Earphone
disumbat ke telinga. Muzik dimainkan penuh syahdu. Demi menyelongkar kenangan
lama, saya cuba mencari mood melalui lagu. Milo panas yang dibancuh tadi belum
diminum. Hanya berada di sebelah kanan. Buku catatan, diari berkalendar di
hujung meja tulis. Saya masih mencari jalan untuk memulakan topik pada entry
kali ini.
Baiklah.
Idea belum datang. Tunggu sekejap. Saya masih berfikir.
…………………………………………
Jika
ditanya pada anda, apakah perkara yang anda mahu ubah pada masa lalu?
Mesti
ada bukan? Atau tidak perlu?
Sebenarnya,
masa lalu itu selalu saja datang menjelma di hadapan kita saat hati kita
benar-benar rindu untuk dikembalikan seperti dahulu. Jika ditanya pada saya, saya rindukan zaman
waktu di kampus dahulu. Lepak di pangkin bawah pokok sambil menghirup kopi
panas. Ya, mungkin agak keterlaluan pada masa itu, di waktu bintang berkelip
dan langit hanya nampak warna bulan, kami masih bercengkerama di bawah pokok
seperti di warung kedai kopi. Itulah aktiviti yang paling santai saya kira. Waktu-waktu
yang menuntut keseronakan, namun masih menjaga batas-batasnya.
Kata
saya pada seorang sahabat, “Nanti kalau kau buat buku, watak kami ada di dalam
buku itu?”
Entah
mengapa soalan itu diajukan tanpa diduga sedikitpun oleh dia. Berkerut-kerut
dahi sahabat saya itu. Lantas dia menjawab penuh selamba.
“Mmmm
tak kot, kenapa?”
“Tiada
apa.” Wajah saya kembali kendur. Senyum yang lebar tadi mengecut seperti mulut
itik. Saya tahu dia hanya bergurau. Dan saya tetap yakin dia adalah penulis
yang baik. Semoga dia menulis kisah-kisah kami penuh makna.
Sebenarnya,
saya mahu kata kepadanya. Jika suatu hari nanti saya menulis buku, watak dia akan
menghidupkan kisah di dalam buku itu. Watak utama dan bukannya semut hitam.
Mereka
yang hadir dalam hidup saya adalah watak yang sentiasa saya hargai dan bukannya
watak yang hanya membayangi diri orang lain. Jadi, kepada sahabat-sahabat kedai
kopi saya, anda semua harus tahu bahawa kalianlah yang mewarnai hidup Anis
sakinah di zaman kampus dahulu.
Kita
memang telah tutup buku lama. Cerita dahulu cukup setakat itu. Namun di sini,
saya ingin tegaskan bahawa ukhwah itu tidak akan pernah tamat seperti mana
tamatnya episod di drama TV atau berakhirnya pembacaan sebuah buku. Jika kita
terpaksa mengalah pada masa dan menuntut untuk tutup buku lama, itu bermakna
buku lama itu sudah siap untuk diterbitkan. Mari kita mulakan buku kedua dan
kisahnya tentang kedewasaan kita sekarang. Mari menjadi watak untuk siri ke-2.
Petang
tadi saya senyum-senyum selepas berbual di telefon dengan seorang sahabat.
“Dia
kata kita akan jadi watak dalam kisahnya nanti” kata sahabat saya itu.
Rupanya jawapan yang sepatutnya saya terima di
pangkin setahun yang lalu dijawab pada hari ini.