Don't Judge the blog by it's followers

Friday, 21 March 2014

Aku Ingin Terbang!

I believe I can fly…

Saya ingin terbang….

Bila saya rasa hati dihuni dengan kemurungan dan keresahan. Kata saya, dunia ini tempat masalah saja. Itulah akal pendek saya ketika membesarkan masalah dari penyelesaiannya.

Sampai satu ketika, saya cuba terbang. Tetapi saya tidak tahu bagaimana. Dan saya pun tidak pasti apa sebab saya ingin terbang. Seronok melihat burung di udara, melebarkan sayapnya penuh girang. Terbang dan melayang melihat dunia dari atas.

Kata seseorang: Dunia ini bukan tong sampah masalah anda. Jangan anggap dunia ini seperti tong sampah yang kamu penuhi dengan masalah!

“Kamu bilang dunia ini sangat sempit, sedangkan yang menyempitkan kamu itu adalah masalah-masalah yang merunsingkan kamu.” Kata dia.

Saya ingin berlari sekuat hati. Tapi saya lupa, kudrat saya tidak segagah itu. Saat melihat burung-burung berterbangan, yakin pada masa itu bahawa suatu hari nanti, saya pasti akan terbang. Sampailah suatu malam dan ketika itu saya ditakdirkan mendapat mimpi yang indah. Saya bisa terbang! Namun saya ketawa sekuat hati. Rupanya, saya terbang bersama lori terbang. Itulah kenderaan yang tidak akan orang cipta untuk saya. Kalau lori bisa terbang, nanti ramai pula yang meminta agar dibuat bas terbang. Habislah kapal terbang, tidak akan ada lagi orang menggagung-agungkannya.

“Terbanglah kalau kamu mahu dan mampu.”

“ Terbang ke atas dan jangan lupa lihat ke bawah, kamu akan tahu betapa indahnya dunia ini yang kamu sempitkannya.” Dia memberi kata nasihat.


Katanya penuh makna. 


Saturday, 1 March 2014

Tulisan Macam Kanak-kanak

Tulisan Anis dah semakin matang, tahniah!” ucap sahabat satu kampus.

 Dia adalah orang yang terlibat secara langsung penubuhan blog ini. Sahabat yang banyak membantu saat saya sulit dalam selok-belok dunia blog. Orangnya kuat membaca, tidak seperti saya. Gelaran Miss Librarian sangat sesuai untuk saya gambarkan dia.

Bila digali semula post-post yang lama, saya senyum dan ketawa sendiri. Tulisan macam kanak-kanak yang bercerita tentang sesuatu perkara. Niat saya Cuma satu, iaitu ingin berlatih menulis.

Walaubagaimanapun, saya masih dalam proses belajar. Belajar menulis dengan baik. Kata guru penulisan saya, gaya bahasa saya perlu dikemaskan lagi. InsyaAllah, mana yang kurang, saya akan baiki.

Saya duduk di atas kerusi sambil menunggu pak cik yang menjual tiket bas di Puduraya. Kaunternya kosong, tiada orang. Mungkin dia sedang rehat. Saya duduk di sebelah dia. Seorang warga Bangladesh yang sedang menekan keypad handphonenya.

“Adik, ada pen?” dia menegur saya.
“Ada, sekejap.”

Dia pandang saya lagi sambil segan-segan ingin bertanya lagi.

“Adik, boleh minta tolong, tolong tuliskan nombor ini?”
“Boleh.”

Dia hulurkan sekeping kertas dan pen tadi.

Usai membantunya. Saya berfikir.

Pen, kertas dan tulis.

Ya Allah, jika ini tandanya. Saya perlu lebih bersemangat. Entah mengapa, minda asyik berfikir sahaja adegan tadi.

Saya tekad memilih jalan ini. Moga hati saya kian teguh merealisasikannya.

Belajar dan terus belajar.