Don't Judge the blog by it's followers

Monday 30 December 2013

Salam Takziah: Shaharil Salman

Tiada kata lagi selepas ini yang boleh dibicarakan dengannya mengenai dunia blog, buku-buku mahupun bidang penulisan. Sungguh Al- Marhum menjadi rujukan saya dalam bidang berkaitan IT dan blog. Orangnya aktif berblog, dan kini http://www.shaharil.com/ akan menjadi tatapan kenangan para pengunjung blognya.


Ajal maut di tangan Allah, Benar, umur, jodoh, ajal dan rezeki itu rahsia Allah. Al Marhum Shaharil Salman  berlibat dalam kemalangan jalan raya petang kelmarin (30/12/2013).

Kali terakhir melihatnya semasa Hari Konvokesyen baru-baru ini, saya amat kesal dengan diri kerana tidak bertegur sapa dengannya. Dan kali terakhir bersembang dengannya di alam maya, kami berbual mengenal kerjaya. Kami pernah memegang amanah dalam satu exco. Al Marhum ditaklif sebagai Timbalan Pengerusi Exco Keusahawanan Kelab PERKIM UUM sesi 2009/2010. Dan ketika itu saya merupakan setiausaha exco keusahawan. Kami satu team bersama Zakwan Abu Hussin, kenangan menjual buku-buku di Foyer FE, UUM adalah detik kami mula mengenali secara rapat.



Orangnya tidak pernah lokek dengan senyuman apatah lagi tidak pernah menyakiti hati sesiapa, itu yang saya kenal. Sentiasa senyum. Kehilangannya buat saya terkejut, terkelu dan tidak percaya. Walaupun jarang melakukan aktiviti bersama semasa di Universiti, al marhum selalu turun padang jika kami mengajaknya untuk ikut serta dalam aktiviti santai.

Doa dari rakan-rakan blogger yang mengenalinya tidak putus-putus diutuskan di dinding Facebooknya. Semoga al marhum tenang di sana. Dan ditempatkan di kalangan para solehin, kami bakal menyusul ke alam sana. Mahu atau tidak, mati itu pasti dan semua orang akan merasainya. Bersediakah kita?

Ayuh semua, saya mengajak diri saya sendiri dan kita semua untuk sama-sama perbaiki diri dan sentiasa bermuhasabah. Hidup itu terlalu singkat. Sama-sama kita beringat.

Al-Fatihah

Shaharil Salman (1989-2013)


Monday 23 December 2013

Menangisi ujian

Semalam saya post gambar saya yang tegak berdiri menghadap pantai di instagram dan caption ketika itu saya tulis ayat yang berkaitan ujian. Ayatnya berbunyi begini :

perkara sulit adalah semasa kita ditimpa ujian yang membuatkan kita tertanya-tanya apa yang ada di sebalik ujian ini. Ujian datang menuntut kesabaran walau terkadang kesabaran itu mengambil masa seminit, sejam, sehari, seminggu, sebulan dan bertahun ataupun sabar sehingga ajal mendatang.”

Menangisi ujian untuk apa?

Saya seorang yang tidak sabar, sebab itu saya selalu menangisi akan sesuatu yang saya rasa berat di fikiran dan sakit di hati. ya itu saya! Ketika saya tidak lagi memandang orang lain yang lebih berat ujiannya. Saya merasakan seolah-olah dunia ini tidak lagi adil, langit yang selalu gelap, hujan yang turun tanpa henti dan kemarau yang  berpanjangan. Dan ketika itu, hati hanya inginkan Allah sebagai pendamai resah di hati. Biar berjurai air mata memohon doa darinya. Benarlah firman Allah yang menyuruh hamba-hambaNya supaya meminta pertolongan dariNya dengan sabar dan solat. Kata mereka yang tidak pernah putus-putus mengucap perkara yang sama iaitu sabar dan doa banyak-banyak.

Menangis itu bukan tanda lemah tetapi menangis untuk kuat. Dan ubat selepas kita menangis adalah merasai kepuasan atau lega. Menangislah di atas dosa-dosa kita yang lalu, sesungguhnya tangisan itu hanya untuk penyucian jiwa.

Pernah kita lalui perkara yang begitu sulit dalam hidup kita?

Ini cerita dari salah seorang sahabat saya yang bercerita tentang derita yang pernah dialami oleh Abu (bukan nama sebenar).
Abu pernah terselamat dari sebuah kemalangan yang meragut nyawa kakak dan ibu saudaranya. Ketika itu abang dan abang iparnya cedera teruk. Kemalangan yang agak tragis juga saya kira mengikut cerita yang didengar. Dan perkara paling tidak logik adalah sebelum kemalangan kata Abu, dia seperti membuka pintu kereta sambil membetulkan kasutnya di luar dan sedar-sedar kereta mereka telah diseret oleh kereta lain ketika membuat u-turn di persimpangan. Abu tersedar dan melihat kakaknya yang ketika itu sudah nazak memesan sesuatu kepadanya. Abu langsung tidak menangis walau setitik pun air mata. Abu sempat mengajar makcik dan kakaknya mengucap. Sesudah itu dia terus berlari sekuat hati mengkhabarkan tentang kemalangan yang mereka alami kepada ahli di rumah. Yang kebetulan ketika itu , lokasi kemalangan tidak jauh dari rumahnya.

Sesudah urusan pegebumian, Abu didesak oleh ahli keluarga untuk menceritakan perkara yang berlaku dan mereka semua tidak percaya langsung yang Abu selamat dan berada di luar kereta sebelum kemalangan berlaku. Dia sendiri pun tidak tahu bagaimana dia boleh berada di luar kereta sambil membetulkan kasut dan melihat kereta yang mereka naiki diseret laju. Sepantas kilat kejadian berlaku. Semua memarahinya dan binggung bagaimana dia terselamat. Dia dipukul, dilayan dengan kasar hingga diangkat ke dinding rumah untuk mengaku perkara yang sebenar. Hari itu dia menangis kerana tiada siapa yang percaya apa yang dikatakannya kecuali ibunya yang selalu menenangkannya.

Saya dengar cerita ini dengan penuh rasa sedih. Ya Allah betapa dasyatnya perkara yang dia alami. Rupanya dia pernah mengalami perkara yang sangat sulit. Itulah ujian buat dirinya.

Patutlah dia sangat tenang ketika kami dendangkan dia dengan ujian yang kami alami, katanya: hadapi saja ujian itu, nikmatilah ujian itu.
Dia antara sahabat saya yang mengajarkan erti kehidupan ini. Sahabat yang unik saya kira.

Berbalik kepada kejadian luar biasa yang dialaminya, saya mengajak kita semua untuk merenung perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada hamba-hambaNya iaitu Maunah. Dialah yang Allah kehendaki untuk terselamat dari kemalangan itu jika difikir dengan akal memang tidak logik. Itulah kehebatan Allah. Allah memberinya kejadian luar biasa yang bernama Maunah.

Itulah ujian yang Abu hadapi sebelum dia memasuki Universiti dan sebelum kami bertemu sebagai sahabat. Sehingga kini, saya pasti peristiwa yang dialaminya itulah yang menjadikan dia sangat kuat orangnya.

Ujian…
Ketika menhadapinya sangat sulit
Sesudah melihat hikmahnya                          
Kita pasti berlapang dada
Sabar dan solat (doa) itu kuncinya.

Muhasabah.


Tuesday 10 December 2013

Makna Cinta

Makna cinta itu pelbagai teman..
Kadang-kadang cinta datang untuk pergi.
Cinta itu bukan untuk memiliki tetapi merasai
Walau sekejap,
Ia datang untuk pergi
Kerna cinta yang akan datang semula adalah cinta yang abadi
Dengan cinta juga terlahirlah kita sebagai seorang manusia yang penuh dengan rasa cinta
Hidup penuh cinta.

Sebenarnya saya tidak tahu apa maksud cinta dan ini adalah petikan yang saya 
ambil dari ruang facebook. Tidak pasti kata-kata ini daripada siapa.




MAKSUD CINTA...

jika kamu cintakan seseorang kerana kecantikan itu bukanlah cinta tetapi adalah syahwat,

jika kamu cintakan seseorang kerana kepandaian itu bukanlah cinta tetapi adalah kagum,

jika kamu cintakan seseorang kerana semata kekayaan itu bukanlah cinta tetapi kebendaan,

jika kamu cintakan seseorang kerana baik pada pandangan kamu itu bukanlah cinta tetapi syukur untuk pancaindera kamu,

tetapi jika kamu mencintai seseorang dan kamu tidak tahu mengapa kamu mencintainya................

maka inilah cinta yang hakiki..........


Jika ditanya pada saya antara cinta dan persahabatan mana satu menjadi pilihan.

Jawab saya: persahabatan

Jika ditanya antara cinta dan pengorbanan mana satu saya akan pilih.

Jawab saya: pengorbanan.

Saya teringat kata-kata dari sebuah filem Hindustan yang saya suka tonton kerana sastera mereka yang mengusik jiwa. Katanya:

“Cinta bukan untuk dimiliki, tetapi untuk mendiamkan diri demi kebahagiaan orang lain”

Hati terdetik untuk setuju dengan kata-katanya. Walhal pasti mereka yang inginkan cinta mereka dimiliki akan menolak kenyataan ini. Terpulang, kerna makna cinta setiap orang berbeza-beza.

Adakah cinta itu seperti terasa sesuatu di dalam hati? samakah jatuh suka dengan jatuh cinta? Dan sekali lagi cinta itu bagaimana?
Bagi saya, cinta itu saat kita menyukai atau menyintai seseorang itu tanpa sebab.

Hadirnya memberi rasa,
perginya amat terasa
dan melupakannya sangat terseksa.
Semuanya perlukan masa
Untuk kembali seperti biasa.

Hanya pendapat peribadi. Kan dah beritahu..makna cinta setiap orang berbeza-beza..


-TemanSetiaKetenangan

Monday 9 December 2013

Hari Bahagia (Konvokesyen)

Jatuh dan bangun dalam dunia mencari ilmu bukan suatu perkara yang luar biasa, ianya perkara biasa yang dialami setiap orang. Nasib dan rezeki setiap orang masing-masing berbeza.

 3 Disember 2013 akhirnya telah berlalu, detik yang ditunggu lama sebenarnya pantas sahaja berlalu. The “jubah” day bak kata Mat Lutfi dalam Vlognya. Apa lagi yang boleh dikatakan tentang hari itu. Acara penyampaian sekeping sijil menandakan telah tamat pengajian selama 3 atau 4 tahun, atau aktiviti lompat dan baling topi secara berjemaah. Tak salah jika kita hendak buat apa  sahaja ketika itu. Bagi saya itu adalah hari bahagia.

“Hari bahagia” yang disambut bersama insan-insan yang disayang dan terdekat dengan diri kita. Mereka datang dan meraikan hari kita. Terima kasih semua yang meraikan diriku ini. Memang tidak dapat saya balas sampai bila-bila.

Pengalaman 4 tahun di UUM mengajar erti kecekalan, usaha, sabar dan redha. Niat di hati tak nak “extend” walau macam mana sekalipun. Orang lain bergembira dengan 3 atau 4 subjek sahaja di hujung semester akhir, tetapi tidak pada saya. Honestly, saya mengambil 8 subjek semasa dua semester terakhir disebabkan ada subjek yang perlu diulang. Dan semasa menjalani praktikal, Allah menguji lagi diri ini. Seminggu mata sebelah kiri berkelip-kelip sebelum saya tengok result final exam semester terakhir. Kaku. Mata terpanah pada skrin computer tempat praktikal. Oh inilah tanda kenapa mata saya sebelah kiri asyik berkelip-kelip rupanya ada satu subjek lagi yang tidak lepas.

Alhamdulillah, saya pulang ke UUM dari KL untuk mengambil exam khas dan syukur saya pass. Saya cuma perlu bersangka baik pada Allah kerana sering menguji hati saya supaya lebih kuat. Di sebalik ujian itu, saya singkap pelbagai hikmah.Thanks  ya Allah. Engkau beri hambaMu ini sesuatu yang orang lain tak merasanya. Itulah jatuh bangun saya dalam dunia pembelajaran. Ingat! Allah uji itu mungkin disebabkan dosa-dosa kita yang lalu. Muhasabah.

Saya tidak malu untuk menceritakan semuanya agar menjadi motivasi pada yang lain. Jangan berputus-asa, teruskan melangkah dan cekalkan hati. walaupun tidak beroleh first class, cukup dengan second class upper saya tetap bersyukur.

Saat melangkah ke Dewan MAS,kami diiringi dengan muzik sentimental. Selesai berjalan ke tempat duduk. Kami diminta berdiri dahulu sebelum duduk. Dan ketika itu, air mata mula berjurai. Entah, atas sebab apa saya mengalirkan air mata. Dalam hati:
“kalaulah arwah ayah ada…”

Basah saja mata ketika itu. Sensitif betul hati.

Ayah…inah hadiahkan kejayaan hari ini untuk ayah. Biar ayah tidak nampak tapi inah yakin ayah ada bersama kami =)

Tak banyak perkara yang saya dapat coretkan semasa hari kejadian. Kisah saya biasa sahaja jika nak dibandingkan dengan orang lain yang lebih istimewa kisahnya.


Saya tinggalkan beberapa potret kenangan di sini. 

Thanks a lot kepada keluarga tercinta dan sahabat handai yang meraikan hari bahagiaku..








Keluarga tercinta