Don't Judge the blog by it's followers

Monday, 29 April 2013

Sebulan lagi..


Apa plan lepas ni?

Ayat klise yang semua orang akan tanya. Kerja? Sambung belajar? Berkahwin?

 Sebulan lagi di sini. Pahit manis disatukan di dalam diari hati. Dagang hamba dagang menuntut pengalaman. Yang baik jadikan panduan, yang buruk hanya tertinggal di sini.

Peluang..rezeki..milik masing-masing. ke mana hala tuju selepas ini hanya Allah yang menuntuni tiap jalan. Empat bulan tempoh yang agak lama walaupun masa berjalan pantas. Selama tempoh itu banyak perkara yang menjadikan saya matang. Matang dalam menangani emosi. Pengalaman ini baik untuk minda dan hati.

Gelombang ini bakal berakhir.
Gelombang bagaimana selepas ini..?

Idea dimatikan, tangan kaku, fikiran melayang memikir ayat. Ini sahaja yang dapat dicoretkan. Mungkin entry ini buat diriku berfikir sejenak.

Wallahualam.

30 Apr 2013
Kuala Lumpur


dari luar jendela....terbias sebuah pengamatan

Saturday, 27 April 2013

Semangat


SEMANGAT ingin menjadi seorang penulis agak berkobar-kobar di dalam diri. Maka dengan masa dan kesempatan yang ada sewaktu menjalani praktikal di Kuala Lumpur telah membiak idea saya untuk merakam segala pemerhatian di sini. Bandaraya yang gah dengan nama Kuala Lumpur adalah latar tempat yang bagus untuk dijadikan cerita.
            Tinggal sebulan sahaja lagi di sini, saya perlu siapkan manuskrip yang masih berbaki jalan ceritanya. Pesan Ustaz AB Hamed: “o.k..nanti bagi saya tengok..dan saya nilai”. Terima kasih ustaz!
            Untuk menjadi seorang novelist, bukanlah matlamat asal. Cukuplah hanya menjadi seorang penulis yang bisa menulis. Mungkin cerpenist? Seingat saya, novel pertama yang saya beli adalah “Ayat-Ayat Cinta” karya Habiburrahman El-Shirazi. itu pun kerana saya terpesona dengan wajah seorang gadis arab yang hanya menampakkan sepasang mata indah. Disebabkan jarang ada novel yang berkulit depannya seorang wanita memakai purdah, saya tanpa berfikir panjang membeli naskhah tersebut. Dan selepas itu, banyak novel yang diterbitkan menggunakan wajah seorang wanita berpurdah sebagai muka depan novel mereka. Saya agak culas membaca novel walaupun ramai teman-teman yang berbicara tentang karya seorang novelis yang mereka kagumi. Kesimpulannya, saya belum jatuh cinta dengan novel.

                Cerpen menjadi wadah pembacaan saya sekarang. Buku cerpen yang santai dan kreatif menjadi pilihan.
                Antara buku pembacaan dan rujukan yang saya jadikan alat untuk menerajui semangat menjadi seorang penulis ..

"Sekiranya Aku Menjadi Novelis"
ini novel versi remaja. Watak aida yang masih di bangku sekolah bercita-cita menjadi seorang novelis. Novel ini saya hanya santap jalan ceritanya. Menyelami perasaan seorang gadis remaja yang ingin menjadi penulis.

 "Penulis Yang Disayangi Tuhan"
Buku yang masih belum saya khatam. Helaian demi helaian kerap saya selak sebab mencari isi penting. Novel ini bercerita tentang seorang penulis yang telah berputus asa. Melalui jalan cerita novel ini, diselitkan cara-cara untuk menghasilkan sebuah penulisan seperti novel dan cerpen. Penulis bercerita tentang ilmu penulisan dalam perwatakan novel tersebut. 2 in 1.


"Ingin Menjadi Penulis?"
Nah..inilah rujukan yang saya perlukan. Cara penulis sama dengan apa yang sedang saya lakukan. Panduan yang beliau berikan 100% menjadi keyakinan saya untuk meneruskan langkah ini. Tepat dan padat isinya. Sangat sesuai bagi orang yang malas macam saya kerana tidak suka membaca secara panjang lebar.


Ketiga-tiga buku ini saya tertarik hanya kerana terpapar perkataan "Penulis" dan "Novelis". ^^


#PBAKL2013 best kali ni..sebab dapat bertemu dengan penulis seperti Hilal Asyraf dan Penulis baru Aisa Linglung, cerpen dia kelakar. Santai, tak kering gusi. Buku Sperma Cinta dan Sengih Kerang (Sperma Cinta 2.0) bahan untuk saya ketawa sorang2.#

Thursday, 25 April 2013

Pemburu Cinta


Aku ….gadis abad ini..
Lemas dalam dilema
Pincang mencari identiti
Kala iman dan takwa sekejap Cuma

Aku..malas berkayuh
Melawan arus nafsu
Lalu sesat dihanyut dosa
Menuntut keseronokan terlarang

Alpa…leka..lalai…
Terhidang di depan mata
Saat juadah nafsu direstui
Hingga meracuni makanan hati

Sang buana menipuku
Gelap dikatakan cahaya
Sedangkan semuanya akan sirna
Tatkala kembali ke kampung sebenar

Ujana Firdausi bukan dogengan
Tercatat dalam mukjizat kekal
Nikmat itu bukan dusta
Baca dan fahamilah dengan bijaksana

Tuhan….dosa dan pahalaku bercampur
Di tengah medan bertempur
Tika diri menggelumpur
Dalam lubuk penuh lumpur

Tuhan..Selamatkanlah aku
Dalam melayari alam remaja
Yang bergelora
Penuh pancaroba..

Tuhan…aku rebah
Memujuk diri untuk berubah
Menilai sedetik cintaMu
Hingga hujung nyawaku


Bahagiaku kini..
Andai Nur
Meraja di sukma
Terpancar di raut wajah

Jentikan rasa ini
Menundukkan sujudku
Di perhambaan kasih
Dalam memburu cinta Ilahi.

Terima kasih Tuhanku.

Oleh: Anis Sakinah Azizan
(teman setia ketenangan)
UUM, Sintok

Puisi ini dicipta untuk adik Siti Nourul Atikah
Sayembara Puisi Dakwah

*teringin nak tengok beliau deklamasikan puisi ni...*


Sunday, 14 April 2013

Hujung minggu


Tengah Malam mudik ke hulu
Bulan terang tinggi mengawan
Sedang melamun asyik merindu
Hiba di hati bercampur rawan.

“Yanie! Apa lagi sambung la “ Anis menempik dari atas tilam sambil menyelak-nyelak buku Bagai Layang-Layang yang baru dibelinya di Giant Taman Jaya selepas balik dari jogging bersama Jijah pagi tadi.

“kelas kau anis…tak pe..tak pe..tunggu ye” Yanie bersuara berani sambil menyandar badan di dinding dengan meriba Acer4630Z.

“cepatlah…balas..balas..”
“sabar….aku nak google ni…”
“uitttt…mana aci….tanya Encik ‘google’, kalau masuk pertandingan ni kira batal dah”
“Yang Ariff…ini tidak adil..ada unsur penipuan di situ” Anis bersuara gagah sambil menggelar Jijah yang sedang menekan keypad di laptopnya sebagai Hakim.

“abis Anis tengok buku tuu..boleh pulak” Jijah cuba bersikap adil seperti seorang pengadil pertandingan pantun sambil mencemik muka ke arah anis.

hahahaaaa..yelah…tapi dia mana aci search kat google…banyak tuu dapat nanti…dalam buku ni ada satu je pantun”
“haaa…dengar sini” Yanie membetul-betulkan suaranya seperti tersekat kahak di anak tekak.

mmm….Buah Berangan dirumpun Pinangbelum sempat Yanie menyambung rangkap kedua, Kak Diah keluar dari bilik seperti seorang guru Bahasa Melayu.

“Eh…bukan macam tuu laaa, lain je nadanya”
“betullah….macam ni”
“oh ..okey..okey..saja nak mencelah” Kak diah berwajah kerang busuk mengusik si Yanie.
“yanie!! Cepat balas”
“dengar..dengar..”

Buah berangan dirumpun pinang
Limau kasturi berdaun muda
Kalau berkenan masuklah meminang
Tanda diri beradat budaya.

perhhhh..tajam-tajam tuuu dengan tema”
Semua ketawa kelucuan sambil menikmati waktu lapang hujung minggu dengan karenah masing-masing.

Petang ahad yang sunyi.
Berkurung di dalam rumah demi menyelamatkan duit.


Thursday, 28 March 2013

Wanita Tua Bongkok


Aku melihat seorang wanita tua membongkok sedang memberi isyarat tanda lapar, jari tangan kanannya dirapat dan menunjuk ke arah mulut. Isyarat “menyuap” itu jelas mempamerkan dia sedang meminta belas kasihan orang ramai. Dia duduk dicelah-celah anak tangga laluan orang ramai. Aku memandang sayu. Walaupun sekeping wang telah dihulurkan. Riak wajahnya cukup terperi derita. Sepatutnya dia sedang bermain dengan cucu-cucunya atau bersenang-lenang di rumah merehatkan diri demi kesihatannya yang menjangkau usia.

Aku melangkah lagi kerana tidak sampai hati yang berlarutan memandangnya dengan sedemikian rupa. Begitulah pemerhatianku di tengah kota raya yang pesat membangun, tetapi masih ada yang tidak bernasib baik. Ketika orang lain diulik kesenangan wang ringgit, keluarga yang bahagia, mereka menadah tangan meminta walau tanpa penglihatan, kudrat yang kurang sempurna, usia yang beruban putih, kaki yang terjongkit-jongkit memapah tongkat dan si ibu bersama tangisan anaknya.






Lelaki Tua Bertongkat


Lelaki bertongkat separuh tua itu menghulur sebekas beg plastik berisi simpati. Kakinya dimamah luka nan kering. Aku tidak pasti apa punca penyakitnya hingga kakinya teruk sedemikian rupa. Kelihatan lagi seorang pemuda yang tidak terurus sedang membelai kucing hitam di pangkunya. Kakinya kudung. Dia hanya mengharap sesiapa sahaja yang lalu lalang di situ memberi sedekah. Aku menjadi hiba.....

******************************************

sekadar gambar hiasan

Monday, 4 March 2013

Perkahwinan abang Jai (Mantan YDP PERKIM UUM)


Jauh menuju ke Felda Mayam, Bera, Pahang bukan alasan untuk tidak menghadiri majlis perkahwinan saudara Mohd Jelani a.k.a mantan YDP Kelab PERKIM UUM sesi 2009/2010 yang telah berlangsung pada 3 Mac 2013. Titik perkenalan kami bermula di dalam Kelab PERKIM lagi, ibarat keluarga dan adik-beradik, hubungan silatulrahim itu semakin berpanjangan. Alhamdulillah, kami adalah antara wakil dari Kelab PERKIM UUM atau lebih umumnya sahabat beliau dari UUM tetap berkunjung ke majlis tersebut. Buktinya, dari UUM jauh bergerak dengan sebuah kereta yang dinaiki oleh empat sahabat manakala saya dan tiga orang lagi yang berada di sekitar Kuala Lumpur tidak melepaskan keinginan untuk menghadiri resepsi beliau.
 

Harapan abg jelani untuk kami berada di majlis akad nikah tercapai walaupun sekejap Cuma. Kami yang lewat menyempurnakan harapan beliau untuk berada di sana terlebih awal telah disempurnakan oleh sahabat-sahabat yang dari UUM sampai awal ketika itu. Akibat tidak biasa dengan jalan di Kuala Lumpur, melumpuhkan pergerakan kami untuk sampai di sana lebih awal. Kelewatan kami adalah disebabkan jalan sesak serta tidak tahu jalan untuk ke UIA bagi mengambil seorang sahbat di sana. Alhamdulillah, tiba di rumah pengantin pada jam 2 petang.

Jauh menuju ke pedalaman kawasan felda berbaloi demi sahabat. Bak kata kak fatihah “berbaloi sangat”.

Resepsi perkahwinan yang sederhana tetapi bahagia melihat mereka seolah-olah ada keberkatan di sebaliknya. Itulah yang menjadi sunnah dalam perkahwinan. “Biar sederhana. Yang penting ada keberkatannya”.

Ketika ingin bergambar, pasangan pengantin kelihatan masih segan walaupun telah sah menjadi suami isteri. Kami memandang mereka dengan perasaan yang bahagia. Bercinta selepas berkahwin adalah sangat indah! “terasa seperti mimpi, tetiba dah ada isteri” itulah ungkapan kelucuan abang Jelani sewaktu kami berbual dengannya.
 

Kak siti juga bekas pelajar UUM di bidang Perakaunan Sistem Maklumat yang kini sedang bekerja di Tabung Haji Kelana Jaya. Manakala abang Jelani bertugas di Alor setar sebagai Branch Manager di sebuah company pengiklanan dan percetakan, jauh tersasar dari bidang asal beliau iaitu Kaunseling. Begitulah katanya bahawa beliau tidak ingin makan gaji tetapi mahu berusaha sendiri dalam bidang perniagaan.
 

Beliau yang kami kenal dengan sifat rendah diri membuatkan kami selesa dengannya. Ujian demi ujian yang telah beliau hadapi pernah kami merasainya walaupun bukan secara keseluruhannya. Komitmen abang Jelani jelas terpancar ketika memimpin kelab PERKIM UUM dan jasa beliau sangat besar sehingga beliau mampu diberi tanggungjawab sebagai YDP Kelab MAMPU (kelab-kelab PERKIM seluruh IPT).
 

Tahniah abang Jelani dan pasangan. Doa kami panjatkan agar bahagia dan mendapat keredhaan di sisi Ilahi.