Ini
adalah kisah perjalanan saya semasa menjalani praktikal di Kuala Lumpur tempoh
lalu. Sebuah perjalanan hidup yang buat saya insaf dan memberi pengajaran di
sebalik seni jalanan. Seni itu di mana-mana waima di tepi jalan. Coretan ini
saya cernakan menjadi sebuah cerpen yang saya tidak pasti standard penulisannya.
Hanya bisa menjelmakan apa yang ada di dalam fikiran kala itu.
Tajuk
sebenarnya cerpen/coretan ini ialah
“ Aku si
gelandang dan pengemis”
Selamat
membaca!
_____________________________
LELAKI bertongkat
separuh tua itu menghulur sebekas beg plastik berisi simpati. Kakinya dimamah
luka nan kering. Aku tidak pasti apa punca penyakitnya hingga kakinya teruk
sedemikian rupa. Kelihatan lagi seorang pemuda yang tidak terurus sedang
membelai kucing hitam di pangkunya.Kakinya kudung.Dia hanya mengharap sesiapa
sahaja yang lalu lalang di situ memberi sedekah. Aku menjadi hiba.....
Aku melihat lagi seorang wanita tua membongkok
sedang memberi isyarat tanda lapar, jari tangan kanannya dirapat dan menunjuk
ke arah mulut.Isyarat “menyuap” itu jelas mempamerkan dia sedang meminta belas
kasihan orang ramai.Dia duduk dicelah-celah anak tangga laluan orang ramai.
Begitulah
pemerhatianku di tengah kota raya yang pesat membangun, tetapi masih ada yang
tidak bernasib baik. Ketika orang lain diulik kesenangan wang ringgit, keluarga
yang bahagia, mereka menadah tangan meminta walau tanpa penglihatan, kudrat
yang kurang sempurna, usia yang beruban putih, kaki yang terjongkit-jongkit
memapah tongkat dan si ibu bersama tangisan anaknya.
Tepi bulatan yang menjadi tempat tinggal sementara
mereka itu beraroma kurang enak.Bau air kencing yang amat menusuk hidung.Laluan
yang sering menjadi destinasi buat pengguna tegar pengangkutan awam itu telah
tercemar.Walaupun seorang pak cik “bandaraya” bertungkus-lumus mencuci lantai
yang menjadi lelehan air kencing itu, baunya seolah kekal. Aku tak pasti kerja
siapa yang tidak bertanggungjawab .Mungkin orangnya kurang kesedaran sivik atau
lebih bersangka baik, aku mengandaikan manusia yang melakukannya pasti kurang
siuman. Aku bermonolog “ bagaimana mereka tidur dan makan
dengan persekitaran begitu”. Tanda
tanyaku tiada jawapan.Bagiku, siapa yang melaluinya, dialah yang merasainya.
Dari jauh, aku ternampak satu susuk tubuh seorang
lelaki yang terbaring.Tangan kanannya menjadi bantal dan hanya bertilamkan
sekeping kotak.Sudah menjadi kebiasaan buat penghuni tidak berumah, begitulah
kehidupan mereka.Jika ditempatku, tidak ramai yang berkelakuan seperti ini,
mungkin dalam dua tiga orang sahaja.Paparan di kaca televisyen tahun lalu
tentang si gelandangan membangkitkan ingatanku di mana seorang wartawan
menemuramah “penghuni tidak berumah” ini di peringkat kotaraya. Ya, ternyata di
depan mataku kini adalah mereka-mereka yang senasib begitu.
Paparan demi paparan menjelma di hadapan
mataku.Mulutku terkunci.Hanya berbicara tanpa suara.
Dalam hati ada suara
Dalam mata ada tingkah
Dalam fikiran ada tafsiran.
**********
Hari-hari yang kulalui sesekali menjadi bahan
mindaku bermonolog.Kisah yang bagaimana pula keesokan harinya.Aku menunduk
tanda mendiamkan diri.Sesekali mata memandang bas-bas yang berhenti menurunkan
penumpang.Menunggu si U74 datang menyinggah untuk membawa ku ke destinasi
seterusnya.
“kenapa RM3?”
Tanya Pak cik Bas yang baru sahaja berhenti
mengambil penumpang. Jelas di depan mataku seorang lelaki warga asing
menghulurkan tiga keping wang kertas berwarna biru.
Setahu aku, bas Pantai Hill Park ini paling tinggi
bayarannya pun setakat RM2 sahaja.Itulah yang menjadi persoalan Pak cik tadi.
“saya
mahu ke Puchong”
“bas
ni tak pergi ke Puchong”
“saya
nak ke Puchong jugak”
“tak
faham ke…bas ni tak pergi ke Puchong..bas lain…!”
“eh
suka hati saya lah…mahu ke mana pun”
“apa
punya oranglah…”
Pak
cik bas bernada marah tanpa mempedulikan lelaki tadi.Pertengkaran kecil mereka
membuatkan aku ketawa di dalam hati.sesekali melegakan buah fikiran yang kerap
melayang. Adegan tadi mencuit hati.“Bodoh sombong” agak kasar jika
diberi tema pertengkaran tadi.Tapi begitulah hakikatnya.Lelaki warga asing tadi
diam membatu mengambil tempat di depanku.Mataku galak hendak melihatnya.Jenaka
tadi benar-benar menghiburkan.
***************
Pagi
ni kerja di office tak banyak, aku decide nak keluar sebentar
atas urusan peribadi. Dengan kebenaran yang diberi aku terus melangkah keluar.Hala
tujuku kearah Pejabat Pos Malaysia.Hajatnya ingin menjelaskan bil tertunggak.Sepanjang
jalan, aku kerap memerhati.Ya, hingga hampir jatuh tersepak batu kecil kerana
dihimpit minda yang melayang-layang. Tahap kefokusan yang dinodai dengan fikiran dan hati yang
mewalangkan. Seperti peti pos yang penuh dengan surat-surat hingga
melimpah.Nasib baik si batu tadi kembalikan kesedaranku.
“Lai..lai…lai….TIGA
PASANG RM 5 sahaja….”
“Manyak murah….” Pak cik
berbangsa cina cuba memasarkan barangannya.
Aku bergegas melintas di hadapannya.
Tiba-tiba aku terkaku.Berdiri.Menoleh ke
belakang.Melihat Pak Cik cina tadi menyandang tubuhnya di tepi tiang.Seorang
wanita yang berambut kerinting sedang menghisap rokok.Aku merenung sebuah
kereta sorong bayi.Di dalamnya ada si kecil sedang tidur menahan panas
pagi.Seorang warga Indonesia yang lengkap bertudung di sebelahnya.Mereka
bertiga sedang berniaga di situ. Aku tidak pasti sama ada mereka rakan kongsi
perniagaan atau apa.
Mataku terpandang stokin kaki yang bercorak
bunga-bunga hijau.Memang pantang jika warna hijau menyinari mataku.
“kak…kalau
saya ambil satu je..berapa ringgit ya” soalku lagak seorang pembeli.
“oh..satu
pasang RM 2 saja…”
balasnya lekas.
“ok baik..saya
ambil yang ini”
aku terus mengeluarkan duit dari dompet.
Pak
Cik Cina tadi begitu gembira ada pembeli hingga tidak putus-putus mengucapkan
terima kasih kepadaku.Bahagianya dia .Dia memandangku dengan penuh kesyukuran.
Aku meninggalkan mereka dengan hati yang senang.Tersenyum
sendiri persis pelanggan pertama mereka.
**********
Sampai di rumah aku terus terbaring di atas
tilam.Mahu saja anak mata ini tertutup rapat melegakan letih yang amat.Aku
membuntang-buntang mata.Pandanganku terarah ke dinding putih.Seolah terbias
satu ilusi di situ.
“eh … kenapa ya
nasib mereka begitu? Aku menyoal di dalam hati lalu
berdrama seorang diri.Kisah semalam dan pagi tadi benar-benar membuatkan aku
rasa simpati.
“ya
Allah…jika aku seperti mereka, sanggupkah aku menghadapi tiap hari dengan penuh
rasa syukur dan sabar?Hatiku bermelodi insaf.
“ pasti banyak daya usaha dan ikhtiar yang telah dijalankan oleh badan
Kerajaan mahupun NGO-NGO untuk membantu nasib gelandangan.”Mindaku
masih dalam lamunan.
Tanganku mencapai surat khabar yang dibeli rakan
serumah di atas meja bersebelahan almari. Satu per satu halaman akhbar kubelek.
Mata tidak berkedip memerhati tajuk akhbar yang menarik untuk dibaca.
“Nah….ini
kan….”ANJUNG SINGGAH”.Aku
terus membaca isi yang ditulis oleh seorang wartawan akhbar itu.
“Kemudahan tempat penginapan sementara yang
selesa disediakan untuk golongan gelandangan.Pusat sehenti yang berkonsepkan
asrama serba lengkap untuk gelandangan yang diperkenalkan oleh Yayasan
Kebajikan Negara.”
“Lokasinya terletak di Bangunan Ehsan,
Jalan Hang Lekiu Kuala Lumpur.”
“Ini adalah salah
satu inisiatif tanggungjawab sosial”.
Sesekali teman serumah memandangku kehairanan
dengan gelagatku yang bercakap seorang diri.Aku bingkas bangun menceritakan
perihal pemerhatianku kepadanya.
Antara simpati, sedih dan kesian berbaur dalam
ingatanku.
**********
Hujung
minggu tanpa kerja.Pasti bosan berada di rumah. Teman-teman yang lain dengan
agenda masing-masing. Satu pesanan ringkas hinggap di skrin telefon SAMSUNGku.
“jom
jumpa !….”
Pesanan
ringkas dari sahabat sekolah menengah dahulu, Alina namanya.Seorang gadis yang
baik dan periang.Aku menyenanginya.
Selepas
zohor, kaki terus melangkah ke celahan bandaraya menuju destinasi seperti yang
dijanjikan.Kali ini aku tidak berjalan seorang diri.Ditemani si gadis kecil
molek.Kami berjalan melintasi jalan untuk ke restoran seberang jalan.Bunyi hon
kereta-kereta di situ sangat membingitkan telinga. Sesak dengan si pejalan kaki
ditambah pula dengan kenderaan yang datang dari depan dan belakang kami. Kami seperti
anak ayam sahaja di atas jalan.Bimbang juga takut dilanggar kereta atau motosikal
yang masing-masing mengejar perjalanan.
Kami
menikmati suasana hujung minggu yang padat dengan orang ramai.Lucu sekejap
melihat gelagat dan ragam orang ramai.
“ye adik manis….sila..sila…Nasi goreng ada..Mee goreng
ada…macam-macam ada, mau makan apa’ tanya seorang
lelaki Bangladesh itu di hadapan restoran kepada kami.
Usai
makan,kami bergerak menerobos setiap ruang kedai pakaian.
“sedekah..sedekah….”
sambil buku yaasin kecil dihulur ke arahku. Aku terkedu seketika sambil
memerhati bola matanya.Wajah yang mempamer segala simpati.Seorang budak
perempuan kecil merapatiku.
Aku
menghulur sekeping wang kertas tanpa mengambil buku yaasin kecil yang
dihulurkannya kepadaku. Lalu budak tadi beredar ke tempat lain.
Ada
orang pernah kata, banyak sindiket yang menggunakan kanak-kanak yang terbiar
atau tiada keluarga sebagai sumber rezeki mereka. Kanak-kanak ini akan mengemis
di serata corok kotaraya. Kebanyakan kanak-kanak yang menjadi mangsa adalah
dari negara Myammar.Kesahihan cerita di sebaliknya aku masih belum nampak
dengan mata kepalaku sendiri, cuma lakonan drama di televisyen menjadi tatapan
sebagai bukti.
“Mia….tengok
apa tuu?” suara Alina melekat
di cuping telingaku.
Pandanganku
semakin jauh, sejauh budak tadi berjalan.Hilang dari pandangan.Aku tersedar.
“aku..akuuu…tengok tuu haaa…belon-belon yang berumpun awan di sana”
“tengok
pastu mengelamun kan..tuuu lah keja kau…mmmm.”
Alina
mencemik muka.
**********
Simbahan
panas terik membuatkan mataku terbinar-binar menahan mentari. “sudahlah tidak bawa cermin mata, pedih kian menjadi pulak”
aku mengomel sendiri
Sesekali
mata cepat berair.Diusap anak mata dengan sapu tangan.Tiba-tiba teringat
kembali lokasi terakhir si “merah hati” yang diletak di atas meja
pejabat.
Kami
melabuhkan segala kepenatan di hujung anak tangga berhadapan Sogo.Ramai yang
menghela keletihan mereka di sini.Sambil santai melihat orang “hujung minggu”
berjalan dengan arah yang bertentangan.Masing-masing seperti diburu masa.
Longgokan
manusia di sebelah ku menyaksikan pemuzik jalanan mendendangkan suaranya.
Sebuah beg hitam berada di hadapannya.Gitar dipetik menghidupkan suasana.
Kebanyakkan anak muda yang berdamping di situ. Tatkala penghibur bernada tinggi
mengalunkan lagunya,sorakan serta tepukan dibalas para penonton. Terhibur
mereka dengan cara masing-masing. Aku hanya melihat cekadak mereka.
“Miaaa…tengok
tu”
“kenapa..ada
apa?”
“tengok
Pak cik tu…”
“kesian
kan….panas-panas macam ni mereka masih mencari sesuap nasi dengan kudrat yang
ada. Walaupun kurang sempurna tapi itu bukanlah tanda mereka lemah”
Alina
memberi sedikit pengajaran daripada pemerhatiannya.
Dan
aku kagum.Walaupun kurang sempurna, mereka tidak mencuri dan merompak seperti
orang yang sempurna.Hanya duduk di atas bangku mencuri perhatian orang
ramai.Jika diberi, mereka menerima.Hanya insan-insan yang berhati mulia menghulurkan
wang tanda sedekah.
Si buta itu menyanyi
lagu mencari rezeki bukan simpati..
rakannya bermain alat muzik
hati aku terusik
orang ramai berhenti
mereka mengamati
kaku.
Tanpa bangku.
Setahu
aku, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) telah mengiktiraf
para pemuzik jalanan baru-baru ini. Maka golongan ini tidak akan lagi dihalau
atau diusir oleh pengawal keselamatan dek kerana dikatakan menganggu orang
ramai yang berlalu-lalang. Pasar seni di Jalan Hang Kasturi Kuala Lumpur adalah
tempat awal bagi golongan ini menunjukkan bakat mereka menyanyi dan bermain
alat muzik. Kira-kira pada pertengahan tahun 1980an lagi. Di situlah bakat
mereka dipentaskan di hadapan orang ramai.
Selepas
25 tahun, golongan ini boleh rancak bersenang hati dengan pengiktirafan yang
diberi oleh KPKK malah hasil kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL) yang menyediakan ruang bagi golongan pemuzik jalanan mengadakan
persembahan di depan Pavilion, Jalan Bukit Bintang adalah satu penghargaan buat
mereka. Walaupun hasil pendapatan bernilai RM50 dalam masa empat jam, itulah
yang dinamakan rezeki hasil sumbangan orang yang menyaksikan persembahan
mereka.
Aku
duduk termenung di hadapan sogo.Alina di tepi ku.Penat dan letih semakin surut.
Jam tangan jelas menunjukkan jam 5 petang. Asar belum kami kerjakan.Jangan
pulak nanti terkejar-kejar dengan asakan orang ramai yang membanjiri
surau.Petang itu tidaklah cukup redup kerana bilasan cahaya mentari masih kuat
menyinar.
“eh..kenapa
tiba-tiba redup ni?” terasa
seperti ada segumpal awan hitam sedang berlegar di atas kepalaku. Aku mula
curiga dengan cuaca ketika itu.Yang terang menjadi gelap, seperti dipayungi
rahmat.Aku tidaklah semulia Nabi Muhammad SAW yang setiap langkahnya dipayungi
awan redup.Itulah tanda kenabiannya yang Allah kurniakan.
“ya
Allah…” aku terkejut selepas memandang ke atas.
Segumpulan belon-belon yang berwajah Doremon, Upin Ipin, Mickey Mouse
dan Hello Kitty seolah sedang tertawa kepadaku.
“patutlah
mendung je” aku ketawa mengenang peristiwa tadi selepas Pak
Cik yang mendagangkan belon-belon tadi berlalu ke tempat lain. Tali-tali belon
digengam erat dalam tahanannya.Kanak-kanak adalah golongan sasarannya.
“Mia
jom… solat Asar”
“kak
Sal, Mia nak minta izin ke Bank Islam boleh?”
“pergilah..lagipun
tak de keje sangat kan..boleh je”
“terima
kasih kak, saya pergi dulu ye”aku pantas menangkap
beg tangan di hujung meja lalu bergegas keluar dari office.
“eh
jap.., pergi dengan siapa?,tahu tak Bank Islam kat mana?”
“sorang
je kak, area sini paling dekat Plaza Sentral kan?”
“haa
betullah tu”
“saya
pergi dulu ye”
“O.K”
Jika
bukan kerana kelalaianku tempoh hari, pasti Kad ATM tu masih terselit di dalam
dompet ni. Aku menambah satu kerja sambilan baru.Kaki menapak menuju ke LRT
Pasar Seni untuk ke Stesen KL Sentral.
<stesen
berikutnya KL Sentral. Next Station KL Sentral>
Keluar
dari bangunan KL Sentral aku perlu berjalan selama 5-10 minit untuk ke Plaza
Sentral yang terletak di seberang jalan.
Selesai
segala urusan, aku perlu segera balik ke office,bimbang mengambil masa yang lama. Sampai di stesen LRT Pasar Seni aku
menuju ke gerai air dan buah untuk melegakan anak tekak yang kering disambar
cuaca panas.
“bukan orang tak nak tolong, ni ada duit beli gam..dah la fizikal
dia macam tu..”kata Encik Polis bandaraya yang beruniform
blueblack. Kemas bergaya dengan Ray Ban berkilauan warna perang
menyangkut di atas hidungnya.
Aku
mencuri dengar perbualan beliau dengan makcik yang menjual air di gerai yang
berselahan dengan gerai air yang aku beli.Selepas membayar, aku terus beredar
dari situ mencari tempat duduk untuk minum sebentar menambah bekalan air di
dalam badan.
Mindaku membayangi
seorang lelaki yang kusut masai, bajunya compang-camping, kaki yang tidak
terarah ke mana mahu jalan. Sesekali tersengih seperti orang hilang akal.
Kelihatan juga rakannya di tempat yang sama sedang menghidu sesuatu. Ternyata
mereka sedang berasmara dengan gam yang dipegang.
Kawasan
aktif mereka selalunya di bawah jambatan tapi kali ini mereka berani tampil di
kawasan orang ramai. Terkejut juga kami dibuatnya, sekilas pandang seolah-olah
lelaki tadi sedang menunjuk bekas gam
itu ke arah kami. Ketika itu, aku dan rakan sepejabat lekas melarikan diri kerana perasaan curiga menghambat
di fikiran.
Air
yang disedut lama-kelamaan kian habis, hanya tinggal ketulan ais.Aku bingkas
bangun beredar dari situ. Cerita penghisap gam menjadi satu imbauan kenangan.
Perbualan Encik Polis bandaraya tadi membuatkan aku teringat kembali episod
bersama mat gam.
***********
“Kau tahu macam mana pengemis-pengemis di China meraih simpati?”Aku
terkelu mendengar soalan yang keluar dari mulut Nabila.Siapa yang tak kenal
dengan Nabila.Rakan office yang paling kecoh dengan isu terkini di facebook.
“ermm..macam mana?, mereka potong kaki atau tangan sendiri ke untuk
meraih simpati?” andaian
pertama yang hinggap di mindaku ketika itu.
“eh..tidaklah sebegitu rupa, mereka sengaja mencipta luka sendiri,
luka tu mereka buat seperti luka yang teruk dan berdarah banyak”.
“macam tu sekali??”
“ye, dengan mengukir luka di kulit, nampak seperti real tapi luka
tu hanyalah dibuat-buat sahaja”
“wah..manusia zaman sekarang semakin cerdik kan, buat benda yang
bukan-bukan demi meraih itu dan ini..”
“apa salahnya keluar modal sedikit demi keuntungan masa akan
datang, kau tahu mereka cipta luka tu macam mana?”
“hah..macam mana pula?”
“haaa..mudah saja, modal tak banyak, antara bahan-bahan yang
diperlukan adalah seperti gam, pewarna merah, span pencuci pinggan, pengcungkil
gigi dan pengorek telinga…”
“wow..itu sesuatu yang baru! Tapi kau rasa kat Malaysia ni ada tak
ye seperti itu”
“why not…mungkin ada tetapi berbeza kaedah. Di sini kau jangan
percaya sangat, banyak yang menipu.
Aku
tidaklah sangkal dengan statement Nabila, ye..mungkin kata-katanya ada
benar. Jika yang kurang upaya secara zahir itu aku pasti benar.mata ini menjadi
saksi.Jika sebaliknya, itu soal mereka dengan Tuhan. Yang tidak buta, pura-pura
buta demi kemalasan bekerja mencari rezeki dengan kudrat yang ada hingga menipu
orang lain.Bersembunyi di sebalik kaca mata hitam.Siapa tahu.Harap-harap mereka
ada kesedaran.
Cerita…cerita..
Jangan sampai ada dusta
Cerita…cerita…
Jangan ada yang buta
Cerita…cerita…
Mereka menderita.
***********
Awan-
gemawan tidak lagi bersatu pagi itu, jam tepat menunjukkan pukul 8.30 pagi.Hari
isnin, hari pertama bekerja setelah bercuti dengan sabtu dan ahad.Rasa malas
masih menguasai diri.Dua tiga kali menguap tanda aku tidur lewat semalam.Hari
ini hari yang baru, tidak seperti semalam.
“arhhh..boringnya..” aku merungut ditinggalkan
berseorangan, kak her dengan Abang Wan outstation ke Manjung. Apa boleh
buat, kerja mereka tidak selalu lekat di pejabat. Jika tiada mereka, siapa yang
nak shoot gambar.
Sambil
membelek calendar di telefon, aku menghitung baki hari bekerja di
sini.Tempoh empat bulan cukup lama tapi pantas berlalu.Report praktikal
belumku sentuh, semua masih tersimpan di dalam otak. Pesan ustaz sebelum kami
semua start berpraktikal supaya siapkan sedikit demi sedikit pada awal bulan
pertama kami mula bekerja. Nampaknya, pesanan itu hanya dalam ingatan.
“Alahai si kasut, kejap lagi aku baiki engkau .., sabar ye” sambil mata melihat jam dinding. Menunggu waktu rehat menjelma.
Tepat jam 1tengahari. Aku mula keluar menuju
ke tingkat bawah.
“kak siti, Mia tak makan tau tengahari ni, Mia nak pergi ke area
Pasar Seni, nak cari tukang jahit kasut”.
kesian
pula dengan Kak Siti, selalu aku yang menemani dia makan. Kak siti mula bekerja
di sini setelah seminggu aku masuk. Dia Receptionist. Dia seperti kakak
angkatku di sini. Mungkin kami saling menyenangi antara satu sama lain
disebabkan kampung dia dan aku sebaya.
“O.K, jalan baik-baik”
“kak!, ada
payung tak, panas sangat la kat luar tuu”
“tak da la.”
“mmmm..tak
pelah..”
Dalam
masa sejam aku mesti cari sampai jumpa tukang kasut. Selalu ada je di tepi kaki
lima. Sampai di station bas Pasar Seni aku bertemu dengan seorang Pak
cik guard.
“assalamualaikum Pak cik, tumpang tanya boleh?”
“waalaikumussalam..ya..ya..boleh”
“kat sini, tukang kasut di mana ya..”
“oh sini tak da sangat, adik pergi ke kotaraya dekat-dekat dengan
Puduraya. Area situ ada”
“berapa minit ye dari sini?”
“lima enam minit je adik..”
“terima kasih Pak cik”
Cuaca panas
membahang membuatkan aku hampir tewas mencari si tukang kasut.Bas,
kereta dan motosikal bercampur di atas jalan. Sesak.Aku melewati lorong kecil
di setiap bangunan.Penat.Bayang-bayang seorang tukang kasut masih belum nampak.
“eh..ni dah sampai ke Petaling Street dah ni..kalau nak ke Puduraya,
depan lagi nak jalan” laluan ni aku biasa lalu bersama Jijah ketika
menemaninya ke Puduraya. Aku mengambil keputusan untuk berpatah balik.Tak
sanggup nak berjalan lagi dalam tekanan yang membahang.Kotaraya dengan tempat
kerjaku boleh tahan juga nak berjalan.Kalau setakat area Pasar Seni, aku
masih boleh menapak.
Kira-kira
jam 1.20 tengahari, kelihatan seorang perempuan warga Indonesia sedang mengemas
barang jualannya. Aku merapatinya.
“maaf ya kak, kak tahu di mana tukang kasut di sini”
“tukang kasutnya di belakang sana tu saja”
“ikut jalan ni ke kak”
“ya..kamu lalu saja di situ,
“oh baik..terima kasih ya”
Kedudukan
Pak cik guard tadi dengan arah yang ditunjukkan kakak tadi tidaklah begitu
jauh. Apa boleh buat, mungkin Pak cik tadi hanya tahu tukang kasut di tempat
yang dia tunjuk. Hati berdengus juga, masa dan tenaga dibazir begitu saja.
“berapa minit boleh siap ya Pak cik”
“dalam 20 minit..” balas Pak Cik sambil memegang kasut untuk digam dan seterusnya
dijahit di sekeliling kasut.
Ternyata
si tukang kasut juga warga Indonesia.
Dua
puluh minit yang ada aku menerawang ke kedai-kedai yang berdekatan di situ.Kedai
makan menjadi pilihan.Lauk-pauk yang terpamer di sebalik kaca itu buat aku
kecur liur.
“kedai ni melayu ke?” aku tanya sebab ragu.
“Indonesia dik..”
“pasaran nasi campur pun mereka mengunguli..” aku
mengomel di dalam hati.
Kedai
makan Sri Idaman Corner yang terletak di jalan Hang Kasturi itu benar-benar
diterajui oleh warga Indonesia.
usai
kasut dibaiki, aku terus kembali ke pejabat.
*********
“Saya sedih melihat ada golongan
asnaf dan gelandangan di sekitar bandar
raya ini hidup merempat dan tidak mampu membeli makanan. Apakah peranan pihak berkuasa untuk membantu mereka”.
-Khalidah Majid
Keramat, Kuala Lumpur.
Setakat ini, Baitulmal Majlis Agama
Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)
menyediakan 28 skim bantuan kepada golongan ini dan skim ke 29 ialah memberi makan tengah hari secara percuma. Mereka boleh makan setiap hari termasuk
pada Sabtu dan Ahad di Kedai Makan
Asnaf 1Malaysia yang diwujudkan Januari lalu dalam usaha membantu golongan yang kurang berkemampuan.
Sehingga kini, lebih 800 asnaf serta
gelandangan mengunjungi kedai makan
ini di Bangunan Darul Jami’yah, Jalan Rahmat, kuala Lumpur setiap hari bermula jam 11 pagi hingga 4 petang.
Sejak tiga tahun lalu, MAIWP mengagihkan
makanan di sekitar kawasan masjid dan
surau tiga kali seminggu, namun pendekatan itu
kini diubah termasuk mewujudkan pendekatan berdakwah seperti solat berjemaah dan kuliah agama supaya mereka dapat menikmatinya ketika makan.
Penubuhan kedai makan berkenaan adalah
kerjasama MAIWP dan Jabatan Agama Islam
Wilayah Persekutuan (JAWI) selain badan bukan
kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Taqwa dan Persekutuan Seruan Islam (Jami’yah) Selango dan Wilayah
Persekutuan. Ianya membabitkan
peruntukan RM1.2 juta setahun bagi membiayai program
berkenaan.
-Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
“Alhamdulillah, rupanya ada usaha yang membela serta peduli akan
masalah ini.” Helaian akhbar diselak ke ruangan lain
selepas membaca sudut surat dari pembaca di akhbar Berita Harian.
Aku
yakin, ramai yang terkesan dengan nasib mereka yang merempat di merata tempat.
Golongan homeless ini wajar dibantu untuk memulihkan kehidupan mereka.
Mungkin mereka tempang sekejap dalam menjalani hidup. Tetapi tidak mustahil
masalah yang dibebani mereka itu tidak dapat diselesaikan.
“Sesungguhnya
Allah tidak akan mengubah nasib keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah
keadaan diri mereka sendiri….”
(Ar Ra’d, ayat 11)
Mereka
tidak dipinta untuk menjadi seperti itu, namun apakan daya tidak semua jalan
hidup kita sama. Yang beruntung perlu mendongak melihat ke langit tanda luasnya
kasih sayang Allah, bersyukur dengan rezeki yang dilimpahi Allah. Dan jangan
lupa juga untuk melihat ke bawah. Pandang ke sana, ada jiwa-jiwa yang masih dahagakan
hidup yang sempurna. Dan yang kurang bernasib baik, jangan berputus asa dengan
hidup. Bukankah matahari sentiasa terbit di pagi hari?
Bantulah
diri sendiri dengan bantuan yang dihulurkan. Manusia tidak selamanya istiqomah
dengan beri simpati. Oleh itu, bangkitlah memperjuangkan diri sendiri. Kembali
kepada Allah SWT untuk menghambakan diri.Umat Islam yang terbaik adalah mereka
yang menyandar diri kepada Allah. Sampai bila diri terus-menerus dipandang
enteng oleh segelintir masyarakat.
Hati
bermuhasabah.
Syukur.
Hikmah
akan datang berganda.
Helaian
akhbar dilipat.
*********
Jumaat.
Penghulu
segala hari.
Hari
yang penuh keberkatan.
Jam 7.30
pagi, ramai manusia sudah terpacak di bus
stop menunggu bas sampai. Masing-masing dengan agenda tersendiri dan yang pastinya, semua akan berebut menaiki
bas untuk ke tempat kerja. Bagi golongan yang kurang mampu, public transport
menjadi alternatif utama untuk bergerak. Tapi, ramai jugak yang memilih untuk
menggunakan public transport untuk mengelak dari kesesakan lalu lintas,
berjimat dan sebagainya mengikut selera masing-masing.
Aku dan
teman-teman yang lain juga seperti mereka, aktiviti berebut untuk menaiki bas
sudah menjadi satu kebiasaan. Paling tak senang bila perasaan curiga dek
dihimpit oleh lelaki. Opps..awas jarak!
Selepas
menyumbat RM2 di dalam tabung bas, tiket dihulur oleh pemandu bas. Bas
awal-awal pagi macam ni wajib penuh dengan manusia seperti tin sardin.selagi
ada ruang boleh masuk, pak cik bas akan menjerit dari depan kepada orang
belakang.
“yang di belakang tuu, boleh masuk ke dalam lagi tak?”
“tolong ya, di belakang tuu, masuk lagi..kesian dekat orang lain”
Pak cik
bas meninggikan suara sambil bangun dari kerusi, mendongak memandang ke belakang.
Itulah
ayat klise yang akan disebut oleh pakcik bas kalau ada jiwa-jiwa yang
mementingkan diri atau tidak berhemah.
Ya. Aku
juga geram dengan sesetengah manusia yang membutakan mata, memekakkan telinga.
Ruang yang di dalam dibiarkan kosong. Sekurang-kurangnya perihatinlah sedikit
terhadap orang lain. Tak salah jika kita memahami orang lain. Semua dengan
tujuan yang sama. Keluar mencari rezeki.
Sampai
ke suatu tempat yang jaraknya tidaklah jauh dari tempat naik bas tadi, seorang
makcik menahan bas.
Bas
berhenti walaupun kusut dengan penumpang.
Pintu
belakang terngangga. Jelas tiada setapak pun kaki boleh menapak di dalam bas.
Mak cik ini juga punyai diolag yang sama setiap kali naik bas.
“ tolong ya di belakang tuu, masuk lagi…semua nak pergi kerja ni”
Aku
mendengus. Dalam hati mahu saja menjerit.
“korang ni tak faham bahasa ke, tak rasa ke kesusahan orang lain. Jangan penting diri sangat boleh tak!!” mungkin ayat ini yang aku akan pakai jika
punyai sedikit kekuatan lagi. Sabar dengan cekadak manusia yang tiada perasaan.
Tapi
bila tiada perkataan yang terkeluar dari mulut mungkin dengan perlakuan boleh
mentarbiahkan orang lain.
“kak ..tepi sikit ..” tanpa membuang masa, aku
melintas di depan kakak tuu untuk mengambil ruang di belakang.
Sebenarnya
lebih mudah jika dia yang melangkah ke belakang.
Situasi
yang seperti ini bukan sahaja berlaku di dalam bas, tetapi di dalam LRT, KTM
Komuter dan sebagainya.
Bas
terus berjalan dan menurunkan penumpang.
Aku dan
teman-teman akan menjadi watak yang terakhir di dalam bas.
***********
Bidai
langsir ditarik bergulung ke atas melihat rintik-rintik hujan yang baru mengena
bumi. Suasana sejuk pagi tadi seperti terus sambung-menyambung dengan aroma
hujan kedinginan. Kreeekkk,,,,,tombol pintu dipulas.
“assalamualaikum..” Harian Metro ada?”
“ada di belakang…” balasku.
Encik
Ali dari Unit IT seperti selalu meminjam akhbar hari ini. Sepatah kata dibalas
tanpa bercakap panjang.
“Bagaimana
agaknya nasib mereka sekarang..tengah hujan macam ni, tanah yang dijadikan
tilam pasti basah”
Jauh aku membuang pandangan. Di sana aku pernah
terlihat sekumpulan gelandangan menikmati rehat. Pakaian mereka tersidai di
atas tembok. Seperti rumah yang berbumbungkan jambatan.
Lamunan
terhenti.
Bidai
disentap perlahan melabuhkan kembali menutupi jendela.
“Mia, esok kak her tak masuk office, kak tak de
keje nak bagi. Sambung keja yang Rizwan bagi ya?”
teringat ayat kak her tadi. Aduhhh…bosan lah esok, Encik Raden dah la jarang di
pejabat. Abang wan masih bercuti. Kak her pulak dengan program luar. Dan aku.
Bertemankan sepi!
Dari
awal pagi lagi kesejukan membaluti tulang-tulangku, air-cond sudah terpasang
sejak aku datang lagi. Hidung bernada sendu.ketat semacam. Sukar bernafas.
Hujan
semakin lebat. Mahu saja bantal disorongkan di bawah kepala dan tarik selimut.
Cuaca mula berubah. Harap-harap balik nanti elok-elok sahaja.
“Oh…I’m fasting
today!”
Hampir
lupa. Fikiran mula melayang memikirkan juadah berbuka nanti. Seminggu berada di
sini, bukan tidak bersyukur dengan rezeki yang diberi Cuma sedikit geram dengan
peniaga-peniaga di sini yang meletakkan harga makanan yang agak mahal bagiku
dan makanannya pulak seperti “tidak ikhlas” memasak. Cukuplah terkena. “standard
lah k.L” “semua
mahal”. Itulah antara ayat klise kawan-kawanku. Nasi goreng ayam yang
digoreng nasi ditambah hanya dengan kicap dan letak ayam sedikit. Itulah jenama
nasi goreng ayam abang tu. Tapi tak semua tempat di sini seperti itu, bila dah
terkena dua tiga kali, hati mula pasrah.
Gendangan
guruh mula reda sedikit. Aku bingkas bangun dari kerusi oren menoleh ke
belakang melihat awan berserakan. Awan-awan gelap tadi membuka kembali ruang
demi ruang. Terang kembali.
*****************
Tepat
jam 12.30 tengahari. Aku mula melangkah keluar. Jumaat adalah hari yang paling best
disebabkan half day bekerja. Langkah diatur menuntuni tiap jalan. Kanan
kiri ditoleh untuk melintas jalan. Aku memilih untuk menaiki LRTdi stesen Pasar
Seni.
kelihatan
peniaga yang menjual stokin 3 pasang RM5 di tepi anak tangga. Hamparan kain
menjadi pelapik untuk mempersembahkan barangan jualannya. Kali ni orang yang lain,
bukan uncle yang aku pernah beli dengannya tempoh lalu.
Ada
sesuatu yang menyentuh hati. Aku berhenti di pertengahan tangga melihat
sesuatu. Jiwaku makin tersentuh mendengar tangis si kecil di dalam kereta
sorong baby. Ibunya seolah buntu mencari jalan untuk mendiamkan anaknya.
Hanya
dengan menjual stokin 3pasang RM 5 itu menjadi punca rezeki membeli susu buat
si anak yang dahaga. Aku terus memandang gelagat mereka.
Seorang
warga asing menghulur botol susu anaknya yang barangkali dilempar ke suatu
tempat. Si ibu mengambil botol susu yang diberi warga asing tadi. Aku menjadi
hairan apa sebab si ibu tadi membaling botol susu anaknya.
Kemudian
muncul seorang lelaki berbadan kurus.Lantas mengambil botol susu tersebut. Aku
meneka bahawa si lelaki yang sedang membancuh susu tepung itu adalah suami
kepada perempuan tadi.
Jelaslah
perasaanku kini, mereka bertiga sedang berjualan mencari rezeki. Anaknya masih
menangis. Aku menjadi hiba tatkala si ibu menampar-nampar anaknya sebagai
isyarat minta diam. Wajah si ibu agak geram. Mungkin buntu dengan tekanan.
Wajahnya kelat memandang suaminya. Kedudukan botol susu yang dikutip oleh warga
asing tadi berada di kawasan suaminya berdiri. Aku memahami walau hanya di
sebalik pandangan.
Ya
Allah, betapa berat mataku memandang apatah lagi bahu mereka yang memikulnya.
Kehidupan di bandaraya yang punya sejuta cerita. Paparan tadi buat aku
muhasabah. Ada ibrah di sebaliknya.
Ujian adalah tarbiah dari Allah. Adakah kita sabar menghadapinya?
Aku harap derita yang mereka alami tidak berpanjangan. Dan yang paling penting
jangan berputus asa dengan Allah.
Awan gelap hanya sementara. Kelak pasti cerah semula.
Beg yang
dipegang dikemaskan kembali menyangkut di bahu. Aku meneruskan langkah menuju
destinasi.
*****************
Gitar
dipetik penuh girang. Beg gitar ternganga di kaki sang penyanyi menunggu wang
kertas atau syiling dimasukkan secara sukarela. Nyanyian seorang lelaki
sederhana tinggi, berkulit sawo matang dan berambut ikal itu buat aku terpana.
Aku berdiri di tepi gerai mini yang berhadapan dengan pintu masuk KTM komuter
sambil mendengar lagu yang didendangkannya. Lunak persis seorang artis dengan
nada suara seakan meniru gaya suara artis tertentu. Dia hanya berdiri di
penjuru pintu masuk KTM Komuter dengan tali gitar tergantung pada lehernya.
Setiap
kali aku ke KL sentral, aku akan berdiri dari jauh memerhati sang pemuzik ini.
Aku suka pada nyanyian. Terhibur sebentar sambil menunggu seseorang.
“Lagi 5 minit aku sampai.ko tunggu di mana tuu?”
Mesej
yang aku tunggu menjelma.
Pantas
jari menyentuh skrin telefon membalas.
“ aku tengah berdiri di depan pemuzik jalanan yang sedang menyanyikan
lagu ‘Hilang’”
“sedap ke lagu tu”
“sedap la jugak, sambil-sambil tunggu ko datang.lambat sangat”
“relax la…tren lambat tadi..’
Biha
datang menepuk bahuku dari arah belakang.
“hai..cik Mia, sorry aku lambat sikit”
“haaa…nasib baik ada abang tuu menyanyi tau, boleh la layan
perasaan sekejap”
“oh..yang itu ke?”
“yelah…dia sorang je kat sini yang petik gitar sambil nyanyi…kalau
ko nak lebih-lebih tunggu weekend la..mungkin ada orang menari pulak”
“ko biar betul”
“lah…buat apa nak bohong…pernah sekali hari tu, kat depan tuu, aku
tengok budak-budak remaja buat dance show, daripada budak kecil hingga la
dewasa sekitar umur 20 tahun kot”
“ko tak join sekali ke…haha” Biha cuba buat aku geram.
“kalau aku yang menari, ramai yang terpukau nanti….dah dah…kita nak
ke mana dulu ni?”
“Masjid Jamek!!”
Kami
memilih untuk berjalan di sekitar Masjid Jamek yang cuma dua stesen jaraknya
dengan KL sentral.
Bazaar
Masjid India menjadi tempat pertama kami membelek-belek barangan yang terpanah
di mata sebelum berjalan ke dalam lagi.
Selepas
berjalan ke sana sini, kami decide
nak solat asar di Masjid India. Sambil membeli air, terdengar suara azan
dilaungkan. Jam ketika itu pukul 5.30 petang.
“eh..dah asar ke belum sebenarnya…kenapa baru azan?, bukan azan asar
dalam pukul 4.30 petang macam tuu ke? Hairan….”
Biha
mengomel di tepi aku.
“cik Biha…ko tak tahu ke?”
“tahu apa”
“Azan asar di
Masjid India lebih kurang sejam selepas Masjid Jamek. Means .. kalau asar jam
4.30 petang, mereka akan azan jam 5.30 petang. Itu asar Hanafi namanya. Bagi mereka yang non-jemaah Tabligh, ini
mungkin sesuatu yang ganjil. Tapi bagi ahli Jemaah Tabligh, mereka dah biasa
dengan amalan ini kerana itu adalah dari amalan mazhab Hanafi yang
mengafdhalkan untuk melewatkan asar.”
“oh..begitu rupanya..mana la aku tahu”
“jom..lepas solat kita rehat sekejap dalam masjid”
Usai
solat asar, kami mengambil tempat untuk berehat seketika. Kami didatangi oleh
seorang wanita India Muslim, dari segi pemakaiannya, aku rasa dia pengawal di masjid
ini. Dia mengambil beberapa kain telekung untuk dilipat. Aku cuba untuk berbual
dengannya. Kelihatan dia begitu ramah menegur sesiapa saja di situ.
Keramahannya bersilang seli dengan ketegasan tetapi baik.
“ Aci…” aku cuba memulakan perbualan, aku tak pasti
gelaran apa yang sesuai aku nak panggil.
“iyaa..adik,,ada apa..”
“tak da apa..saja nak tanya, dah lama ke aci keja jadi pengawal di
masjid ni?
“lama dah adik”
“mesti seronok kan, dapat kerja kat sini, solat sentiasa terjaga,
kerja dalam rumah Allah, banyak pahala tuu aci”
“boleh la juga adik, sini banyak kes curi, sebab tu, kena ada orang
jaga”
“betul..sini kan tempat tumpuan”
“kerja ni adik, kena banyak sabar…kerja macam ni kena banyak sabar,
Rasulullah SWT Allah uji baginda lagi banyak. Kita sikit saja. Itu pun kita tak
sabar”
Kata-kata
aci tadi buat aku kagum dengannya. Ada sesuatu yang istimewa pada dirinya.
Aku tersempak dengannya di bawah ketika
menuruni tangga masjid. Al-quran kecil serta tasbih di hujung tangannya.
Subhanallah, sungguh aku kagum.
Sambil
bekerja, hati tidak lupa mengingati Allah. Untaian tasbih itu diratib sambil
memerhati orang yang keluar masuk dari masjid.
Kami
gerak keluar dari masjid menuju stesen LRT.
“Mia, tengok sana…aku rasa dia bukan betul-betul pakai purdah tu”
“aha…aku rasa macam tu jugak”
Kami
memerhati seorang wanita atau mungkin seorang lelaki yang tidak pasti
jantinanya dek diselubung pakaian hitam dari atas sampai ke bawah. Wajahnya
ditutup dengan purdah. Tangannya memegang tabung derma. Yang menghairankan
kami, wajahnya ditutup tetapi kaki dibiarkan tanpa memakai sarung kaki.
Purdahnya pula ditutup tanpa kemas. Curiga dan pelik.
Kami
memandangnya tanpa lepas, seperti mesin scan. Menilai dengan perasaan
kami. Langkah demi langkah dia meninggalkan kawasan tadi. Dia cuak. Pantas
berjalan meninggalkan pandangan kami terhadapnya.
Lucu. Macam-macam
ragam.
**********
Aku
bakal menamatkan tempoh 4 bulan dalam beberapa hari lagi. Report praktikal
perlu disiapkan. Aku harap pengajian selama 4 tahun ini beroleh ilmu yang
berkat. Susah senang beraksi di medan perjuangan ilmu sangat mencabar. Adakala
jatuh, bangun, jatuh dan bangun semula. Semua itu buat kita menjadi tabah.
Apa
plan lepas ni?
Ayat
klise yang semua orang akan tanya. Kerja? Sambung belajar? Berkahwin?
Pahit
manis disatukan di dalam diari hati. Dagang hamba dagang menuntut pengalaman.
Yang baik jadikan panduan, yang buruk hanya tertinggal di sini.
Peluang..rezeki..milik
masing-masing. ke mana hala tuju selepas ini hanya Allah yang menuntuni tiap
jalan. Empat bulan tempoh yang agak lama walaupun masa berjalan pantas. Pengalaman
bukan sahaja mendewasakan bahkan membuat kita hidup untuk hidup yang sebenar.
Semua orang dalam proses belajar. Belajar untuk hidup
**********
Aku menatap cermin bas, ada rintik-rintik hujan
mencium cermin tingkap, halus menuruni bak embun di hujung daun. Aku melihat
lampu-lampu yang mewarnai Kuala Lumpur. Aku bakal menyusur keluar dari bandar
ini. Pulang ke kampung “hujan batu”ku.
Kata orang, jauh perjalanan luas pengalaman. Itu
yang aku cari.
Perjalanan ini mendewasakanku. Tempoh itu bukan
sahaja pengalaman yang diceduk, bahkan segala pengamatan di sebalik mata punya
makna hidup.
Aku, dia, mereka tiada bezanya..
Kadang mereka lebih mulia dari kita. siapa tahu?
Aku..aku lupa untuk menggelarkan diriku juga
seorang gelandangan, seorang pengemis.
Ya, aku seorang pengemis. Tangan yang kutadah
untuk mengemis masih belum cukup untuk membasuh segala dosa. Dosa-dosa yang
terbungkam dalam diri
Aku si gelandangan yang tak punya apa-apa. Seorang
hamba yang merayap di sana sini. Lupa pada bumi yang dipijak ini bukan milikku.
Udara yang disedut juga bukan milikku.
Ya Allah, aku seorang pengemis. Si pengemis yang berjalan di muka bumi Ilahi
mengutip keredhaanNYA, meraih simpati dalam menuntuni perjalanan yang panjang.
Aku ingin mengemis cintaMU, keredhaanMu.
Dan aku akan terus mengemis hingga kaya dengan
keampunanMu.
Bas bergerak perlahan-lahan mengharungi jalan.
Aku nampak mereka sedang menikmati tidur. Tempat
biasa yang pernah aku lihat.
Aku ….gadis abad
ini..
Lemas dalam dilema
Pincang mencari
identiti
Kala iman dan takwa
sekejap cuma
Aku..malas berkayuh
Melawan arus nafsu
Lalu sesat dihanyut
dosa
Menuntut keseronokan
terlarang
Alpa…leka..lalai…
Terhidang di depan
mata
Saat juadah nafsu
direstui
Hingga meracuni
makanan hati
Sang buana menipuku
Gelap dikatakan
cahaya
Sedangkan semuanya
akan sirna
Tatkala kembali ke
kampung sebenar
Ujana Firdausi bukan
dogengan
Tercatat dalam
mukjizat kekal
Nikmat itu bukan
dusta
Baca dan fahamilah
dengan bijaksana
Tuhan….dosa dan
pahalaku bercampur
Di tengah medan
bertempur
Tika diri
menggelumpur
Dalam lubuk penuh
lumpur
Tuhan..Selamatkanlah
aku
Dalam melayari alam
remaja
Yang bergelora
Penuh pancaroba..
Tuhan…aku rebah
Memujuk diri untuk
berubah
Menilai sedetik
cintaMu
Hingga hujung nyawaku
Bahagiaku kini..
Andai Nur
Meraja di sukma
Terpancar di raut
wajah
Jentikan rasa ini
Menundukkan sujudku
Di perhambaan kasih
Dalam memburu cinta
Ilahi.
Terima kasih Tuhanku.
-TSK
salam sakinah...
ReplyDeleteBaru tergerak nak baca dan bagi komen. Maaf, malas nak emel. Macam ni boleh? Terima kasih tinggalkan jejak. sudah baca cerpen yang ini...jujur. Berbinar juga mata ini. Haha, warna hijau terang dengan putih dan font besar~hampir tak dapat tangkap ceritanya. Pandai sakinah menulis. Ini kisah benarkah?
wasalam...ye baru perasan ada komen...font tak berapa sesuai ke? hikhik...aha ini kisah sebenar..pengalaman dari pemerhatian. saya tulis supaya ingat apa yg dilalui
ReplyDeleteSubhanaAllah :) perkongsian yang menarik. Thanks for sharing. Teruskan usaha menulis cerpen. Lepas ni boleh baut novel ye? :3
ReplyDeleteto Adzrif : doakan kak Anis ye..seni tumpul dik...tak tau nak asah macam mana ^^
ReplyDeleteKepada yang telah membaca, maaf .. cerita ini sangat mendatar...first time belajar mencoret pengalaman diri sendiri. Nanti saya belajar lagi bagaimana membuat pengolahan mengikut kumpulan sasaran.
ReplyDelete