimat dan sebagainya mengikut selera masing-masing.

Aku dan teman-teman yang lain juga seperti mereka, aktiviti berebut untuk menaiki bas sudah menjadi satu kebiasaan. Paling tak senang bila perasaan curiga dek dihimpit oleh lelaki. Opps..awas jarak!

Selepas menyumbat RM2 di dalam tabung bas, tiket dihulur oleh pemandu bas. Bas awal-awal pagi macam ni wajib penuh dengan manusia seperti tin sardin.selagi ada ruang boleh masuk, pak cik bas akan menjerit dari depan kepada orang belakang.

yang di belakang tuu, boleh masuk ke dalam lagi tak?”
“tolong ya, di belakang tuu, masuk lagi..kesian dekat orang lain”
Pak cik bas meninggikan suara sambil bangun dari kerusi, mendongak memandang ke belakang.

Itulah ayat klise yang akan disebut oleh pakcik bas kalau ada jiwa-jiwa yang mementingkan diri atau tidak berhemah.

Ya. Aku juga geram dengan sesetengah manusia yang membutakan mata, memekakkan telinga. Ruang yang di dalam dibiarkan kosong. Sekurang-kurangnya perihatinlah sedikit terhadap orang lain. Tak salah jika kita memahami orang lain. Semua dengan tujuan yang sama. Keluar mencari rezeki.
Sampai ke suatu tempat yang jaraknya tidaklah jauh dari tempat naik bas tadi, seorang makcik menahan bas.

Bas berhenti walaupun kusut dengan penumpang.
Pintu belakang terngangga. Jelas tiada setapak pun kaki boleh menapak di dalam bas. Mak cik ini juga punyai diolag yang sama setiap kali naik bas.
“ tolong ya di belakang tuu, masuk lagi…semua nak pergi kerja ni”

Aku mendengus. Dalam hati mahu saja menjerit.

korang ni tak faham bahasa ke, tak rasa  ke kesusahan orang lain. Jangan penting diri sangat boleh tak!!” mungkin ayat ini yang aku akan pakai jika punyai sedikit kekuatan lagi. Sabar dengan cekadak manusia yang tiada perasaan.

Tapi bila tiada perkataan yang terkeluar dari mulut mungkin dengan perlakuan boleh mentarbiahkan orang lain.

“kak ..tepi sikit ..” tanpa membuang masa, aku melintas di depan kakak tuu untuk mengambil ruang di belakang.

Sebenarnya lebih mudah jika dia yang melangkah ke belakang.

Situasi yang seperti ini bukan sahaja berlaku di dalam bas, tetapi di dalam LRT, KTM Komuter dan sebagainya.

Bas terus berjalan dan menurunkan penumpang.
Aku dan teman-teman akan menjadi watak yang terakhir di dalam bas.

***********
Bidai langsir ditarik bergulung ke atas melihat rintik-rintik hujan yang baru mengena bumi. Suasana sejuk pagi tadi seperti terus sambung-menyambung dengan aroma hujan kedinginan. Kreeekkk,,,,,tombol pintu dipulas.
assalamualaikum..” Harian Metro ada?”
ada di belakang…” balasku.
Encik Ali dari Unit IT seperti selalu meminjam akhbar hari ini. Sepatah kata dibalas tanpa bercakap panjang.
“Bagaimana agaknya nasib mereka sekarang..tengah hujan macam ni, tanah yang dijadikan tilam pasti basah”
Jauh aku membuang pandangan. Di sana aku pernah terlihat sekumpulan gelandangan menikmati rehat. Pakaian mereka tersidai di atas tembok. Seperti rumah yang berbumbungkan jambatan.
Lamunan terhenti.
Bidai disentap perlahan melabuhkan kembali menutupi jendela.

Mia, esok kak her tak masuk office, kak tak de keje nak bagi. Sambung keja yang Rizwan bagi ya?” teringat ayat kak her tadi. Aduhhh…bosan lah esok, Encik Raden dah la jarang di pejabat. Abang wan masih bercuti. Kak her pulak dengan program luar. Dan aku. Bertemankan sepi!

Dari awal pagi lagi kesejukan membaluti tulang-tulangku, air-cond sudah terpasang sejak aku datang lagi. Hidung bernada sendu.ketat semacam. Sukar bernafas.
Hujan semakin lebat. Mahu saja bantal disorongkan di bawah kepala dan tarik selimut. Cuaca mula berubah. Harap-harap balik nanti elok-elok sahaja.
“Oh…I’m fasting today!”
Hampir lupa. Fikiran mula melayang memikirkan juadah berbuka nanti. Seminggu berada di sini, bukan tidak bersyukur dengan rezeki yang diberi Cuma sedikit geram dengan peniaga-peniaga di sini yang meletakkan harga makanan yang agak mahal bagiku dan makanannya pulak seperti “tidak ikhlas” memasak. Cukuplah terkena. “standard lah k.L”semua mahal”. Itulah antara ayat klise kawan-kawanku. Nasi goreng ayam yang digoreng nasi ditambah hanya dengan kicap dan letak ayam sedikit. Itulah jenama nasi goreng ayam abang tu. Tapi tak semua tempat di sini seperti itu, bila dah terkena dua tiga kali, hati mula pasrah.

Gendangan guruh mula reda sedikit. Aku bingkas bangun dari kerusi oren menoleh ke belakang melihat awan berserakan. Awan-awan gelap tadi membuka kembali ruang demi ruang. Terang kembali.

*****************
Tepat jam 12.30 tengahari. Aku mula melangkah keluar. Jumaat adalah hari yang paling best disebabkan half day bekerja. Langkah diatur menuntuni tiap jalan. Kanan kiri ditoleh untuk melintas jalan. Aku memilih untuk menaiki LRTdi stesen Pasar Seni.

kelihatan peniaga yang menjual stokin 3 pasang RM5 di tepi anak tangga. Hamparan kain menjadi pelapik untuk mempersembahkan barangan jualannya. Kali ni orang yang lain, bukan uncle yang aku pernah beli dengannya tempoh lalu.

Ada sesuatu yang menyentuh hati. Aku berhenti di pertengahan tangga melihat sesuatu. Jiwaku makin tersentuh mendengar tangis si kecil di dalam kereta sorong baby. Ibunya seolah buntu mencari jalan untuk mendiamkan anaknya.

Hanya dengan menjual stokin 3pasang RM 5 itu menjadi punca rezeki membeli susu buat si anak yang dahaga. Aku terus memandang gelagat mereka.

Seorang warga asing menghulur botol susu anaknya yang barangkali dilempar ke suatu tempat. Si ibu mengambil botol susu yang diberi warga asing tadi. Aku menjadi hairan apa sebab si ibu tadi membaling botol susu anaknya.

Kemudian muncul seorang lelaki berbadan kurus.Lantas mengambil botol susu tersebut. Aku meneka bahawa si lelaki yang sedang membancuh susu tepung itu adalah suami kepada perempuan tadi.

Jelaslah perasaanku kini, mereka bertiga sedang berjualan mencari rezeki. Anaknya masih menangis. Aku menjadi hiba tatkala si ibu menampar-nampar anaknya sebagai isyarat minta diam. Wajah si ibu agak geram. Mungkin buntu dengan tekanan. Wajahnya kelat memandang suaminya. Kedudukan botol susu yang dikutip oleh warga asing tadi berada di kawasan suaminya berdiri. Aku memahami walau hanya di sebalik pandangan.

Ya Allah, betapa berat mataku memandang apatah lagi bahu mereka yang memikulnya. Kehidupan di bandaraya yang punya sejuta cerita. Paparan tadi buat aku muhasabah. Ada ibrah di sebaliknya.

Ujian adalah tarbiah dari Allah. Adakah kita sabar menghadapinya? Aku harap derita yang mereka alami tidak berpanjangan. Dan yang paling penting jangan berputus asa dengan Allah.

Awan gelap hanya sementara. Kelak pasti cerah semula.
Beg yang dipegang dikemaskan kembali menyangkut di bahu. Aku meneruskan langkah menuju destinasi.


*****************
Gitar dipetik penuh girang. Beg gitar ternganga di kaki sang penyanyi menunggu wang kertas atau syiling dimasukkan secara sukarela. Nyanyian seorang lelaki sederhana tinggi, berkulit sawo matang dan berambut ikal itu buat aku terpana. Aku berdiri di tepi gerai mini yang berhadapan dengan pintu masuk KTM komuter sambil mendengar lagu yang didendangkannya. Lunak persis seorang artis dengan nada suara seakan meniru gaya suara artis tertentu. Dia hanya berdiri di penjuru pintu masuk KTM Komuter dengan tali gitar tergantung pada lehernya.

Setiap kali aku ke KL sentral, aku akan berdiri dari jauh memerhati sang pemuzik ini. Aku suka pada nyanyian. Terhibur sebentar sambil menunggu seseorang.

“Lagi 5 minit aku sampai.ko tunggu di mana tuu?”
Mesej yang aku tunggu menjelma.

Pantas jari menyentuh skrin telefon membalas.
aku tengah berdiri di depan pemuzik jalanan yang sedang menyanyikan lagu ‘Hilang’”
“sedap ke lagu tu”
“sedap la jugak, sambil-sambil tunggu ko datang.lambat sangat”
“relax la…tren lambat tadi..’

Biha datang menepuk bahuku dari arah belakang.

hai..cik Mia, sorry aku lambat sikit”
“haaa…nasib baik ada abang tuu menyanyi tau, boleh la layan perasaan sekejap”
“oh..yang itu ke?”
“yelah…dia sorang je kat sini yang petik gitar sambil nyanyi…kalau ko nak lebih-lebih tunggu weekend la..mungkin ada orang menari pulak”
“ko biar betul”
“lah…buat apa nak bohong…pernah sekali hari tu, kat depan tuu, aku tengok budak-budak remaja buat dance show, daripada budak kecil hingga la dewasa sekitar umur 20 tahun kot”
“ko tak join sekali ke…haha” Biha cuba buat aku geram.
kalau aku yang menari, ramai yang terpukau nanti….dah dah…kita nak ke mana dulu ni?”
“Masjid Jamek!!”

Kami memilih untuk berjalan di sekitar Masjid Jamek yang cuma dua stesen jaraknya dengan KL sentral.

Bazaar Masjid India menjadi tempat pertama kami membelek-belek barangan yang terpanah di mata sebelum berjalan ke dalam lagi.

Selepas berjalan  ke sana sini, kami decide nak solat asar di Masjid India. Sambil membeli air, terdengar suara azan dilaungkan. Jam ketika itu pukul 5.30 petang.

eh..dah asar ke belum sebenarnya…kenapa baru azan?, bukan azan asar dalam pukul 4.30 petang macam tuu ke? Hairan….”
Biha mengomel di tepi aku.

cik Biha…ko tak tahu ke?”
“tahu apa”
“Azan asar di Masjid India lebih kurang sejam selepas Masjid Jamek. Means .. kalau asar jam 4.30 petang, mereka akan azan jam 5.30 petang. Itu asar Hanafi namanya. Bagi mereka yang non-jemaah Tabligh, ini mungkin sesuatu yang ganjil. Tapi bagi ahli Jemaah Tabligh, mereka dah biasa dengan amalan ini kerana itu adalah dari amalan mazhab Hanafi yang mengafdhalkan untuk melewatkan asar.”
“oh..begitu rupanya..mana la aku tahu”
“jom..lepas solat kita rehat sekejap dalam masjid”
Usai solat asar, kami mengambil tempat untuk berehat seketika. Kami didatangi oleh seorang wanita India Muslim, dari segi pemakaiannya, aku rasa dia pengawal di masjid ini. Dia mengambil beberapa kain telekung untuk dilipat. Aku cuba untuk berbual dengannya. Kelihatan dia begitu ramah menegur sesiapa saja di situ. Keramahannya bersilang seli dengan ketegasan tetapi baik.

“ Aci…” aku cuba memulakan perbualan, aku tak pasti gelaran apa yang sesuai aku nak panggil.
iyaa..adik,,ada apa..”
“tak da apa..saja nak tanya, dah lama ke aci keja jadi pengawal di masjid ni?
“lama dah adik”
“mesti seronok kan, dapat kerja kat sini, solat sentiasa terjaga, kerja dalam rumah Allah, banyak pahala tuu aci”
“boleh la juga adik, sini banyak kes curi, sebab tu, kena ada orang jaga”
“betul..sini kan tempat tumpuan”
“kerja ni adik, kena banyak sabar…kerja macam ni kena banyak sabar, Rasulullah SWT Allah uji baginda lagi banyak. Kita sikit saja. Itu pun kita tak sabar”

Kata-kata aci tadi buat aku kagum dengannya. Ada sesuatu yang istimewa pada dirinya.

 Aku tersempak dengannya di bawah ketika menuruni tangga masjid. Al-quran kecil serta tasbih di hujung tangannya. Subhanallah, sungguh aku kagum.

Sambil bekerja, hati tidak lupa mengingati Allah. Untaian tasbih itu diratib sambil memerhati orang yang keluar masuk dari masjid.

Kami gerak keluar dari masjid menuju stesen LRT.

Mia, tengok sana…aku rasa dia bukan betul-betul pakai purdah tu”
“aha…aku rasa macam tu jugak”

Kami memerhati seorang wanita atau mungkin seorang lelaki yang tidak pasti jantinanya dek diselubung pakaian hitam dari atas sampai ke bawah. Wajahnya ditutup dengan purdah. Tangannya memegang tabung derma. Yang menghairankan kami, wajahnya ditutup tetapi kaki dibiarkan tanpa memakai sarung kaki. Purdahnya pula ditutup tanpa kemas. Curiga dan pelik.

Kami memandangnya tanpa lepas, seperti mesin scan. Menilai dengan perasaan kami. Langkah demi langkah dia meninggalkan kawasan tadi. Dia cuak. Pantas berjalan meninggalkan pandangan kami terhadapnya.

Lucu. Macam-macam ragam.

**********
Aku bakal menamatkan tempoh 4 bulan dalam beberapa hari lagi. Report praktikal perlu disiapkan. Aku harap pengajian selama 4 tahun ini beroleh ilmu yang berkat. Susah senang beraksi di medan perjuangan ilmu sangat mencabar. Adakala jatuh, bangun, jatuh dan bangun semula. Semua itu buat kita menjadi tabah.

Apa plan lepas ni?

Ayat klise yang semua orang akan tanya. Kerja? Sambung belajar? Berkahwin?
Pahit manis disatukan di dalam diari hati. Dagang hamba dagang menuntut pengalaman. Yang baik jadikan panduan, yang buruk hanya tertinggal di sini.

Peluang..rezeki..milik masing-masing. ke mana hala tuju selepas ini hanya Allah yang menuntuni tiap jalan. Empat bulan tempoh yang agak lama walaupun masa berjalan pantas. Pengalaman bukan sahaja mendewasakan bahkan membuat kita hidup untuk hidup yang sebenar. Semua orang dalam proses belajar. Belajar untuk hidup

**********

Aku menatap cermin bas, ada rintik-rintik hujan mencium cermin tingkap, halus menuruni bak embun di hujung daun. Aku melihat lampu-lampu yang mewarnai Kuala Lumpur. Aku bakal menyusur keluar dari bandar ini. Pulang ke kampung “hujan batu”ku.
Kata orang, jauh perjalanan luas pengalaman. Itu yang aku cari.
Perjalanan ini mendewasakanku. Tempoh itu bukan sahaja pengalaman yang diceduk, bahkan segala pengamatan di sebalik mata punya makna hidup.

Aku, dia, mereka tiada bezanya..
Kadang mereka lebih mulia dari kita. siapa tahu?
Aku..aku lupa untuk menggelarkan diriku juga seorang gelandangan, seorang pengemis.

Ya, aku seorang pengemis. Tangan yang kutadah untuk mengemis masih belum cukup untuk membasuh segala dosa. Dosa-dosa yang terbungkam dalam diri

Aku si gelandangan yang tak punya apa-apa. Seorang hamba yang merayap di sana sini. Lupa pada bumi yang dipijak ini bukan milikku. Udara yang disedut juga bukan milikku.
Ya Allah, aku seorang pengemis. Si  pengemis yang berjalan di muka bumi Ilahi mengutip keredhaanNYA, meraih simpati dalam menuntuni perjalanan yang panjang.

Aku ingin mengemis cintaMU, keredhaanMu.
Dan aku akan terus mengemis hingga kaya dengan keampunanMu.
Bas bergerak perlahan-lahan mengharungi jalan.
Aku nampak mereka sedang menikmati tidur. Tempat biasa yang pernah aku lihat.
Aku ….gadis abad ini..
Lemas dalam dilema
Pincang mencari identiti
Kala iman dan takwa sekejap cuma

Aku..malas berkayuh
Melawan arus nafsu
Lalu sesat dihanyut dosa
Menuntut keseronokan terlarang

Alpa…leka..lalai…
Terhidang di depan mata
Saat juadah nafsu direstui
Hingga meracuni makanan hati

Sang buana menipuku
Gelap dikatakan cahaya
Sedangkan semuanya akan sirna
Tatkala kembali ke kampung sebenar

Ujana Firdausi bukan dogengan
Tercatat dalam mukjizat kekal
Nikmat itu bukan dusta
Baca dan fahamilah dengan bijaksana

Tuhan….dosa dan pahalaku bercampur
Di tengah medan bertempur
Tika diri menggelumpur
Dalam lubuk penuh lumpur

Tuhan..Selamatkanlah aku
Dalam melayari alam remaja
Yang bergelora
Penuh pancaroba..

Tuhan…aku rebah
Memujuk diri untuk berubah
Menilai sedetik cintaMu
Hingga hujung nyawaku


Bahagiaku kini..
Andai Nur
Meraja di sukma
Terpancar di raut wajah

Jentikan rasa ini
Menundukkan sujudku
Di perhambaan kasih
Dalam memburu cinta Ilahi.

Terima kasih Tuhanku.


-TSK 

5 comments:

  1. salam sakinah...
    Baru tergerak nak baca dan bagi komen. Maaf, malas nak emel. Macam ni boleh? Terima kasih tinggalkan jejak. sudah baca cerpen yang ini...jujur. Berbinar juga mata ini. Haha, warna hijau terang dengan putih dan font besar~hampir tak dapat tangkap ceritanya. Pandai sakinah menulis. Ini kisah benarkah?

    ReplyDelete
  2. wasalam...ye baru perasan ada komen...font tak berapa sesuai ke? hikhik...aha ini kisah sebenar..pengalaman dari pemerhatian. saya tulis supaya ingat apa yg dilalui

    ReplyDelete
  3. SubhanaAllah :) perkongsian yang menarik. Thanks for sharing. Teruskan usaha menulis cerpen. Lepas ni boleh baut novel ye? :3

    ReplyDelete
  4. to Adzrif : doakan kak Anis ye..seni tumpul dik...tak tau nak asah macam mana ^^

    ReplyDelete
  5. Kepada yang telah membaca, maaf .. cerita ini sangat mendatar...first time belajar mencoret pengalaman diri sendiri. Nanti saya belajar lagi bagaimana membuat pengolahan mengikut kumpulan sasaran.

    ReplyDelete